Friday, July 17, 2009

George Lucas terkaya di Hollywood

George Lucas terkaya di Hollywood

NEW YORK 16 Julai - George Lucas yang mengetengahkan filem Star Wars menduduki tangga teratas orang berpendapatan tinggi di Hollywood, semalam dengan pendapatan dianggarkan bernilai AS$170 juta (RM608 juta) setahun, selepas filem blokbuster Indiana Jones yang keempat ditayangkan di pawagam.

Pengarah filem Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull Steven Spielberg pula menduduki tempat kedua selepas meraih kira-kira AS$150 juta (RM536 juta) antara Jun 2008 hingga Jun 2009, menurut laman web Forbes.com.

Walaupun mendapat kritikan, filem Indiana Jones itu telah meraih kutipan pendapatan berjumlah AS$786 juta (RM2,806 juta) menerusi tayangannya di seluruh dunia.

Secara keseluruhan, senarai laman web Forbes dikuasai oleh orang yang berada di belakang layar berbanding bintang-bintang filem terkemuka, dan penerbit siri televisyen (TV) kesukaan ramai seperti CSI, The Amazing Race dan Cold Case.

Sementara itu, Jerry Bruckheimer disenaraikan sebagai orang ketiga meraih pendapatan tertinggi bernilai kira-kira AS$100 juta (RM357 juta).

"Bintang-bintang Hollywood hanya dapat menghiasi muka hadapan majalah-majalah dan pereka fesyen menggayakan mereka dengan pakaian percuma, tetapi penerbit yang meraih keuntungan lumayan," kata laman web Forbes.com.

Laman web Forbes.com mengumpulkan senarai orang pendapatan tertinggi yang terlibat dalam industri seni termasuk penerbit, pelakon, penulis, ahli muzik serta personaliti TV dan kemudian berbincang dengan penggiat di Hollywood untuk mengganggarkan pendapatan penggiat-penggiat seni dalam tempoh 12 bulan lalu.

Pelakon komedi, Jerry Seinfeld pula menduduki tempat keempat dengan pendapatan bernilai AS$85 juta (RM303.4 juta), sebahagian besar daripada hasil hak ciptanya menerbitkan drama TV, Seinfeld sejak 10 tahun lalu, selepas tayangan drama itu berakhir dan juga daripada satu siri iklan Microsoft yang diciptanya.

Di tempat kelima, ahli psikologi TV, Dr. Phil McGraw membuktikan bahawa nasihat juga mampu memperolehi bayaran tinggi menerusi rancangan TV miliknya, buku-buku dan ceramah-ceramah yang banyak membantu beliau meraih pendapatan kira-kira AS$80 juta (RM285.7 juta) pada tahun lepas.

Hakim American Idol dan penerbit rancangan, Simon Cowell meraih sekitar AS$75 juta (RM267.7 juta), bersama-sama dengan penerbit TV, Dick Wolf dan penerbit filem, Tyler Perry. - Reuters

No comments: