Saturday, August 22, 2009

Panel TV: Haiwan Teladan musim kedua sepanjang Ramadan

Panel TV: Haiwan Teladan musim kedua sepanjang Ramadan

RANCANGAN Haiwan Teladan yang diperkenalkan pada Ramadan tahun lalu kembali menemui penonton untuk musim kedua khusus ketika penonton kanak-kanak menjalani ibadat berpuasa.

Haiwan Teladan adalah rancangan bersiri kanak-kanak yang menceritakan pelbagai kisah menarik dan teladan yang diadaptasi dari kisah haiwan tetapi jarang diceritakan namun ia terdapat di dalam al-Quran.

Program menarik ini akan ke udara sepanjang bulan yang mulia di TV3 setiap Isnin hingga Jumaat bermula 24 Ogos 2009, jam 9 pagi.

Selain dari sesi bercerita tentang kejadian haiwan ini, terdapat juga beberapa segmen lain seperti kraf dan bahasa di mana penonton boleh mempelajari bahasa seperti Arab, Mandarin, Inggeris dan lain-lain lagi.

Adik-adik juga boleh meningkatkan ilmu bacaan doa di mana segmen doa akan memaparkan doa-doa mudah untuk dibacakan bersama-sama dalam studio. Istimewanya, musim kedua ini akan memperkenalkan segmen masakan iaitu resepi mudah untuk dikongsi bersama penonton cilik mencuba di rumah.

Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar, berkata stesen televisyen ini pernah menyiarkan program khusus pada Ramadan untuk kanak-kanak berjudul Kisah Anbiya’ bersama dengan pengacaranya, Wardina Safiyyah.

“Berbeza dengan Kisah Anbiya’, Haiwan Teladan mengetengahkan pengacara baru, Shaiya Abbas. Naluri keibuan yang terserlah dan keperibadian Shadiya dianggap sesuai untuk mengendalikan program khusus buat penonton kanak-kanak ini.

“Haiwan Teladan dipertontonkan kepada adik cilik bertujuan untuk menceritakan kepada para penonton khususnya penonton cilik tentang kisah-kisah haiwan dari Al-Quran,” katanya.

Menurutnya, ramai yang tidak menyedari bahawa setiap kejadian makhluk termasuk haiwan mempunyai kepentingan dan tujuan tertentu bagi faedah dan ujian bagi manusia.

“Selain itu, melalui program ini dapat meningkatkan kreativiti minda penonton dengan adanya segmen kraf, belajar bahasa dan segmen masakan.

“Selepas menjalani uji bakat, seramai lebih kurang 10 adik-adik dari tadika di sekitar Lembah Klang telah dipilih menjadi tetamu di studio. Rakaman sebanyak 19 episod telahpun selesai dirakamkan selama dua minggu di Kompleks 3C MPSJ, Subang Jaya,” katanya lagi.

Barisan produksi yang menjayakan Haiwan Teladan terdiri dari Ruzmi Kamarudin (Penerbit Eksekutif), Junaidah Md Din (Penerbit) dan menampilkan Shadiya Abbas sebagai pengacara.

No comments: