Monday, August 17, 2009

Ajai mahu kembar lelaki

Ajai mahu kembar lelaki

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my

SIFAT lemah lembut dalam diri seorang gadis yang dikenali sejak tiga tahun lalu menambat hati komposer, penulis lirik dan penyanyi, Mohd Faizal Maas (Ajai), 35, untuk memilihnya sebagai isteri.

Cuma sekali lafaz di Dewan Syarahan Masjid Negeri Pulau Pinang, Ajai sah menjadi suami kepada Norliza (Liza) Mohd Illias, 37. Pernikahan Ajai dan Liza membersihkan pelbagai gosip liar dan kini kehidupan baru dibina bagi melayari hidup berumah tangga untuk hidup bersama sehidup dan semati.

Majlis akad nikah disempurnakan Naib Kadi merangkap Penolong Pendaftar Nikah Bandaraya, Mansor Taib sambil disaksikan Ali Hussin dan Abdul Rahim Aziz sebagai saksi.

Dengan mas kahwin RM1,001 dengan sebentuk cincin berlian di samping hantaran perkahwinan RM15,000 dengan pihak lelaki membawa tujuh dulang dan dibalas sembilan dulang daripada pihak perempuan.

Ajai ketika ditemui selepas upacara akad nikah melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana hasrat untuk mendirikan rumah tangga akhirnya tercapai biarpun sebelum ini pelbagai dugaan dan cabaran ditempuhi termasuk gosip dikaitkan dengan beberapa wanita sebelum ini.

Kini segala-galanya sudah berakhir dan harap ia menjadi penamat dan kini kehidupan baru dibina bersama atas dasar cinta, kasih dan sayang sepenuh jiwa serta kekal selama-lamanya sungguhpun perancangan untuk berkahwin dilakukan sejak tiga tahun lalu dan pemilihan tarikh yang dibuat dianggap hadiah yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.

Lebih manis lagi majlis akad nikah dan perkahwinan itu turut dihadiri anak tunggal perempuan kesayangan Ajai, Ayu Nazirah, 11, dan kegembiraannya sukar digambarkan.

“Alhamdulillah ciri-ciri wanita yang ada pada Liza yang dipanggil Baby dan diri saya dipanggil Abang membuktikan pemilihan yang dibuat tidak silap dan apa yang pasti 98 peratus ciri wanita yang dicari ada pada dirinya,” kata Ajai.

Sementara itu, Liza berkata, jika dilihat sifat yang ada pada suaminya ramai yang berkata Ajai seorang yang serius, tetapi sebaliknya dia penyayang, bertanggungjawab dan yang paling penting dia seorang tukang masak yang handal.

Liza berkata, segala yang dicari selama ini sudah ditemui dan percintaan yang disemai selama ini akhirnya berakhir dengan perkahwinan dan berharap ia kekal untuk selama-lamanya.

“Saya juga sudah bersedia memikul tanggungjawab untuk menjadi isteri dan ibu kepada Ayu Nazirah dan akan membuat yang terbaik sebagai seorang isteri yang diamanahkan biarpun kini sibuk dengan tugas sebagai Pengurus Wake The Baby milik suami.

“Mengenai perancangan bulan madu saya dan suami akan melakukannya pada tahun depan disebabkan wabak Influenza A (H1N1) ketika ini. Ia ditangguhkan buat seketika dan Insya-Allah kami berdua akan pergi,” katanya.

Ajai ketika ditanya mengenai anak berkata, dia ingin anak kembar lelaki dan baginya berada di rumah setiap hari sudah memadai sebagai istilah berbulan madu buat mereka berdua untuk menyemai kasih sayang berbanding di pejabat apabila sibuk dengan tugas masing-masing.

Sementara itu, Ayu Nazirah ketika ditemui gembira apabila janji yang dibuat bapanya akhirnya tertunai sudah dan kini sudah mempunyai ibu baru yang dipanggil ‘mami’ dan berharap agar jodoh mereka berdua kekal.

Ayu berkata, dia diperkenalkan Liza oleh bapanya dan baginya apa yang disukai bapanya dan menggembirakan akan turut sama dirasai serta tiada sebarang bantahan mahupun halangan termasuk merestui perkahwinan mereka.

“Saya tidak mampu kata apa-apa, tapi yang pasti saya cukup gembira dengan perkahwinan papa dan mami biarpun sebelum ini tidak pernah termimpi akan memperoleh ibu baru,” katanya.

Majlis perkahwinan kedua-dua mempelai turut dihadiri ibu bapa Ajai - Maas Abd Rahim dan Ishah Abu Bakar serta ibu bapa Liza - Mohd Ilias Mohamad dan Asma Hashim.

No comments: