Wednesday, August 12, 2009

Semoga Allah ampunkan dia

Semoga Allah ampunkan dia

SEBAK, sedih dan kecewa. Itulah rumusan perasaan Papa kala membuka blog seorang selebriti yang penuh bongkak mendakwa dia penulis paling masyhur di alam maya.

Sebetulnya, sebelum ini Papa sentiasa mengingatkan diri agar jangan sesekali membaca blog si penulis yang Papa sifatkan sebagai biadap itu.

Namun, beberapa teman merayu meminta Papa membaca dan menilai mentaliti personaliti yang hidupnya semakin 'huru-hara' dan ditambah dengan krisis identiti yang dihadapinya.

Selain diminta membaca blognya, rakan-rakan juga meminta Papa agar menegur personaliti itu melalui tulisan dalam ruangan ini.

Kata rakan-rakan Papa, personaliti itu memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar kerana berdasarkan apa yang ditulis dalam blognya, dia sudah jauh tersasar dari landasan kehidupan sebagai seorang manusia yang waras.

Bila diteliti tulisannya, Papa langsung tidak pernah terfikir yang dia tergamak mencarut, memaki dan menghina manusia.

Lebih membuatkan Papa malu ialah dia tanpa segan silu bercerita pada seluruh dunia mengenai gaya hidupnya yang memualkan!

Tidakkah dia terfikir mengenai harga diri, maruah keluarga dan reputasinya?

Atau barangkali, dia suka apabila orang bercakap, berdebat dan bercerita mengenai hidupnya?

Mengurut dada dan mengucap panjang Papa sebaik membaca artikel-artikel yang disiarkan dalam blog itu. Semuanya menggambarkan dia seorang manusia yang tebal dengan keegoan dan keangkuhan.

Selama ini, Papa diberitahu, rakan-rakan media dari akhbar arus perdana sentiasa menjadi mangsa kecaman si personaliti itu.

Ada saja fitnah yang dilemparkan oleh si penulis blog itu.

Namun, paling terbaru, seorang individu berpengaruh dalam industri televisyen menjadi mangsa penulis tidak bermaruah itu.

Papa sungguh sedih kerana seorang yang datang dari sebuah keluarga yang baik tergamak menghina manusia sehingga ke tahap sedemikian rupa.

Tertanya-tanya Papa, apa niat beliau melakukan sedemikian rupa?

Papa tidak mahu lagi menulis panjang lebar mengenai blog personaliti itu.

Cuma doa Papa buat personaliti itu ialah semoga Allah mengampunkan segala keterlanjuran yang beliau lakukan dalam penulisannya selama ini.

Papa percaya, mereka yang pernah menjadi mangsa cemuhan, hinaan dan fitnah si personaliti itu juga akan sentiasa memaafkannya.

Mengambil rahmat dan keberkatan Ramadan yang akan menjelang tidak lama lagi, harapan Papa, personaliti itu akan sedar bahawa dia tidak sewajarnya berbuat demikian.

Dan Papa tidak fikir Papa orang yang paling layak untuk menasihatinya kerana dia sudah besar panjang.

Lagipun Papa difahamkan personaliti ini mendakwa, dia sudah berhenti membaca akhbar arus perdana.

Sekali lagi, doa dan harapan Papa, personaliti akan berubah dan akan mencari kehidupan yang lebih mulia pada masa depan.

No comments: