Monday, August 17, 2009

High School Musical di IB?

High School Musical di IB?





SELEPAS muzikal terkenal dunia, Mamma Mia! mendapat sambutan luar biasa ketika dipentaskan akhir tahun lalu, Kak Pora mendapati tidak banyak program antarabangsa sehebat itu dianjurkan di Istana Budaya (IB) tahun ini, dengan pengisian lebih bertumpu kepada program tempatan.

Entah apa sebabnya program antarabangsa berkurangan di IB tahun ini, Kak Pora kurang pasti. Lagipun, Kak Pora tahu bukan murah belanja mahu bawa masuk program antarabangsa ke IB, makan jugalah belanja berjuta-juta. Jika tidak kuat promosi, kutipan tiket pun belum tentu mampu menanggung kos dikeluarkan.

Tetapi, dalam sibuk menyiapkan tugasan sebelum pergi ke Kota Kinabalu hari tu, Kak Pora dihubungi seorang teman lama di IB memaklumkan di situ bakal berlangsung pementasan muzikal terkenal antarabangsa, High School Musical. Biar betul ni? Dia memberitahu Kak Pora, rundingan sedang berlangsung antara pihak IB dengan Disney, syarikat penerbitannya dan promoter yang akan membawa muzikal itu ke Malaysia. Jika tiada aral melintang, ia akan dipentaskan Disember ini sempena musim cuti sekolah.

Difahamkan, muzikal itu yang sudah mengaut keuntungan lebih RM100 juta sejak dipentaskan di West End, London dan Broadway, New York dua tahun lalu, juga sebagai mengisi kekosongan slot program di IB dari 8 hingga 16 Disember selepas pementasan Cicakman - The Musical ditunda ke tahun depan.

Kalau betul khabar berita ini, nampaknya ia bakal menjadi acara kemuncak dan penutup tirai bagi Kalendar Program IB 2009. Tentu muzikal itu bakal menampilkan barisan pelakon asalnya termasuk Zac Efron yang memainkan watak Troy Bolton, selain Vanessa Hudgens (Gabriella Montez) yang gambar aksi terlampaunya kini menjadi bahan dalam internet.

Peluang ini harus dilihat secara positif dan dimanfaatkan, khususnya warga kerja IB dan penggiat teater tempatan untuk berkongsi pengalaman serta mengambil tahu mengenai teknologi, terutama aspek teknikal.

KAK PORA: Lama tak dengar perkembangan aktivis teater, Khalid Salleh. Apa dah jadi dengan projek teater beliau yang berjudul Walinongsari?

No comments: