Saturday, August 22, 2009

Kuasa seorang Ratu Rock

Kuasa seorang Ratu Rock


SEBAHAGIAN daripada lebih 500 peminat yang menyaksikan persembahan Ella di The Mist Club, Bangsar, Kuala Lumpur,hujung minggu lalu.


DALAM usianya yang sudah mencecah 43 tahun, kuasa yang dimiliki oleh Ella atau nama sebenarnya, Norazila Aminuddin ini masih lagi kebal.

Biarpun industri muzik hadir dengan penyanyi yang silih berganti, namun tiada siapa yang mampu menafikan kehebatan anak kelahiran Kelang, Selangor ini.

Sudah lebih dua dekad dia menjadi penyanyi dan bintangnya terus bersinar lantas menjadikannya satu dalam sejuta.

Tanyalah sesiapa pun, pasti ramai yang menggelengkan kepala seandainya ditanya siapakah yang mampu menggantikan tempatnya dan seterusnya memegang takhta sebagai Ratu Rock Negara.

Buktinya, hujung minggu lalu pusat hiburan, The Mist Club yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur telah dibanjiri hampir 500 orang peminat Ella yang bersesak-sesak semata-mata untuk menonton persembahannya.

Konsert mini yang diberi nama Ella People & Places With PowerShot Promo Tour itu diadakan seiring dengan pemilihannya sebagai duta untuk jenama Canon.

Memang sudah lama Ella tidak beraksi dalam sebuah persembahan yang berjaya menghimpunkan peminat setianya dan mungkin peminat yang baru mahu mengenali dunia muzik Ella.

Persembahan Ella pada malam itu membuktikan bahawa ikon rock negara itu sememangnya masih lagi mampu beraksi hebat di atas pentas.

Biarpun pentas kecil, itu bukan satu halangan untuk Ella beraksi dengan penuh bertenaga sekali.

Memulakan persembahan tepat pukul 8.45 malam, Ella menghangatkan malam tersebut dengan lagu Permata Pemotong Permata (P.P.P) ciptaan Yusry Abdul Halim atau Yusry KRU yang pernah dimuatkan dalam Ella USA (1994).

Sebaik sahaja kelibatnya kelihatan di pentas, penonton yang hadir bagaikan terkena histeria dan momentum itu semakin memuncak apabila Ella mula melantunkan vokal uniknya itu.

Ella kemudiannya meneruskan persembahan dengan rangkaian lagu-lagu seperti Rama-Rama, Dua Insan Bercinta, Permata Biru dan medley Sepi Sekuntum Mawar Merah serta Pengemis Cinta.

Malam terus hangat apabila Ella membuat kejutan dengan berduet bersama adiknya, Korie menerusi lagu Smells Like Teen Spirit yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Nirvana.

Tidak cukup dengan itu, Ella dan Korie menggamit kenangan silam apabila menyampaikan lagu klasik, Pergilah Sayang yang telah melonjakkan nama Korie sebagai seorang penyanyi popular sekitar pertengahan 90-an.

Ella juga bijak menyusun atur susunan lagunya untuk persembahan pada malam itu apabila tidak hanya menyampaikan lagu-lagu malar segarnya tetapi turut menyanyikan lagu barunya seperti Jiwa Setia , Menari dan Puisi Hamba.

Pengalaman dua dekad dalam industri hakikatnya sudah cukup membuatkan Ella tahu untuk merencana dan merancang sebuah persembahan yang mampu dikenang oleh peminatnya.

Satu yang pasti tentang persembahan Ella pada malam itu ialah mutu dan kualiti vokalnya yang masih ampuh.

Bayangkan untuk persembahan selama satu setengah jam, vokal Ella tidak langsung kedengaran sumbang mahupun 'pancit' biarpun ada lagu yang disampaikan bernada tinggi.

Malah, Ella berjaya membuatkan penonton dan peminatnya bangga dengan dirinya apabila hampir keseluruhan lagu-lagu yang disampaikannya pada malam itu adalah lagu-lagu penuh!

Seperti yang dikatakan tadi, pengalamannya dalam bidang seni sudah cukup membuatkan Ella tahu dan faham bagaimana hendak memancing dan terus mengekalkan momentum peminatnya untuk terus setia bersamanya sepanjang persembahan.

Ella juga tidak perlu menyanyi kerana apa yang perlu dilakukan adalah menghulurkan mikrofon ke arah peminat dan penonton yang tanpa perlu disuruh akan menyanyi dan menyambung bait-bait lirik.

Sementara menantikan Ella muncul pada set kedua, penonton dihiburkan seketika dengan klip video lakonan Ella menerusi filem-filem yang pernah dibintanginya satu ketika dulu.

Filem-filem itu adalah Bayangan Maut, Pemburu Bayang dan Hanya Kawan yang telah mengundang hilai ketawa penonton yang menonton sedutan filem lakonannya itu.

Tidak dinafikan, selain seorang penyanyi yang hebat, Ella juga memiliki bakat tersendiri dalam bidang lakonan.

Untuk set kedua, Ella telah menyampaikan lagu-lagu seperti Bayangan, Sembilu, Resah, Layar Impian dan Nuri.

Secara keseluruhan, persembahan Ella tempoh hari memberi kepuasan maksimum kepada penonton.

Ini kerana Ella telah menyampaikan sebahagian daripada lagu-lagu popularnya yang cukup mesra di telinga pendengar yang tanpa segan silu untuk menyanyi bersamanya.

Cuma, mungkin pengakhiran konsert itu akan meninggalkan kenangan indah dan manis seandainya Ella menyampaikan lagu Gemilang mahupun Standing In The Eyes Of The World sebagai lagu penutup.

Apa-apa pun, Ella sudah layak untuk mengadakan sebuah konsert besar di pentas berprestij seperti Istana Budaya mahupun Stadium Negara.

No comments: