Monday, August 24, 2009

Siti Nurhaliza : Mohon cahaya mata Ramadan

Mohon cahaya mata Ramadan




Tanggal 21 Ogos hadir lagi. Tarikh keramat dalam hidup seorang diva negara. Tiga tahun lalu, ia menjadi detik penamat segala spekulasi paling hangat dalam sejarah industri hiburan tanah air apabila Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sah memilih Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa sebagai lelaki yang bertakhta dalam hatinya.

Begitu pantas masa berlalu, tiga hari lalu Siti, 30, bersama suaminya meraikan kembali detik bersejarah itu. Saat gemilang menyatukan dua jiwa.

Berbanding tahun-tahun sebelumnya, tanggal 21 Ogos tahun ini ternyata lebih bermakna buat penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh itu.

Jika tahun pertama ulang tahun perkahwinan mereka diraikan dengan pelbagai persembahan di sebuah hotel, tahun kedua disambut dengan majlis doa selamat di rumah, malam Sabtu lalu ulang tahun ketiga menyaksikan pasangan itu mengambil keberkatan Ramadan dengan mengadakan majlis sembahyang Tarawih di kediaman mereka di Bukit Antarabangsa.

"Kebetulan kali ini tarikh ulang tahun perkahwinan kami jatuh pada malam 1 Ramadan sebab itu kami adakan majlis doa selamat dan disekalikan dengan sembahyang Tarawih.

"Kali ini memang Siti rasa ulang tahun kami lebih istimewa kerana kami dapat meraikan dan mendapatkan keberkatan bulan Ramadan," ungkap Siti mengenai majlis malam itu yang dihadiri oleh ahli keluarga dan kenalan rapat.

Mengenakan persalinan baju kurung moden rona hitam putih, Siti memberitahu, beliau berharap keberkatan Ramadan akan menambahkan lagi kebahagiaan rumah tangganya dengan suami tercinta.

"Sudah tentunya banyak perkara yang Siti harapkan daripada keberkatan Ramadan ini. Siti mendoakan agar kebahagiaan rumah tangga kami bertambah-tambah. Macam suami cakap biar sampai akhir hayat, biar sampai ke alam syurga.

"Kedua, Siti memohon agar rezeki yang lebih murah untuk keluarga kami dan ketiga sudah tentunya Siti mendoakan juga kehadiran cahaya mata sebagai penyeri kehidupan bersama suami," ujar Siti jujur.


SITI dan Khalid melihat jambangan bunga yang diterima sempena ulang tahun ketiga perkahwinan mereka.


Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti menjelang Aidilfitri, Siti turut mengakui rahmat Ramadan juga tidak mahu dilepaskan dengan memperbanyakkan amalan kebajikan melalui Yayasan Nurjiwa.

Sibuk melayan lebih 200 tetamu yang hadir pada majlis doa selamat dan solat Tarawih di kediaman mereka, Khalid yang kemudian duduk di sebelah Siti menambah : "Tiga tahun berlalu dengan begitu cepat. Pejam celik, pejam celik sudah tiga tahun. Saya rasa seperti baru semalam kami berkahwin," gurau Khalid, 50.

Tambah leaki yang terkenal dengan panggilan Datuk K, beliau telah melalui hari-hari yang sangat membahagiakan sejak menyunting Siti sebagai suri dalam hidupnya.

"Kehidupan saya dipenuhi dengan cinta dan kasih sayang.

"Syukur di atas kehidupan indah ini. Ia satu anugerah daripada Allah buat saya. Saya berdoa agar kehidupan kami akan terus dan bertambah bahagia.

"Tidak ketinggalan sudah tentu kami mengharapkan Siti akan dapat menimang seorang cahaya mata."


SITI bahagia di sisi suami tercinta biarpun dalam tempoh tiga tahun pelbagai ujian perlu ditempuhi mereka.


Mengenang kembali perjalanan mahligai cinti yang dibina selama tiga tahun itu sambil senyuman tidak pernah lekang di wajahnya, Siti mengakui dalam tempoh tersebut memang bukan sedikit ujian dan liku-liku dugaan yang cuba menggegarkan hubungan mereka suami isteri.

Sudah menjadi resam dunia glamor, gosip dan kontroversi memang tidak pernah lekang dalam kehidupan selebriti apatah lagi penyanyi nombor satu negara seperti Siti.

"Macam-macam khabar angin dan gosip yang disebarkan, entahlah Siti tunggu juga apa pula gosip selepas ini. Tetapi hakikat, gosip seperti itu jugalah yang merapatkan lagi hubungan kami," luah Siti.

Sepanjang tempoh tiga tahun ini, antara gosip yang pernah difitnah kepada pasangan itu termasuklah Siti pernah dipukul Khalid, selain ahli perniagaan itu dikatakan memadukan Siti apabila mendiri rumah tangga dengan seorang pramugari.

"Saya bersyukur Siti tidak melatah dan tidak stres dengan satu demi satu gosip yang difitnah ke atas kami. Sebaliknya, kadang-kadang saya yang jadi tertekan.

"Tetapi Siti pandai menuetralkan gosip. Ikutkan hati memang tidak mahu layan, tetapi bila orang bertanya kita terpaksa jawab. Harapnya tidak adalah lagi fitnah selepas ini," pinta Khalid yang selalu diusik sebagai lelaki bermisai tebal.


IBU Khalid, Siti Zainab Hanafi (dua dari kanan) dan ibu Siti, Siti Salmah Bachik turut hadir pada majlis ulang tahun ketiga Siti dan suaminya di Bukit Antarabangsa.


Ditanya tentang resipi kebahagiaan rumah tangga mereka yang mungkin boleh menjadi panduan masyarakat di luar, Siti tidak berahsia bahawa dalam alam perkahwinan perlu ada tolak ansur.

"Sebenarnya ada pasangan artis lain yang bertahan lebih lama dan boleh dijadikan rujukan.

"Tetapi kalau bagi Siti sendiri, yang penting dalam alam rumah tangga kita perlu terima setiap pasangan kita seadanya. Kita perlu terima baik buruk dia, barulah kita jadi seorang isteri yang bersyukur," kongsi penyanyi yang popular dengan lagu seperti Di Taman Teman dan Di Kayangan Kita.


SITI dan Khalid memotong pulut kuning sambil diperhatikan oleh ahli keluarga mereka.


Mencelah jawapan isterinya, Khalid memberitahu, beliau belajar untuk menyesuaikan diri dengan perasaan bahawa Siti adalah milik masyarakat.

"Lelaki biasanya ada perasan possesive (memiliki dan cemburu). Menjadi suami kepada Siti Nurhaliza, saya belajar untuk menerima hakikat Siti adalah penyanyi kesayangan masyarakat.

"Namun, yang penting membuatkan hubungan kami terus kekal bahagia, Siti tidak lupakan suaminya. Dia (Siti) hanya memikirkan saya difikirannya setiap masa," luah Khalid.

Dipuji begitu Siti mengakui dalam kesibukan kerjaya masing-masing, mereka tidak pernah lupa saling berhubung.


SITI (tiga dari kiri) berpelukan dengan jemaah wanita selepas sembahyang Isyak dan Tarawih di kediamannya di Bukit Antarabangsa.


Itu menjadi tanda mereka sentiasamengingati dan mengambil berat.

"Ada masanya belum Siti telefon suami, dia (Khalid) sudah telefon terlebih dahulu. Siti akan bagi tahu yang Siti baru hendak telefon dia.

"Mungkin sudah naluri suami isteri, masing-masing tidak pernah putus berhenti saling mengingati," ungkap Siti lagi.

Ramadan ini selain ke Melbourne, Australia menghantar anak ketiga Khalid, Mohd. Ashraf menyambung pengajian di sana, pasangan itu juga dijangka menunaikan umrah bersama di Tanah Suci.

No comments: