Wednesday, August 12, 2009

Naskhah terbaru Afdlin Shauki

Naskhah terbaru Afdlin Shauki


Afdlin SHAUKI


BELUM pun reda peminat memperkatakan tentang kejayaan Papadom yang muncul Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22), pengarah berbadan gempal ini bakal muncul dengan satu lagi filem terbaru arahannya berjudul Jalan Lama.

Jika selama ini beliau banyak mengarahkan filem genre komedi, kata Afdlin Shauki, Jalan Lama merupakan filem pertama arahannya yang berteraskan genre drama serius.

Sebagai pengarah Afdlin tidak mahu statik dalam mengarahkan filem, sebaliknya dia mahu memperkembangkan lagi bakat serta gaya pengarahannya dalam skop yang lebih luas.

"Saya mahu mencabar bakat yang ada dalam diri saya. Sebagai pembikin filem ini adalah cabaran saya. Apatah lagi, penerbit filem itu, Tayangan Unggul Sdn. Bhd. memberi kepercayaan kepada saya untuk mencuba genre itu.

"Jika tiada aral melintang minggu depan saya akan mula menjalani penggambaran Jalan Lama. Filem ini antara lain mengisahkan dua beradik yang pulang ke kampung selepas ayah mereka meninggal dunia.

"Daripada saat itulah mereka melalui pelbagai perkara yang akan mengubah hidup mereka. Filem ini mirip Lords of the Rings dan ia merupakan filem serius pertama arahan saya," jelasnya.

Menurut Afdlin, antara pelakon yang akan membintangi Jalan Lama ialah Namron, Vanidah Imran dan Que Haidar.

Afdlin turut menjelaskan, Jalan Lama akan dihasilkan dalam lingkungan bajet yang rendah.

Apa yang membezakan penglibatan Afdlin kali ini berbanding dengan penglibatannya dalam filem-filem arahannya sebelum ini ialah dia akan memberikan tumpuan sepenuhnya pada kerja-kerja di belakang tabir.

Sebelum ini, lazimnya, dalam filem-filem arahannya Afdlin turut membabitkan diri sebagai pelakon filem tersebut secara langsung.

"Saya akan terlibat juga (sebagai pelakon) tetapi orang tidak akan sedar kemunculan saya dalam filem itu. Saya anggarkan bajet filem ini agak rendah iaitu sekitar RM1.5 juta sahaja," ujar seniman yang turut ditabal sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Papadom pada FFM22 minggu lalu.

Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik yang diraih oleh Afdlin itu merupakan yang ketiga berada dalam genggamannya selepas memenanginya menerusi filem Suara Hati dan Buli juga menerusi festival filem yang sama.

Talentime ditayang semula

Sementara itu, pada acara FFM22, karyawan filem tanah air terus diraikan seperti tahun-tahun sebelum ini.

Pastinya juga sudah ramai yang sedia maklum dengan keputusan yang bakal menjadi rekod dalam sejarah industri sinema tanah air.

Antaranya filem arahan Allahyarham Yasmin Ahmad berjudul Talentime yang disenaraikan sebagai finalis Top 5 kategori Filem Terbaik bukan sahaja mengangkat beliau sebagai pemenang kategori Pengarah Terbaik festival itu, malah filem terbitan Primeworks Studios Sdn. Bhd. itu juga mengumumkan akan ditayangkan semula di pawagam mulai 13 Ogos ini (esok) sebagai mengenang jasa dan pembabitan Allahyarham dalam industri perfileman tanah air.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan, tayangan semula Talentime di pawagam secara tidak langsung juga akan memberi peluang peminat yang belum menonton filem tersebut.

Pada masa yang sama, tujuan penayangan semula filem itu juga dibuat seiring dengan matlamat syarikat produksi itu yang mahu beramal.

Sehubungan itu, Primeworks kata Farid, bersetuju untuk menyumbang RM1 daripada jualan tiket tayangan filem itu kepada mereka yang memerlukannya.

Semua ini ujar Farid, dilakukan semata-mata sebagai menyatakan rasa hormat syarikat itu pada Yasmin yang dianggap sebagai ikon dalam bidang perfileman di negara ini.

"Ini adalah salah satu cara kita memberi penghargaan kepada Allahyarham atas segala pembabitannya dalam bidang penerbitan filem selama ini," katanya kepada Hits ketika ditemui selepas malam kemuncak anugerah FFM22 di Dewan Cancelor, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Talentime merupakan sebuah karya Yasmin yang sarat dengan elemen kasih sayang dan perpaduan watak-watak berbilang bangsa yang dipaparkan melalui filem itu.

Filem berkenaan menampilkan pelakon-pelakon ternama seperti Harith Iskander, Mahesh Kishor, Mohd. Shafie Naswip, Azean Irdawaty, Sukania Venugopal dan Jaclyn Victor.

Sehubungan itu, mulai esok pawagam-pawagam yang akan menayangkan semula Talentime ialah GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, Queensbay Mall, Pulau Pinang, Sunway Carnival, Prai, Dataran Pahlawan, Melaka dan Alamanda, Putrajaya serta MBO Cinemas, Ampang, Batu Pahat Mall dan MBO Kluang, Johor.

Turut menayangkan Talentime ialah pawagam TGV KLCC, Bukit Tinggi dan Bukit Raja, Klang, Tebrau City, Johor bahru, Cheras Selatan, Kuala Lumpur, One Utama, Petaling Jaya, Selangor, Growball, Kota Kinabalu, The Mall, Brunei dan rangkaian Lotus 5 Star di Taiping, Teruntum, Kuantan, Riverside, Kuching dan Alor Setar, Kedah.

No comments: