Monday, August 17, 2009

Depan Mata: Ramah Asri masih terbayang

Depan Mata: Ramah Asri masih terbayang

Oleh Hartati Hassan Basri
CUMA berselang tiga minggu, dunia seni kehilangan dua insan yang gigih memperjuangkan impian dan harapan mereka dalam bidang berbeza. Kematian mereka cukup mengejutkan tetapi tersebar dengan cepatnya sebaik pengsan di lokasi strategik di stesen televisyen.

Pengarah Yasmin Ahmad yang dikenali dengan karya perpaduan kaum melalui iklan dan filem, pengsan ketika membentangkan projek 1Malaysia di Sri Pentas, Bandar Utama pada 23 Julai lalu dan meninggal dunia dua hari selepas itu.

Khamis lalu, penyanyi utama kumpulan nasyid Rabbani, Mohd Asri Ibrahim, pula pengsan ketika latihan untuk membuat persembahan ketika majlis pelancaran program Syahadah di Angkasapuri, Kuala Lumpur. Asri disahkan meninggal dunia setengah jam selepas pengsan, jam 10.30 pagi kerana serangan jantung.

Kedua-duanya dikenali sebagai insan berbudi bahasa dan disayangi kelompok peminat mereka hingga pemergian ditangisi dan cukup dirasai. Yasmin sebagai pengarah iklan dan filem yang memperjuangkan keharmonian pelbagai kaum, Rabbani pula berdakwah menerusi muzik dan cuba mendekati golongan remaja menerusi irama pop.

Ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1997, Rabbani sebenarnya serpihan kumpulan Nada Murni yang diasaskan Al-Arqam lebih 10 tahunlalu.

Kumpulan ini mula menjadi perhatian apabila berani menongkah arus dengan merakamkan lagu yang dianggap lari daripada genre kebiasaan kumpulan nasyid menerusi lagu Pergi Tak Kembali dan Intifada.

Walaupun mencetuskan kontroversi, Rabbani tidak patah semangat untuk meneruskan perjuangan berdakwah menerusi lagu dengan memilih pendekatan berbeza. Malah, Rabbani terus kukuh dan unggul walaupun mempunyai ramai anggota.

Populariti Pergi Tak Kembali dan Intifada juga membuatkan Rabbani mula dikenali ramai hingga merampas gelaran Artis Nasyid Popular daripada Raihan pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2001 (ABPBH2001) dan mengekalkan gelaran itu selama lapan tahun berturut-turut.

Album Iqrar 1421 juga mencatat kejayaan besar pada Anugerah Industri Muzik 2001 (AIM2001) apabila menang Album Nasyid Terbaik, Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album dan juga Album Terbaik mengalahkan album pop (Kirana/Nora), rock (Inspirasi/Kamikaze) dan pop etnik (Sahmura/Siti Nurhaliza/Datuk SM Salim).

Secara peribadi, saya tidak rapat dengan anggota Rabbani tetapi sering bertemu mereka atas dasar kerja tetapi pada Jun lalu, saya berpeluang menunaikan umrah menerusi Pakej Umrah dan Ziarah Istanbul Bersama Rabbani dianjurkan Ar-Raziq Travel & Tours dari 30 Mei hingga 12 Jun.

Vokalis Rabbani itu turut membawa isteri, Nur Jannah Shahadan, 39. Walaupun sudah empat kali menunaikan umrah, itu kali pertama arwah membawa isteri. Malah, Jannah mengakui pertama kali berjauhan dengan enam anak, Mohd Nasimuddin, 15, Mohd Fathi, 14, Nur Atikah, 12, Mohd Ilham, 10, Sofiyah Munawwarah, 6, dan Hamdi Rabbani, 5.

Ternyata tempoh 14 hari itu menjadi detik cukup bermakna buat Jannah kerana arwah menyifatkan pemergian mereka ke Tanah Suci mengerjakan umrah itu sambil berbulan madu selepas 16 tahun berkahwin.

Kalau ramai mengenali Asri ketika di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), itu bukanlah sesuatu yang menghairankan. Ketika tiba di Singapura, ramai mengenali Asri dan meminta bergambar dengannya.

Jannah juga tidak keberatan 'melepaskan' suaminya apabila ada peminat minta bergambar kerana sudah biasa berhadapan dengan permintaan sebegitu.

Sepanjang tiga hari di Istanbul juga, Asri menjadi tumpuan rombongan lain dari Malaysia hingga pemandu pelancong warga Turki, Vildan Celik rasa hairan dan bertanya siapa sebenarnya Asri.

Ketika menaiki bot untuk Cruise Tour di Istanbul, Vildan meminta Asri menyanyi menghiburkan mereka. Asri tidak keberatan dengan menyumbangkan tiga lagu.

Dalam perjalanan ke lapangan terbang Istanbul untuk meneruskan perjalanan ke Jeddah, Vildan sekali lagi meminta Asri menghiburkan mereka dalam bas.

Ketika di Madinah, anak bujang Datuk Sharifah Aini, Aliff datang ke hotel penginapan kami untuk bertemu arwah dan mereka berbual di lobi sampai larut malam. Arwah juga menjadi imam solat Isyak ketika sebaik saja menjejakkan kaki di Masjidil Haram sebelum memulakan ibadat umrah.

Arwah bukan saja memiliki suara merdu walaupun menyanyi tanpa muzik serta pandai mengaji, malah seorang yang ramah dan senang didekati. Masih terbayang kemesraan dan sikap rendah diri arwah sepanjang 14 hari mengikuti rombongan itu.

Bagaimanapun agak terkilan kerana umrah dan ziarah itu berakhir dengan sedikit masalah pada hari terakhir di lapangan terbang di Singapura apabila hendak pulang ke Kuala Lumpur dengan penerbangan tambang murah AirAsia.

Bagasi yang dibenarkan hanya 15 kilogram seorang manakala selebihnya agensi meminta masing-masing bayar sendiri dan ini tidak dipersetujui majoriti jemaah hingga menimbulkan suasana agak tegang.

Mungkin tidak mahu memanjangkan masalah dan mungkin juga malu dan rasa bertanggungjawab, akhirnya Asri menguruskan timbangan bagasi dan membayar lebihan timbangan rombongan hampir S$1,000.

Selepas berpisah di LCCT, saya tidak berkesempatan bertemu arwah, hanya berpeluang menziarah jenazahnya di Pusat Perubatan Pantai, Bangsar tengah hari Khamis lalu. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan mereka yang beramal soleh.

No comments: