Monday, August 17, 2009

Farid, Lisa ikon romantik?

Farid, Lisa ikon romantik?


Pernah dikaitkan bercinta, Lisa dan Farid menafikan bahawa mereka punyai perasaan cinta antara satu sama lain.


DAHULUNYA, dua insan popular ini pernah dikaitkan sebagai pasangan yang sedang mengait buih-buih cinta. Sering dilihat bersama ketika menghadiri majlis-majlis tertentu, ia seakan menguatkan andaian pelbagai pihak yang mereka sebenarnya punyai perasaan cinta antara satu sama lain.

Meski pernah menafikan dakwaan demi dakwaan yang muncul, masih ada yang tidak percaya akan penafian yang dilakukan.

Sehingga pada satu ketika, dakwaan itu semakin meluas. Secara tiba-tiba, terbit cerita yang mengatakan mereka sudah putus cinta.

Begitulah tanggapan yang dilakukan terhadap pelakon Lisa Surihani dan Farid Kamil.

Masakan tidak, mereka sebelum ini pernah digandingkan dalam tiga buah filem yang sedikit sebanyak menguatkan lagi ‘fitnah cinta’ dua anak seni ini.

Tiga filem berkenaan ialah I’m Not Single dan Rempit V3, terbitan MIG Production Sdn. Bhd. (MIG) serta Lagenda Budak Setan (terbitan Tarantella Pictures).

Malah, mereka berdua juga pernah berlakon bersama menerusi drama bersiri Tiga Janda.

Terbaru, Lisa dan Farid sekali lagi digandingkan dalam filem ke-37 terbitan MIG berjudul Semerah Cinta Stileto.

Diarahkan oleh Ahmad Idham Ahmad Nadzri, menerusi filem komedi romantik itu, Farid yang memegang watak Leto manakala Lisa (Stila) terjebak dalam cinta antara dua darjat.

Gandingan ini pantas ditafsirkan oleh orang nombor satu dalam MIG iaitu David Teo sebagai gandingan yang cukup secocok.

Mahu menjadikan Lisa dan Farid sebagai ikon pasangan romantik, David menjelaskan bahawa mereka sememangnya serasi tatkala dilihat dalam filem.

Bak Ali Setan yang sehingga kini masih diingati dengan gandingan mantap Fauziah Ahmad Daud dan Azmil Mustapha, Lisa serta Farid bagaimanapun punyai alasan tersendiri mengapa mereka cukup serasi ketika beraksi di pentas lakonan.

Saya serasi dengan Lisa

Menurut Farid, seperkara positif yang dapat dilihatnya tatkala digandingkan dengan Lisa adalah antara kedua-dua mereka memang sudah ada keserasian.

Jelasnya, keserasian itu telah wujud sejak dia dan Lisa berlakon menerusi filem I’m Not Single lagi.

“Apa yang dilihat oleh David Teo adalah satu perkara yang biasa. Untuk filem komedi romantik, pemilihan pelakon adalah cukup penting.

“Pemilihan yang tepat akan memudahkan sesiapa sahaja mencapai matlamat yang diinginkan.

“Bagi saya, keserasian yang wujud dengan Lisa mampu memudahkan kerja dan saya tidak perlu bersusah payah untuk mencari keserasian. Hanya menggunakan

keserasian sedia ada,’’

katanya ketika ditemui sejurus selepas majlis pelancaran Semerah Cinta Stileto yang diadakan di Restoran Lemon, Seri Kembangan, baru-baru ini.

Semerah Cinta Stileto yang memulakan pengambaran 12 Ogos menampilkan pelakon ternama seperti Nanu Baharudin, Cat Farish, Shaharudin Thamby, Datuk Jamali Shadat, Maimon Muttalib, Angah (Raja Lawak), Mie (Raja Lawak), Rama serta Kenchana Dewi.

Menyambung bicara, Farid berkata, Lisa juga telah menampakkan kematangan serta peningkatan dalam lakonan.

“Ia juga menjadi faktor yang mampu memudahkan kerja dan mewujudkan keserasian antara kami. Lisa telah banyak terlibat dengan pelakon-pelakon lain. Seperkara lagi, kami telah didik supaya bersikap profesional dan soal peribadi harus diketepikan,’’ katanya.

Ditanya mengenai wataknya dalam Semerah Cinta Stileto, Farid menjelaskan, bahawa filem itu meletakkannya sebagai seorang pemuda yang hidup dalam keadaan serba sederhana.

Bekerja sebagai penjual ikan di pasar borong dan tinggal di rumah flat, pelbagai kejadian yang berlaku telah memberi kesempatan untuknya bertemu dengan Stila, seorang anak orang kaya yang tinggal di banglo berhadapan dengan rumah flatnya.

Namun, hubungan Stila dan Leto mendapat tentang daripada keluarga Stila.

“Saya masih belum membuat kajian mengenai watak sebagai penjual ikan kerana terikat dengan projek di Astro.

“Insya-Allah, berdasarkan pembacaan skrip, saya yakin akan mampu membawa watak ini dengan berkesan,’’ kata Farid penuh yakin.

Lisa tidak kekok

Sementara itu, berbalik kepada persoalan mengenai ikon pasangan romantik paling ideal, di pihak Lisa pula, dia mengakui, tidak merasa kekok untuk bercinta dengan Farid.

Bukannya cinta seperti yang ditafsirkan oleh ramai pihak tetapi cinta tersebut jelas Lisa, adalah cinta di lokasi pengambaran membabitkan filem-filem atau drama berkaitan romantik.

“Kami pernah bekerja secara bersama lebih daripada sekali. Watak-watak sebelum ini pun ada kaitan dengan cinta.

“Justeru, perasaan kekok untuk bercinta dengan Farid di set lokasi sudah tidak ada. Kami cukup komited dengan kerja bagi menjayakan watak yang diberikan,’’ katanya.

Mengenai usaha David Teo yang mahu menjadikannya dan Farid sebagai ikon pasangan romantik, Lisa memberitahu, bahawa sebagai pelakon, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menjayakan apa sahaja perwatakan dalam lakonan.

“Saya pun masih lagi baru dan ada banyak lagi perkara yang harus dipelajari,’’ tambahnya.

Kepada soalan tentang rezekinya dalam lakonan, Lisa tidak lupa memanjatkan kesyukuran atas apa yang dinikmatinya sepanjang beberapa tahun bergelar pelakon ini.

Selain Semerah Cinta Stileto, ujar Lisa, dia terlibat dengan filem Zoo serta Kapoww.

No comments: