Tuesday, August 25, 2009

Bintang legenda tunjuk taring

Bintang legenda tunjuk taring


ABDUL RAHMAN (empat dari kiri) memusingkan piring hitam sebagai tanda pelancaran Festival Filem Klasik Paradise 2009 sambil diperhatikan oleh (dari kiri) Jins Shamsudin, Jeff De Zilva dan Mustapha baru-baru ini.


WALAUPUN era kegemilangan mereka telah berlalu, tetapi gemerlapan populariti seniman dan seniwati legenda tanah air ini tidak pernah luput di mata peminat.

Buktinya, kehadiran nama-nama popular seperti Senator Tan Sri Jins Shamsudin, Datuk Mustapha Ma'arof, Datuk Maria Menado, menghangatkan Festival Filem Klasik Paradise Kelima (FFKP5) yang diadakan di Pulau Pinang baru-baru ini.

Mereka antara 15 artis legenda yang hadir memeriahkan acara tahunan anjuran Hotel Paradise Sandy Beach Resort (Paradise) Batu Feringghi pada pertengahan Ogos lalu.

Diadakan sebagai menghargai jasa dan sumbangan anak-anak seni era terdahulu kepada negara penganjurannya boleh dikatakan bersifat cukup nostalgik biarpun tiada filem-filem klasik yang dipertandingkan.

Ini kerana barisan artis-artis 'lama' yang hadir bukanlah nama-nama kecil antaranya ialah Datuk Aziz Satar, Kuswadinata, Mariani Ismail, Salmah Ahmad, R. Ismail, Sofiah Ibrahim, Aimi Jarr, Kassim Masdor dan tidak ketinggalan artis-artis era 70-an dan 80-an seperti Uji Rashid, Hail Amir serta Imuda.

Rosyam Nor yang sepatutnya mengacarakan majlis makan malam itu bagaimanapun tidak dapat menyempurnakan tugasan itu kerana kecederaan di tangan kanan. Tetapi Rosyam tetap hadir memeriahkan majlis.

Seperti penganjuran sebelum ini, untuk tahun kelima, FFKP turut menayangkan filem-filem klasik terpilih di sekitar pantai berdekatan dengan resort sepanjang tiga hari penganjurannya.

Kali ini tiga filem klasik Melayu dipilih iaitu Sumpah Puntianak, Pendekar Bujang Lapuk dan Panca Delima ditontonkan kepada pengunjung hotel diikuti senimar filem Melayu. Seminar itu turut disertai penuntut universiti dan kolej tempatan khususnya mereka yang mendalami pengajian seni persembahan.

"Penganjuran FFKP adalah untuk mendedahkan khalayak dengan nilai seni yang boleh dimanfaatkan daripada karya-karya klasik yang tiada tolok bandingnya ini," ujar Pengurus Paradise, Jeff De Zilva.

Semasa menyampaikan ucapan pembukaan pada majlis makan malam FFKP5 itu, beliau memberitahu majlis itu diadakan bagi mengajak rakyat Malaysia khususnya menghargai karya seni tinggalan seniman seniwati handalan tanah air.

Hadir sama memeriahkan majlis tersebut ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri, Law Heng Kiang.

Majlis yang dihadiri kira-kira 500 jemputan itu diserikan dengan persembahan nyanyian artis-artis legenda yang ternyata masih bertenaga dengan iringan muzik diketuai komposer legenda, Kassim Masador.


MEMORI 70-an, Uji Rashid dan Hail Amir berduet bersama mendendangkan lagu Antara Matamu Dan Mataku.


Ternyata, bintang-bintang legenda ini masih tebal bisanya. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan mutu nyanyian mereka lebih berkualiti daripada bintang-bintang segera program realiti TV tanah air.

Buktinya, pelakon Sofia Ibrahim yang memulakan persembahan dengan mendendangkan lagu Unchained Melody mendapat tepukan gemuruh hadirin. Kelunakan suara bintang filem Merdeka Studio ini yang bertenaga cukup memukau.

Bagi generasi muda, nama penyanyi R.Ismail mungkin kedengaran asing, tetapi dalam filem Melayu lama, bintang legenda ini cukup besar pengaruhnya.

Suara nyayiannya banyak digunakan dalam filem-filem lakonan hero Melayu legenda, seniman Allahyarham Nordin Ahmad. Kemunculan R. Ismail berduet dengan Sofia Ibrahim mendendangkan lagu Gurindam Jiwa yang dipetik dari filem Seri Mersing cukup menyentuh jiwa.

Kemuculan primadona filem Melayu era 70-an, Uji Rashid bersama pasangan duetnya, pelakon dan penyanyi Hail Amir dengan lagu Antara Matamu Dan Mataku turut mengembalikan kenangan hadirin ke zaman kegemilangan mereka.

Legenda lawak, Datuk Aziz Satar kemudian berduet bersama heroin filem Melayu, Salmah Ahmad menyanyikan lagu Aci-aci Buka Pintu yang dipetik daripada filem Nasib Si Labu-labi cukup menghiburkan. Aksi bersahaja Aziz Satar membayangkan penonton seolah-olah melihat lakonannya dalam filem Bujang Lapuk.

Sementara itu, Mustapha yang juga Pengerusi Seniman ketika ditemui memuji kesungguhan Paradise menganjurkan festival filem itu sejak lima tahun lalu sebagai pengiktirafan kepada karyawan filem Melayu lama.

Katanya, tahun hadapam FFKP akan diperluaskan dengan menganjurkan Malam Anugerah Klasik yang mempertandingkan filem-filem Melayu era 50-an sepertimana Festival Filem Malaysia.

No comments: