Sunday, July 19, 2009

Zahida Mohamed Rafik : Bimbang prasangka mak datin

Bimbang prasangka mak datin

Bila gosip itu keluar, saya rasa macam nak pergi jumpa wartawan itu dan tanya daripada mana dia dapat cerita itu?


" "


“KALAU nak tanya pasal kahwin, saya nak baliklah. Saya belum nak kahwin,” begitu pelakon cantik, Zahida Mohamed Rafik menyambut salam perkenalan kami petang itu.

Namun, sedikit pun saya tidak ambil hati kerana sudah dapat menebak personaliti wanita berusia 34 tahun ini – berterus-terang dan tidak hipokrit.

Saya nyatakan pada Zahida, pertemuan petang itu bukan sekadar mahu bercakap tentang isu kahwin, tetapi mahu dia menjelaskan bagaimana kehidupannya boleh menjadi begitu mewah sedangkan hasil lakonannya tidak seberapa.

Adakah benar dia ditaja VIP seperti gosip yang mengalir bagai air sungai. Adakah dia juga sudah berkahwin dengan seorang VVIP yang sejak sekian lama didakwa menjalin hubungan dengannya.

Atau adakah semua kemewahan tersebut diperoleh daripada kekayaan keluarga serta usahanya sendiri. Juga, lelaki bagaimana yang dia mahukan serta isu botox yang tak berkesudahan dan high maintainance seorang Zahida Rafik.

Realitinya juga, Zahida sudah lama tidak berlakon. Kali terakhir wanita yang terjebak menjadi pelakon selepas ditawarkan Aziz M. Osman ini adalah dalam filem Hingga Hujung Nyawa pada tahun 2004. Lebih daripada kisah kerjaya, Zahida panas dengan ceritera negatif yang terus datang bertimpa.

Zahida senyum. Katanya, dia sudah masak dengan soalan-soalan begini. Kadang-kadang tidak larat mahu menjawab. Tapi dek baru-baru ini digosip kononnya dia meraikan hari-hari terakhir sebagai seorang wanita bujang kerana akan bernikah dengan seorang VVIP, membuatkan Zahida terpanggil untuk menjawab persepsi buruk tersebut.

“Sebenarnya saya tak kuasa nak ambil peduli hal-hal begini sebab saya belum mahu berkahwin. Jauh sekali berkahwin dengan VVIP seperti yang didakwa. Bila gosip itu keluar, saya rasa macam nak pergi jumpa wartawan itu dan tanya daripada mana dia dapat cerita itu?

“Fokus saya sekarang nak kembangkan bisnes. Kemudian baru fikir tentang kahwin. Itu pun lama lagi rasanya,” jelas Zahida serius.




Bagaimanapun, Zahida tidak menafikan dia memiliki banyak kenalan di kalangan VIP. Sebagai seorang bisnes, dia selalu berurusan dengan golongan itu.

Tetapi dalam masa yang sama, kata Zahida dia turut memiliki teman-teman lelaki di kalangan orang biasa. Jadi apa masalahnya?

Katanya lagi, dia tidak mahu memanjangkan isu ini. Bimbang nanti disalah tafsir khalayak selain tidak mahu membuahkan prasangka di kalangan mak datin, suami siapakah yang bakal dia kahwini.

Jadi tegas pemilik sosok dengan ketinggian 5 kaki 7 inci ini, cukup sekadar dia memberitahu bahawa dia belum bersedia untuk bernikah.

Malah akuinya, pada usia 34 tahun, dia masih menetap dengan kedua ibu bapanya. “Saya anak bongsu dan undang-undang dalam keluarga, selagi saya tidak berkahwin, saya harus tinggal bersama mereka,” kata anak kelima yang turut memberitahu tidak tertekan dengan peraturan bapanya yang berdarah Pakistan itu.

Hidup mewah bukan sebab ‘dibela’ VIP

Selain didakwa berkahwin dengan VIP, khalayak turut mempersoalkan kemewahannya. Dia dilihat kerap berada di London. Kala muncul di khalayak ramai, Zahida mewah menjinjing beg jenama antarabangsa seperti Chanel dan busananya ditempah khas daripada pereka seperti Michael Ong.

Zahida kemudian menyoal saya kembali. Katanya apa salahnya kerap pergi ke London? Apa pula kesalahan untuk merasa pakai jenama mewah jika berkemampuan?

Jelasnya: “Saya bukan nak cakap besar, tapi London sudah macam rumah kedua saya. Sekurang-kurangnya setahun dua kali saya ke sana terutama pada waktu jualan murah musim Krismas. Saya juga sangat selesa dan mahir dengan jalan-jalan di sana. Lebih daripada itu, saya mempunyai ramai teman di London, jadi tak terasa asing.”


ZAHIDA merupakan seorang wanita yang lemah lembut dan berdedikasi tinggi terhadap kehidupannya.


Sementara pada isu jenama mahal, akui Zahida, dia memang gemarkannya. Namun, itu tidak bererti dia tidak memakai pakaian tanpa jenama.

“Asalkan ia cantik digayakan, saya masih memakai sesuatu tanpa jenama,” katanya yang kadangkala berbelanja di Bangkok, Thailand kerana berpendapat banyak barangan tanpa jenama yang menarik di Negara Gajah Putih itu.

Kemewahan-kemewahan tersebut bukan baru diperoleh. Bagi yang kerap menuduh wanita ini ‘dibela’ VIP, Zahida membuka sedikit hal peribadinya. Bukan untuk berbangga tapi untuk membetul duduk persepsi masyarakat.

Beritahu Zahida, dia memang dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sederhana tetapi berkat saling membantu antara adik-beradik, mereka memiliki empayar bisnes di bawah syarikat Layar Samudera.

Di bawah syarikat Nobel Benchmark Sdn. Bhd. pula, dia membekalkan sayur-sayuran ke pasar raya besar seluruh negara selain baru menubuhkan rumah produksi yang dikongsi bersama Erma Fatima iaitu Nameera Production.

Projek terbarunya, bersama beberapa teman jurusolek, dia menubuhkan yayasan Friends Ukhuwah dalam usaha membantu golongan tidak berkemampuan. Juga di dalam agenda, wanita ini sedang menanti peluang menjadi pengedar barangan buatan Malaysia di beberapa negara luar.

Sementara atmosfera peribadinya juga tidak begitu baik, kata Zahida dia kini lebih selesa bergerak di belakang tabir. Biar merindui dunia lakonan, kesibukan mengurus beberapa bisnes membatas niatnya untuk berlakon.

“Jadi siapa kata saya mewah kerana duit VIP? Saya pun punya duit dan bisnes sendiri. Saya mampu menyara diri,” katanya yang sudah memandu kereta mewah sejak zaman sekolah menengah kerana dimanjakan adik-beradik yang sudah lebih awal mengecap kemewahan.

Zahida mengaku ‘buat’ wajah

Satu lagi isu lama - Zahida Rafik dan botox. “Isu itu sudah lama dan saya kini bebas botox. Cuma nasihat saya, kalau mahu melakukan pembedahan plastik atau botox, pergilah kepada pakar yang betul. Jangan pergi kepada orang yang tidak arif,” ujar Zahida yang mengaku membuat wajahnya kerana terpengaruh dengan kawan-kawan.

Malah katanya, sebagai seorang wanita yang begitu mementingkan penampilan serta kecantikan, dia rasa tidak salah untuk mencuba kaedah tersebut, asalkan tidak memakan diri. Jadi perempuan tak salah nak cantik, ulas Zahida lagi.




Namun, saat ditanya adakah dia akan kembali membuat pembedahan wajah atau fizikal lain untuk sentiasa kelihatan cantik, kata Zahida dia tidak mahu mengubah fizikal dirinya lagi. Tetapi dia tidak menolak jika sekadar mengambil suntikan kolagen agar sentiasa kelihatan cantik.

Sudah lali dengan pelbagai tohmahan, kata Zahida, dia kalis. Apa yang penting, dia hanya menjadi diri sendiri dan tahu apa yang dilakukannya.

No comments: