Sunday, July 19, 2009

Black nazar bina rumah ayah

Black nazar bina rumah ayah

Alhamdulillah, keputusan ini tepat. Saya jadi juara dan dalam masa yang sama, saya masih aktif bermain bola




DIJULANG menjadi juara Mentor musim ketiga, Hanifah Md Hanafiah atau dikenali sebagai Black masih sedang menyesuaikan diri dengan atmosfera dunia hiburan. Ditegur orang sana-sini, katanya dia kekok.

"Tapi saya cuba senyum atau angkat tangan dan membiasakan diri dengan keadaan baru," ujar jejaka berusia 22 tahun yang membawa pulang wang tunai RM100,000 serta sebuah kereta Kia Spectra 5 hasil kemenangan dalam program realiti tersebut.

Kami duduk berbual tentang transformasi kehidupannya sebelum dan selepas menjadi anak seni.

Cerita anak bongsu daripada tiga beradik ini, sebelum memasuki program Mentor, jadual hariannya diisi dengan kerja membantu ayahnya, Hanafiah Che Din, 56, menjaja ikan menggunakan van.

Pada sebelah petang, dia menghabiskan masa bermain bola sepak sebagai penyerang di bawah kelab Medan Harmoni.

Malah sewaktu ingin memasuki Mentor, dia harus membuat pilihan tepat antara bola sepak dengan dunia nyanyian kerana sehari sebelum memasuki program tersebut, dia layak mewakili kelab PKNS untuk bertanding dalam Piala Presiden.

"Saya tersepit antara bola sepak dan Mentor. Tapi akhirnya saya ambil keputusan untuk sertai Mentor kerana walaupun saya menyanyi, saya masih boleh main bola.

"Sebaliknya kalau saya main bola, saya tak mungkin dapat ikut pertandingan ini.

"Alhamdulillah, keputusan ini tepat. Saya jadi juara dan dalam masa yang sama, saya masih aktif bermain bola," beritahu Black yang membawa sebiji bola sepanjang dikurung di hotel Mentor untuk melepas geram.

Teruja dengan perjalanan baru yang diteroka, Black yang bernaung di bawah syarikat Monkey Bone memberitahu dia sedang dalam perancangan melahirkan single pertamanya sebelum Aidilfitri.

Bagaimanapun, ia masih belum diputuskan dan sebagai orang baru, dia mengikut kehendak pihak yang lebih arif dalam merencana masa depannya.

Ditanya jika berpeluang, dengan karyawan mana dia mahu bekerjasama, dalam malu-malu bercampur teruja, Black menjawab: "Audi Mok atau M. Nasir. Saya juga menyukai Aidit Alfian dan Spider sebab kena dengan jiwa saya yang tak terlalu jiwang dan tak terlalu rock."

Sementara bercakap tentang wang tunai RM100,000, kata Black, sebahagian wang tersebut mahu disimpan dan sebahagian lagi ingin digunakan untuk membina sebuah rumah buat ayahnya sebagai tanda terima kasih.

"Saya memang bernazar membuat rumah untuk ayah di tanah milik ayah di kampung kami di Kupang, Baling, Kedah," katanya yang baru membuat kenduri kesyukuran kemenangannya di Baling semalam.

No comments: