Sunday, August 23, 2009

'Shazlin diperdaya' - Radhi

'Shazlin diperdaya' - Radhi


DRAMA suami isteri ini berlaku di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 28 Julai lalu.


DRAMA mahkamah pelakon, Shazlin Sharif dan penyanyi, Mohd. Radhi Razali berlaku lagi. Jika sebelumnya disebabkan kegagalan Radhi hadir ke mahkamah, namun munculnya Radhi telah membikin kecoh.

Bertelagah di hadapan khalayak menunjukkan sisi tegang hubungan mereka sebagai suami isteri. Shazlin berkata dia mengaku mempunyai hubungan dengan lelaki lain hanya kerana mahu menyakiti hati Radhi.

Habis insiden itu, gambar-gambar Shazlin sedang berfoya-foya dengan gadis lain pula bertebaran di Internet. Radhi mengaku semua ini datang dalam hidupnya secara serentak tetapi bersyukur dia sering diberi ruang untuk menebus kesilapan.

Mahu bergelar manusia normal, sekarang Radhi mempunyai kerja dan tidak mengharapkan wang nyanyian semata-mata. Dia juga ingin berbaik-baik dengan si isteri demi kebaikan anak mereka, Mohd Rifdi Muslim, 4 tahun.

Sibuk merancang mengeluarkan album solo, Radhi bakal memberikan royalti album tersebut buat isteri dan anaknya untuk keperluan masa depan.

"Satu lagi hajat saya, jika bercerai, saya mahu mendapatkan hak penjagaan Rifdi. Walaupun hanya diberikan setahun, itu sudah memadai.

"Saya mahu Rifdi mengenali bapanya," ujar Radhi yang ditemui pada majlis Makan Malam Radio Rosak di Kuala Lumpur tempoh hari.

Bagaimana keadaan anda sekarang?

Saya sudah menjadi manusia biasa. Selama 15 tahun menjadi penyanyi rock, saya tidak berkesempatan melalui kehidupan dan pekerjaan yang normal. Sekarang saya sudah ada kerja tetap di syarikat Malaysian Game Online Sdn. Bhd.

Tugas saya di situ ialah membuat lagu-lagu runut permainan dalam talian iaitu untuk trailer, promosi dan muzik latar.

Maksudnya sudah boleh bangun awal pagi?

Saya bersyukur kerana syarikat ini memberi sedikit kelonggaran kepada saya. Saya masuk kerja pukul 11 pagi dan berazam untuk datang seawal 9 pagi selepas ini.

Saya menerima pekerjaan ini kerana mahu memperbaiki segala kerosakan yang pernah berlaku dalam hidup saya terutama masalah rumah tangga. Saya mahu menjadi manusia normal yang berdisiplin.

Dalam masa yang sama anda masih membuat album solo?

Ya, saya merancang merakam single solo saya yang bertajuk Ambisi. Saya akan masuk studio rakaman sekitar bulan puasa dan harap single ini akan dapat dikeluarkan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.




Setakat ini berapa peratus Radhi sudah berubah?

Baru 10 peratus. 15 tahun saya hidup dalam keadaan yang sama dan untuk berubah tentulah mengambil masa. Saya tahu sekarang saya tidak boleh harapkan persembahan sahaja. Saya mahu tunjukkan diri saya seorang yang boleh diharap.

Sebelum ini anda seakan-akan membuka pekung rumah tangga terlalu banyak di depan khalayak. Kenapa?

Benda dah berlaku. Saya boleh katakan ini kerana sebelum ini saya sukar untuk bertemu dengan isteri saya, Shazlin. Telefon dan SMS tidak pernah dijawab. Jadi apabila dapat peluang, saya mahu berkomunikasi dengannya.

Anda sudah lihat gambar-gambar panas Shazlin di Internet?

Ya, saya tak boleh nak cakap apa. Saya sudah cuba menutup perkara tersebut. Shazlin telah mengaku salah dan minta maaf. Gambar itu diambil sekitar Julai lalu dan saya nasihatkan dia supaya berhati-hati. Saya rasa dia diperdaya. Perempuan dalam gambar itu yang perangkap dia.

Tahun ini beraya dan berpuasa seorang diri?

Sejak tahun lepas sebenarnya saya sudah beraya sendiri. Tahun ini saya akan berpuasa sebaik mungkin. Saya mahu Shazlin dan saya berbaik semula. Kalau bukan sebagai suami isteri setidak-tidaknya sebagai ibu dan ayah kepada Rifdi. Saya tidak mahu anak menjadi mangsa.

Saya minta kepada Shazlin supaya kami sentiasa baik di depan Rifdi. Shazlin mahu berbaik selepas bercerai tetapi saya rasa elok kami berbaik sebelum berpisah. Mungkin sebagai kawan. Saya rasa kami boleh berkawan baik.

Dalam masalah anda dan isteri, orang memang pandang anda dengan prinsip rock n roll anda?

Kalau sebut pasal dadah, saya sudah mendedahkannya sejak tahun 2001 lagi. Saya mengaku mengambil dadah pada waktu itu. Tapi itu dulu. Sekarang adalah masalah rumah tangga yang berpunca daripada tidak duduk sebumbung dan tiada privasi.

Saya rasa Shazlin memang tidak bersedia untuk menjadi isteri dan ibu. Shazlin patutnya bersyukur sebab saya bukan rock star yang kaki perempuan.

Tapi adakah anda seorang yang sangat bergantung kepada wanita secara emosi?

Secara terus-terang, ya terutama dalam bab masakan. Saya mahu air tangan seorang wanita. Saya kecewa sebab jarang dapat merasa masakan isteri.

Shazlin pandai masak cuma dia tak praktikkan. Kalau dia masak telur pun, saya sudah rasa sedap. Saya memang perlukan wanita di samping saya.

No comments: