Sunday, July 19, 2009

Kotak kecil Deanna Yusoff

Kotak kecil Deanna

Dalam dunia yang penuh dengan berita buruk, Deanna Yusoff mahu menghadiahkan orang ramai dengan kisah keseronokan, kelazatan dan ketenangan yang muncul daripada bungkusan comel berisi coklat.


PEMINAT coklat tempatan mula menggemari Mandarin dan Raspberry Truffle ini.


DALAM manis ketawa sambil menolak lembut dengan tapak tangannya, wanita berdarah Melayu-Swiss ini meminta agar tidak mengingatkannya lagi tentang sebaris dialog popular.

Pengucapan penuh emosi dalam babak penghujung filem Ringgit Kasorrga yang dilakonkannya bersama aktor Hans Isaac dan Tiara Jacquelina suatu masa dahulu itu amat terkesan di kalangan penonton sehingga hari ini.

"Waktu itu sudah lama berlalu. Tak sangka masih ramai yang mengingatinya," katanya tersipu sambil mengakui masih didatangi peminat yang bertanyakan khabar jika berada di tempat awam.

Deanna Yusoff yang kali terakhir beraksi di layar perak menerusi Chermin (2007) tidak pernah dilupakan peminatnya. Biarpun tanpa khabar tentang penglibatan terkini dalam bidang lakonan, wajah Pan-Asia ini umpama sebuah jenama dalam kelas yang tersendiri.

"Saya masih menjalankan tanggungjawab sebagai pengacara majlis selain menjayakan persembahan nyanyian di beberapa lokasi undangan," ujar Deanna yang sebelum ini pernah merakamkan album Divide & Continue dan Fix.


SAMBIL berseronok ketika bercuti di Switzerland, Deanna sempat memikirkan tentang bisnes.


Dalam ketidaktentuan peluang dalam bidang seni, lulusan perakaunan yang kekal anggun dalam usia 42 tahun ini percaya kepada kepelbagaian peluang yang terhidang sepanjang jalan hidupnya.

Mungkin tidak ramai menyedari personaliti ini masih aktif bekerja memandangkan kalau di Kuala Lumpur, Deanna mendakwa dirinya lebih suka beristirehat di rumah.

Itupun kalau tidak berhibur bersama teman-teman rapat di sekitar ibu negara atau mencuri waktu libur di pulau kegemarannya iaitu Pangkor Laut.

Begitupun, Deanna tetap akan kembali ke sebuah lagi destinasi wajibnya iaitu Switzerland. Ia pasti dituju sekurang-kurangnya setahun sekali untuk melawat ibunya.

"Switzerland sangat tenang dan indah. Pada musim dingin, udara begitu bersih dan langit menjadi sungguh biru. Apabila berada di sana, fikiran menjadi lebih segar sekali gus membantu saya merancang perkara baru yang ingin diceburi," cerita Deanna kepada Jurnal.


MEMANDU kereta berprestasi tinggi adalah antara contoh keberanian Deanna.



SELAIN peluang bertemu ibunya, keistimewaan Switzerland bagi Deanna adalah pada udara yang bersih, langit yang biru serta landskap gunung yang bersalji.


Memang berbaloi kunjungannya ke bumi Eropah itu. Kembalinya Deanna kali ini dengan memegang portfolio baru sebagai Ketua Pengarah Eksekutif Artisanal Asia Sdn. Bhd., iaitu syarikat pengedar eksklusif bagi jenama coklat GrandJean Freres.

"Semuanya bermula secara tidak sengaja. Di Switzerland, coklat seperti satu budaya dalam pemakanan harian, baik ketika bersarapan ataupun selepas makan malam.

"Hinggalah pada satu hari, saya tanpa terfikir apa-apa cuba merasa coklat yang dihidangkan di rumah ibu saya dan, 'wow!', saya menyukainya," imbas Deanna mengenai cinta pada rasa kali pertama itu.

Lantas Deanna merancang untuk bertemu pembuat dan pengasas coklat tersebut. Duo pakar bakeri itu, Marcel dan André Grandjean, begitu senang dengan hajat Deanna yang ingin memperkenalkan kelazatan itu ke peringkat lebih jauh, khususnya kepada pencinta coklat di Malaysia.

"Ya, mungkin kerana saya separa Swiss selain yang tahu akan budaya tempatan selain fasih dalam pelbagai bahasa, maka saya mudah mendapat kepercayaan itu.

"Kini saya adalah satu-satunya pengedar jenama coklat ini di luar Switzerland. Anda mahukannya, anda perlu berurusan dengan saya sahaja," katanya mengenai coklat Mandarin Truffle dan Raspberry Truffle yang dijangka akan diminati ramai.

Berdasarkan perhatiannya, kebanyakan coklat yang ditemui dalam pasaran adalah semata-mata manisan gula yang yang mengandungi pewarna dan perasa tiruan serta bahan pengawet.

Coklat buatan tangan

"Coklat buatan tangan daripada adik-beradik pakar itu adalah sebenar-benar coklat. Daripada rasanya sahaja, seseorang akan tahu kualitinya. Ia adalah adunan krim dan mentega yang tidak terlalu manis dan mengandungi peratusan kandungan koko yang tinggi," terangnya.




Deanna pada mulanya sekadar membawa pulang coklat itu untuk diperkenalkan kepada kawan-kawannya di Malaysia. Setelah mendapat maklum balas positif, dia mahu menjadi pengedar rasmi hingga menubuhkan syarikatnya itu pada Mei lalu.

"Buat masa ini, coklat ini dihantar terus ke rumah di sekitar Lembah Klang berdasarkan tempahan dalam talian. Saya mahu mengekalkan sentuhan peribadi dalam mempromosikan coklat bermutu di negara ini.

"Biarlah bermula secara kecil-kecilan dahulu, mungkin nanti saya akan membawa masuk jenis dan perisa coklat yang lain," tambahnya yang memasang impian untuk mempromosi produk-produk makanan lain dari Switzerland menerusi Artisanal Asia.

Petah mengulas tentang strategi niaga dalam iklim ekonomi semasa, Deanna menyedari bahawa golongan pekerja bebas yang tidak makan gaji sepertinya menerima impak jika tidak bijak merancang dan mengatur kewangan.

"Hakikatnya, kita sedang dilanda kemelesetan ekonomi. Namun, kita berharap Malaysia tidak seteruk Hong Kong dan beberapa negara Asia lain," katanya yang berpesan tentang kepentingan berbelanja secara terkawal.



BISNES makanan jadi impian Deanna.


Bukan calang-calang impian, wanita ini jelas melaras perbualan dalam bahasa yang optimis. Tanpa mengangkat bendera putih dalam kerjaya seni, Deanna yakin dirinya dianugerahkan pelbagai jalan rezeki dalam hidup.

"Kali ini, saya ingin menumpukan perhatian terhadap coklat ini. Memang sejak dulu lagi saya ingin memulakan sesuatu dalam bisnes berkaitan makanan. Saya benar-benar meminatinya.

Tambah Deanna, dengan segala tragedi dan berita buruk dalam masyarakat di mana-mana sahaja seperti kematian, virus dan peperangan, seseorang memerlukan sesuatu untuk menghargai diri sendiri.

"Apa salahnya kita menghadiahkan diri dan orang yang disayangi dengan sesuatu yang lazat dari dalam kotak kecil seperti ini?

"Coklat ini adalah 'kemewahan' yang mampu kita nikmati," rumus Deanna yang sempat memikirkan persediaannya nanti dalam menjayakan sebuah persembahan jazz di kelab No Black Tie di ibu negara.

No comments: