Wednesday, August 12, 2009

Biarlah masa menentukan

Biarlah masa menentukan


KATA Sheila, biarlah Allah yang menentukan masa dan waktu untuknya berhijab.


APABILA menatap wajah terbaru penghibur tersohor negara, Datuk Sheila Majid yang manis bertudung ini, pasti ramai yang mengandaikan Sheila kini sedang melalui fasa baru dalam hidupnya.

Apatah lagi, setelah pulang dari menunaikan fardu haji awal tahun ini ramai yang mahu melihat Sheila tampil dengan imej sebegini.

Namun, tuan punya diri dengan penuh hemah dan diplomasi sambil tersenyum manis memberitahu, penampilannya itu bukanlah bermakna dia kini sudah berubah.

Sebaliknya, kata Sheila, penampilannya bertudung dan berjubah itu adalah untuk memenuhi konsep rancangan 1001 Inspirasi Raikan Kemenangan terbitan saluran Astro Oasis (saluran 106, Astro) sempena Aidilfitri.

Tidak mahu menjadi seorang yang hipokrit, kata Sheila, dia enggan memuaskan hati masyarakat dengan tampil bertudung dan berimej muslimah seandainya hatinya belum terbuka berbuat demikian.

Malah, dia sendiri sudah berkali-kali memberikan penjelasan tentang perkara tersebut (isu penampilan) baik sebelum mahupun selepas pulang daripada mengerjakan haji.

"Isu bertudung dan pemakaian semuanya perlu datang dari hati yang ikhlas dan tulus. Saya tidak mahu melakukannya semata-mata untuk memuaskan hati pihak yang mahu saya berbuat demikian hanya kerana saya sudah menunaikan haji.

"Malah, saya juga tidak mahu menetapkan masa bilakah saya akan bertudung kerana itu semua urusan Allah SWT. Siapa tahu kalau dalam waktu terdekat ini, hati saya dibuka olehNya untuk bertudung, saya pasti akan memakainya," jelasnya yang cukup manis berpakaian serba putih rekaan butik Hajabah.

Malah, Sheila sendiri memberitahu, dia cukup selesa dengan jubah yang direka khas untuknya oleh butik berkenaan.

Ini kerana katanya, dengan saiz kecil moleknya itu agak sukar sekali untuk mendapatkan saiz yang terdapat di butik dan kedai seperti orang lain.

Ketenangan

Penghibur ternama ini turut ditanya tentang perubahan yang dilaluinya kini selepas hampir sembilan bulan bergelar hajah.

Katanya, dia bersyukur kerana dia kini mula melalui fasa-fasa yang membuatkan dirinya semakin tenang menghadapi kehidupan bersama keluarga tersayang.

"Saya banyak menghabiskan masa dengan membaca buku-buku ilmiah tentang agama dan yang berkaitan. Apa yang saya katakan ini bukan mahu menunjuk kerana saya pun tidak mahu dikatakan riak.

"Dalam usia 44 tahun ini sudah banyak yang saya lalui. Kalau diperhatikan, pemakaian saya pun sudah jauh berubah dan tidak lagi seperti dulu," katanya yang juga banyak menghabiskan masa menonton rancangan yang disajikan menerusi saluran Oasis.

Kerana itu jugalah, hatinya terbuka dan tertarik menerima tawaran Oasis untuk beraksi dalam program 1001 Inspirasi Raikan Kemenangan yang akan ditayangkan pada hari pertama Aidilfitri nanti.

Tidak seperti rancangan hiburan yang sering ditampilkan sebagai santapan penonton di bulan Syawal membuatkan Sheila tidak berfikir panjang untuk menerima pelawaan Astro.

Memandangkan beliau jarang terlibat dalam sebarang rancangan sempena Syawal, inilah peluangnya untuk mengubati rindu peminatnya yang sering mendambakan persembahannya menerusi kaca televisyen.

Mendendangkan lagu Ku Mohon yang pernah dinobatkan sebagai Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik 2000, Sheila menyifatkan lagu berkenaan telah melengkapkan lagi perjalanan program 1001 Inspirasi Raikan Kemenangan.

"Biarpun lagu berkenaan berteraskan muzik pop, tetapi melodi dan liriknya mempunyai unsur-unsur ketuhanan yang mampu dinikmati oleh semua golongan," ujar ibu kepada empat orang cahaya mata ini lagi.

Luahan rasa

Jika bertemu dan berbual dengan pemilik nama penuh Shahila Abdul Majid ini, tidak sah seandainya tidak bertanyakan tentang sebarang perkembangan terbarunya terutama sekali perihal pembikinan albumnya.

Ujar pemilik vokal Di Dalam Emosi Ini dan Pengemis Muda ini, setakat ini dia mempunyai beberapa buah lagu yang berada di dalam simpanannya.

Namun apabila memikirkan tentang senario industri rakaman negara yang tidak begitu memberangsangkan, rancangan menerbitkan single mahupun album sedikit terencat.

Sebagai seorang yang sudah lama berkecimpung dalam lapangan seni lebih dua dekad, Sheila sememangnya layak untuk membicarakan tentang industri muzik tempatan.

Katanya, selain masalah cetak rompak yang membelenggu industri seni tanah air, sikap masyarakat dan peminat yang gemar muat turun lagu secara tidak sah juga antara penyumbang kepada kemeruduman industri seni.


SHEILA Majid bersama Khalefa yang kini menjadi duta untuk Nespray 1+ selama setahun.


Semangat patriotik

Untuk itu, dia kini sedang merangka beberapa strategi dan mekanisme seandainya dia mahu tampil dengan album baru kelak.

"Bagaimana karyawan seni tempatan mahu memberikan hasil yang berkualiti dan mencapai standard seperti mana yang dimahukan oleh masyarakat jika perkara ini tidak berkesudahan.

"Peminat mahukan yang terbaik dan sering mengatakan produk kita tidak bagus tetapi secara tidak sedar, mereka sendiri yang memusnahkannya. Kalau buat album sekarang pun, ia tidak menjaminkan apa-apa kerana mereka boleh menyalin semula dan muat turun secara tidak sah.

"Masyarakat dan peminat harus fikir kos untuk membuat sebuah album bukan untuk penyanyi sahaja tetapi sebaliknya juga untuk mereka yang terlibat di belakang tabir termasuk komposer dan penulis lirik," tuturnya penuh tegas yang kali terakhir muncul dengan album studio, Cinta Kita pada tahun 2004.

Bukan itu sahaja, sambil berseloroh Sheila memberitahu, meskipun dia mempunyai album baru peminat masih mahukannya menyanyi lagu-lagu malar segarnya dalam setiap persembahan.

Menyambung perbualan, kata Sheila, masyarakat dan peminat muzik di negara ini masih belum memahami dan menghargai muzik seperti mana di negara-negara Barat mahupun Asia yang lain.

Jika ada sekalipun peminat di negara ini yang memiliki sikap positif itu, bilangan itu hanya boleh dibilang dengan jari.

Dalam hal ini, Sheila memberikan contoh peminat muzik di Indonesia yang begitu patriotik dan setia serta menyokong artis mereka sendiri.

Konsert sendiri

Trek rekod Sheila sepanjang bergelar anak seni sememangnya tiada tandingan dan dia antara penyanyi yang berjaya mencipta legasi seninya yang tersendiri.

Di zaman kegemilangannya, dia antara artis yang kerap mengadakan konsertnya baik secara solo mahupun sewaktu menaungi Roslan Aziz Productions (RAP).

Malah, sehingga kini peminat setianya masih lagi mendambakan sebuah konsert daripadanya terutama sekali di pentas bertaraf internasional yakni di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Beberapa bulan kebelakangan ini pun, konsert dan persembahan yang dijayakan oleh artis-artis hebat dan ternama seperti Jamal Abdillah, Datuk Siti Nurhaliza dan Anuar Zain semuanya mendapat respons yang positif dan baik daripada peminat dan masyarakat.

Sambil tumpang gembira dengan kejayaan oleh teman-teman artisnya itu, penyandang Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik 1997 ini menyuarakan hasrat untuk beraksi di pentas yang sama.

Untungnya menjadi seorang yang bernama Sheila Majid apabila kehebatan dan kredibilitinya sebagai seorang penghibur telah melayakkannya beraksi di pelbagai pentas berprestij di dalam dan luar negara.

"Tetapi sebenarnya bukan mudah untuk menganjurkan sebuah konsert. Dulu lain di mana kita mudah mendapat penajaan tetapi sekarang berbeza. Kita harus bekerja keras dalam menyakinkan pihak korporat dan swasta untuk menaja konsert kita.

"Insya-Allah, kalau ada rezeki dapatlah saya membuat persembahan di Istana Budaya. Semoga peminat mendoakan dapat mendoakan hasrat itu menjadi kenyataan," ujarnya penuh harapan.

Antara Jerneh dan Nespray

Dalam perkembangan lain, Sheila turut berkongsi berita baru tentang produk kecantikannya, Jerneh yang semakin mendapat sambutan itu.

Masih lagi mengamalkan pembelian secara online menerusi laman web rasmi, www.jernehbysheilamajid.com, Sheila menjelaskan, Jerneh akan dipasarkan di Kelantan sekitar bulan Oktober ini.

"Dengan konsep Jerneh yang halal dan bersih, kerana itu Kelantan dipilih sebagai negeri pertama untuk kami pasarkan produk ini ke sana.

"Insya-Allah, selepas ini ia akan ke negeri-negeri lain. Saya mahu melakukannya secara perlahan-lahan," ujarnya penuh optimis.

Biarpun di kala usianya yang sudah mencecah empat dekad, Sheila masih lagi menjadi pilihan untuk bergelar duta.

Kali ini, dia menjadi duta Nespray 1+ bersama anak keempatnya, Khalefa Laila Murshim yang kini berusia dua tahun untuk tempoh satu tahun.

Khalefa merupakan anak kedua menerusi perkahwinannya bersama Hashridz Murshim Hassim atau Acis.

Jelas Sheila, dia terbuka untuk menerima tawaran daripada pihak Nestle itu adalah kerana dia mahu kanak-kanak zaman ini meneroka di luar lingkungan mereka dengan membiarkan mereka meneroka alam sekeliling.

"Ini mampu menajamkan lagi pancaindera mereka dan membuatkan mereka menjadi lebih yakin. Ibu bapa zaman sekarang jarang sekali mengadaptasi cara itu dengan membenarkan anak-anak mereka berada di luar rumah.

"Dalam masa yang sama, ibu bapa juga perlu mengawasi pergerakan anak-anak mereka dengan masalah sosial yang berlaku sekarang ini. Tetapi, itu bukan satu halangan untuk mengongkong dan membataskan pergerakan mereka.

"Mereka perlu diajar sejak kecil agar mereka mampu menjadi seorang yang lebih berkeyakinan dan berketerampilan apabila dewasa kelak," katanya yang juga terlibat dalam kempen Terokalah Manjaku (Let Kids Be Kids) anjuran Nestle itu.

No comments: