Tuesday, August 25, 2009

Fiksyen sains dengan kritikan sosial

Fiksyen sains dengan kritikan sosial


Salah satu adegan cemas dalam filem District 9 yang kini sedang
ditayangkan di pawagam tempatan.


JIKA bukan kerana nama Peter Jackson yang terkenal dengan filem Lord of the Rings barangkali filem ini kurang mendapat perhatian. Apatah lagi nama pengarah dan barisan pelakon utama filem ini bukanlah nama-nama yang lazim di kalangan pengemar filem.

Dalam perkembangan industri filem hari ini filem-filem genre fiksyen sains yang mengangkat kisah ancaman daripada makhluk asing sebenarnya tidak banyak yang berjaya menarik perhatian khalayak. Hal ini kerana sedemikian banyak filem fiksyen sains yang stereotaip, yang mengulang-ngulang keagongan dan kehebatan Amerika Syarikat dalam menyelamatkan dunia daripada ancaman makhluk asing. Atau cuba memaparkan kehebatan teknologi mereka untuk menyaingi kehebatan teknologi makhluk asing. Membosankan. Tetapi kemunculan filem ini dengan nama Peter Jackson di belakangnya sudah cukup untuk menarik perhatian kita. Filem District 9 terkeluar daripada kelaziman ini. Biarpun filem ini masih mengenai kemunculan makhluk asing tetapi latar filem ini sudah berubah. Filem ini mengambil kota Johannesburg, Afrika Selatan sebagai latar. Apa yang lebih menarik filem ini melihat satu bentuk hubungan di antara manusia dan makhluk asing yang kelihatan seperti udang bersesungut tetapi mempunyai keupayaan pemikiran dan tindakan fizikal seperti manusia. Makhluk asing yang mendarat di Johannesburg 20 tahun dahulu dan kemudian tinggal di bumi Afrika itu akibat daripada terkandasnya kapal induk mereka telah membiak hingga mewujudkan koloni makhluk asing yang besar. Mereka tinggal di District 9 sebuah kawasan perumahan yang diwujudkan untuk mereka. Populasi yang pantas bertambah hingga menyebabkan kawasan itu menjadi kawasan setinggan yang padat, kumuh dan kotor. Kawasan yang sedia sesak itu menjadi bertambah kacau dan berbahaya apabila wujudnya perniagaan haram dan penyeludupan senjata yang dilakukan oleh sekumpulan orang-orang Nigeria. Pihak berkuasa telah melantik sepasukan pengawal keselamatan persendirian yang dikenali sebagai Multinational United (MNU) yang mengkhusus dalam penyelidikan senjata untuk membuat pengawasan dan keselamatan. Disebabkan penambahan populasi yang pantas hingga mencapai jumlah 1.8 juta penempatan, mereka perlu dipindahkan ke daeran baru yang dikenali sebagai District 10 yang terletak 240 km dari Johannesburg. Pegawai yang bertanggungjawab untuk mengetuai operasi pemindahan ini adalah Wikus van der Merwe (Sharlto Copley). Tetapi proses pemindahan ini tidak mudah dan cukup berbahaya.Sebenarnya yang mengacau dan menakutkan apabila Wikus sendiri berhadapan perubahan dirinya yang mengalami transformasi sedikit demi sedikit menjadi makhluk asing kesan daripada cantuman DNA dia dengan makhluk asing tersebut akibat terkena sejenis cecair yang dicipta oleh Christopher, nama panggilan makhluk asing oleh MNU, yang sebenarnya membuat penyelidikan untuk kembali ke planet mereka. Proses metamorfosis ini adalah antara adegan yang menakutkan dan sekali gus tragedi yang memilukan dalam filem ini. Wikus mengalami kesan transformasi seperti yang dilalui oleh Gregor Samsa dalam Metamorphosis karya Kafka dan Prof. Brundle (Jeff Goldblum) yang berubah menjadi lalat dalam The Fly (David Cronenberg). Filem District 9 yang diarahkan oleh pengarah kelahiran Afrika Selatan, Neill Blomkamp sebenarnya bertitik tolak daripada filem pendek Alive In Joburg karya Blomkamp sendiri yang dipanjangkan. Blomkamp cuba membawa pendekatan dokumentari untuk memberikan elemen realiti kepada filem genre fiskyen sains ini apabila adegan pembukaan dan penutup yang mewawancara beberapa orang saksi yang mempunyai pendapat dan persepsi sendiri tentang apa yang berlaku. Pendekatan seperti yang dilakukan oleh filem Blair Witch Project membuatkan ancaman makhluk asing, kesan sesak dan kotor itu kelihatan lebih real dan lebih menakutkan.District 9 adalah sebuah fiskyen sains yang mempunyai lapisan politik yang mengingatkan kita kepada tindakan apartheid di Afrika Selatan. Sepertimana masyarakat kulit hitam yang menerima layanan kelas kedua, ditindas dan dipaksa tinggal dalam keadaan yang tidak selesa, hal yang sama dilalui oleh makhluk-makhluk asing tersebut. Mereka diburu dan dizalimi. Apabila Wikus mengalami transformasi, dia menjadi mangsa buruan atas sebab penyelidikan dan nilai perubatan.Walaupun District 9 membawa sebuah genre yang selalunya mengulang formula dan pendekatan yang sama, tetapi filem arahan Neill Blomkamp terkeluar daripada jalur kebiasaan itu. Hasilnya sebuah filem fiksyen sains yang mempunyai jalur politik dan kritikan sosial yang sangat menarik.

No comments: