Monday, August 17, 2009

Kak Yong kecewa tiada rancangan kanak-kanak

Kak Yong kecewa tiada rancangan kanak-kanak


Kak Yong


BAGI kanak-kanak yang pernah membesar dengan rancangan Permintaan Apa Itu? yang ke udara di Rangkaian Nasional (RTM) setiap Sabtu pukul 9.30 pagi suatu ketika dahulu, nama Kak Yong tentu tidak asing lagi bagi mereka.

Rancangan yang mula ke udara sejak tahun 1977 hingga 2002 itu begitu sinonim dengan Kak Yong dan kanak-kanak, biarpun pasangannya sering berubah namun Kak Yong tetap teguh berdiri di situ.

Kini meskipun rancangan itu sudah 'dimatikan' tanpa kuburnya sejak tujuh tahun lalu, namun hingga saat ini ke mana sahaja juruhebah kecil molek ini pergi, nama Kak Yong menjadi panggilan.

Sebab itu tidak hairanlah ketika temuramah dan sesi fotografi ini dilakukan di sebuah hotel lima bintang baru-baru ini, gadis menjual mutiara berusia awal 20-an tanpa ragu-ragu memanggil nama Kak Yong tatkala mendengar suara bekas juruhebah popular ini.

Sesuatu yang amat memeranjatkan penulis tatkala ditanya kepada si gadis mutiara itu, jawapannya memang mudah; "Saya kenal suara Kak Yong, dulu selalu dengar Permintaan Apa Itu? di radio."

Begitulah kuatnya pengaruh rancangan itu. Bukan sahaja ia mewarnai hidup Kak Yong atau nama sebenarnya Tengku Mariam Tengku Laksamana Nasir, 54, malah program ini juga banyak memberi informasi kepada kanak-kanak.

"Sebenarnya Kak Yong pun tidak menduga kesan daripada rancangan yang diilhamkan oleh Noramin, sampai ke hari ini. Tetapi apa yang penting ketika mengendalikan rancangan itu, walaupun khas untuk kanak-kanak tetapi Kak Yong dan pasangan sentiasa membuat homework.

"Kak Yong akan baca akhbar dan cuba mendapat bahan-bahan yang sesuai untuk program setengah jam itu. Sebabnya apa juga informasi yang diberikan akan menjadi panduan kepada kanak-kanak," cerita Kak Yong yang kini memenuhi masa lapang melayan anak adik-adiknya dan cucu kepada adik-adiknya.

Kak Yong, anak sulung daripada empat beradik dan merupakan kerabat diraja Negeri Sembilan mula menjadi ahli keluarga RTM pada tahun 1977 sebagai pekerja sementara dan tetap sebelum mengambil keputusan berhenti pada tahun 2002.

Permintaan Apa Itu? yang mulanya dikendalikan bersama Busu Noramin selama empat tahun sehingga 1980 merupakan satu-satunya rancangan radio yang dikhaskan untuk kanak-kanak.

Ketika bersama Busu Noramin, Permintaan Apa Itu? yang bersiaran selama setengah jam akan menunaikan lagu-lagu permintaan yang bertemakan kanak-kanak ataupun dinyanyikan kanak-kanak sambil membaca surat yang dikirim.

Ketika itu, lagu-lagu yang sentiasa memenuhi program itu ialah Sakit Gigi nyanyian Indra Shahril, Kain Pelikat (Anuar Zain dan Ellina) dan lagu-lagu nyanyian Andrian, Siti Musliha serta Gadis Melayu nyanyian Othman Hamzah.

Bagaimanapun apabila Noramin ke Jepun kerana bekerja di NHK selama empat tahun, Kak Yong dipasangkan dengan Abang Chik@Zainal Abas.

Ketika bersama Abang Chik, rancangan berkenaan ke udara selama 45 minit dengan mengekalkan konsep dan segmen yang sama.

Tetapi pada tahun 1985, apabila Kak Yong bertukar 'pasangan' dan mengendalikan rancangan itu dengan Abang Bull@ Hasbullah Awang, konsepnya diubah sedikit.

"Bersama Abang Bull, konsepnya lebih ceria dan very friendly. Selain surat menyurat, kami mengundang tetamu ke studio terdiri daripada personaliti untuk segmen soal jawab.

"Selalunya kanak-kanak mengambil inisiatif menelefon personaliti untuk bertanya kemusykilan mereka. Jika doktor, mereka akan bertanya mengenai kesihatan begitu juga sukan.

"Kak Yong memang berbangga kerana kanak-kanak turut mengambil bahagian dalam rancangan ini dan mereka tahu apa yang mereka mahukan daripada setiap personaliti yang kami bawa ke studio," cerita Kak Yong.

Menurut Kak Yong, walaupun mulanya beliau berharap Abang Bull akan kekal dengannya tetapi selepas tiga tahun, Kak Yong terpaksa menerima kenyataan bahawa dia terpaksa berpasangan dengan juruhebah lain pula.

Bersama Abang Salleh Abdul Rahman selama tiga tahun mulai 1989, Kak Yong terus mengendalikan rancangan yang diminati kanak-kanak itu. Namun masa berubah pada tahun 1992, Kak Yong ditugaskan sendirian mengendalikan program berkenaan.

Lapan tahun lamanya Kak Yong mengendalikan Permintaan Apa Itu? sendirian dengan mengundang personaliti terdiri daripada ahli sukan seperti pemain boling negara, Shazlin dan artis seperti Syafinaz dan Kristal.

Biarpun rancangan itu sudah lama, namun kepelbagaian segmen yang dibawakan memberi nafas baru kepada program khas untuk kanak-kanak itu.

"Apabila kendalikan program ini secara solo Kak Yong cuba memberi nafas baru kerana selama sejam, macam-macam segmen diselitkan.

"Sebab itu rancangan berinformasi dan memberi didikan kepada kanak-kanak ini selain tetamu yang merupakan personaliti, Kak Yong turut mengundang kanak-kanak sebagai hos bersama," cerita Kak Yong.

Ketika itu, dua kanak-kanak yang menjadi hos bersama ialah Adibah Ali Rahman,9, dan Melissa Nurul Ashikin, 9, dengan Kak Yong sebagai anchor.

"Sebagai anchor, Kak Yong membimbing mereka untuk mengendalikan bersama rancangan ini. Memang seronok bersama mereka sebab celoteh budak-budak, tapi yang penting mereka tidak tersasar jauh daripada konsep program ini," cerita Kak Yong yang pernah juga mengendalikan program Permintaan Wanita dan bertugas di konti.

Menurut Kak Yong, sebagai pengendali program permintaan dan informasi untuk kanak-kanak yang paling lama, beliau tidak pernah merasa bosan atau jemu.

Sebaliknya 25 tahun bersama Permintaan Apa Itu? membuatkan Kak Yong semakin dekat di hati kanak-kanak.

"Cuma Kak Yong kesal, apabila Kak Yong tinggalkan RTM, tiada lagi rancangan khas untuk kanak-kanak di radio," kata Kak Yong.

Menyentuh mengenai kehidupannya. Kak Yong yang pernah mendirikan rumah tangga bersama Sherkawi Jirim pada September 1978 hingga 1996 berkata: "Entahlah selepas rumah tangga Kak Yong runtuh, hati ini bagaikan tertutup untuk berkahwin lagi. Walaupun ada desas-desus mendakwa punca perceraian kami kerana anak, tetapi itu bukanlah sebabnya.

"Bagi Kak Yong, apa juga yang terjadi sudah ditentukan oleh Allah. Kak Yong terima dengan reda. Walaupun kini Kak Yong lebih suka hidup di samping adik-adik dan anak saudara, tetapi jika suatu hari jodoh menemukan Kak Yong dengan seseorang, Kak Yong akan terima.

"Buat masa ini Kak Yong bahagia begini, dan insya-Allah jika semuanya berjalan lancar, Kak Yong akan terlibat dalam bidang penerbitan bersama dengan adik Kak Yong.

"Kak Yong dan adik kini sedang mencari peluang menerbitkan iklan komersial untuk televisyen," cerita Kak Yong yang pernah mengendalikan rancangan kanak-kanak untuk TV3.

No comments: