Saturday, August 22, 2009

Ella tidak mengecewakan

Ella tidak mengecewakan

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my


PERSEMBAHAN bertenaga Ella.

Beraksi penuh bertenaga dan menghiburkan dalam mini konsert hampir dua jam tajaan Canon Marketing

BARANGKALI untuk mencari kelainan dalam persembahan Ratu Rock, Ella adalah satu perkara paling sulit terutama kepada mereka yang sudah terbiasa menonton aksinya di pentas.

Namun kebiasaan itu bukan bermakna Ella sudah tidak lagi relevan untuk sebuah konsert besar. Biarpun usia terus memanjat, legasi seni Ella masih utuh mendakap hati pendengar.

Satu kenyataan yang sukar dinafikan mengenai penyanyi berusia 43 tahun itu, kemunculannya sentiasa membawa aura dan pesona yang membuatkan dirinya tidak pernah jemu ditonton.

Lupakan butir bicaranya yang manja dan aksi liuk lentuk kerana itu memang cara Ella mencuri hati peminat. Cukup sudah memperkatakan perkara remeh itu kerana Ella memiliki lebih daripada itu untuk dikongsi bersama penggemarnya. Senjata Ella cuma kekuatan vokalnya yang terus ampuh, selain kekentalan aksinya yang penuh bertenaga bersama himpunan lagu nyanyiannya yang sentiasa malar segar.

Penyanyi kecil molek ini memberikan yang terbaik setiap kali muncul di pentas. Ini memberikan kepuasan kepada peminatnya yang memenuhi ruang The Mist Club, Jalan Liku, Kuala Lumpur, pada malam Ahad lalu apabila menghiburkan peminatnya menerusi siri promosi jelajah, Ella - People & Places With PowerShot.

Persembahan yang dibawakan Canon Marketing (Malaysia) itu seakan mengubat kerinduan peminat yang sudah lama tidak menyaksikan kemantapan Ella dalam sebuah persembahan besar.

"Ini antara impian yang sudah lama saya simpan, untuk beraksi di hadapan peminat membawa rangkaian lagu yang menjadi kegemaran bersama serta berhibur," katanya.

Berterima kasih kepada Canon kerana merealisasikan impian yang sekian lama terpendam itu, ruang itu dimanfaatkan Ella untuk memberikan aksi terbaiknya apatah lagi dia sendiri sudah lama tidak beraksi dalam persembahan besar di Kuala Lumpur.

Agak istimewa kerana persembahan yang bermula sekitar jam 8.30 malam itu umpama refleksi perjalanan seni Ella yang sarat pelbagai kenangan - suka, duka, tawa dan ceria namun semua itu memberi kekuatan kepadanya untuk terus bertahan.

Seperti katanya: "Industri seni bukan sekadar untuk glamor. Asalkan kita jujur dengan apa yang dibuat dan masih mendapat sokongan peminat, pastinya kita mampu bertahan lama dalam industri".

Dan malam itu, Ella menyerlahkan kejujurannya lewat lagu yang menjulang namanya ketika memulakan langkah sebagai anak seni bersama The Boys sehingga rakaman terkini - tiga lagu baru yang dimuatkan dalam kompilasi, The Greatest Hits.

Malam itu anak kelahiran Gelugor, Pulau Pinang pada 31 Julai 1966 kurang berbicara sebaliknya dia membiarkan lagu-lagunya berkisah segala rakaman perasaan yang dialami sebagai insan seni.

Memulakan persembahannya dengan lagu rancak, Permata, Pemotong, Permata, dia membawa peminat tenggelam dalam himpunan lagu yang memperkasakan namanya dalam industri hiburan.

Hampir kesemua lagu popularnya dinyanyikan pada malam itu dan kematangan Ella memahami kehendak pendengar wajar dipuji kerana bijak mengimbangi pilihan lagu untuk menggerakkan suasana persembahannya.

Lagu lain yang dinyanyikannya dalam persembahan yang berlangsung lebih satu jam setengah itu termasuk Rama-Rama, Dua Insan Bercinta, Permata Biru, medley Sepi Sekuntum Mawar Merah/Pengemis Cinta, Bayangan, Sembilu, Layar Impian, Kesal dan Nuri.

Ella kemudian mengundang adiknya, Korie berduet dalam lagu popular mereka, Pergilah Sayang serta Smell Like Teen Spirit.

Menggambarkan sebagai perjalanan seni Ella, peminat juga dijamu dengan klip video filem lakonan penyanyi yang setia dengan imej rambut panjang ikal berkilat iaitu Bayangan Maut, Pemburu Bayang dan Hanya Kawan ketika dia berlalu untuk ke bilik persalinan.

Membawakan keseluruhan 15 lagu termasuk tiga single terbarunya, Jiwa Setia, Mencari dan Puisi Hamba sebelum mengakhiri dengan lagu Nuri, Ella - People & Places with PowerShot pastinya meninggalkan kenangan buat penggemarnya.

Kerjasama Ella dan Canon juga bukan sebenarnya bukan baru kerana 13 tahun lalu penyanyi yang tidak dimamah usia itu pernah dilantik menjadi duta kalkulator jenama itu.

Justeru, apabila kembali dilamar untuk bekerjasama memperkasakan jenama itu menerusi siri promosi rangkaian kamera terutama dalam siri PowerShot, Ella pantas menyatakan persetujuan.

Lebih bermakna, kata Ella, kerjasama itu juga membawanya kembali mendekati peminat menerusi siri persembahan Ella - People & Places with PowerShot.

"Ia juga memberi peluang kepada saya untuk memperkenalkan lagu baru menerusi album kompilasi Ella - The Greatest Hits sebagai pengenalan sebelum album penuh sedia untuk dipasarkan menjelang akhir tahun ini," katanya.

No comments: