Saturday, August 22, 2009

Filem kisah terakhir Jacko Oktober

Filem kisah terakhir Jacko Oktober

LOS ANGELES 21 Ogos - Sebuah filem yang memaparkan minggu-minggu terakhir Michael Jackson (gambar) sebelum kematiannya iaitu ketika dia sedang melakukan persiapan bagi konsert kemunculan semulanya, dijadual ditayangkan di pawagam seluruh dunia pada 28 Oktober ini selama dua minggu.

Menurut Sony Pictures semalam, filem bertajuk This Is It, mengisahkan satu "gambaran peribadi Michael Jackson yang anda tidak pernah lihat sebelum ini".

Tiket bagi filem tersebut bakal dijual pada 27 September ini, lebih sebulan sebelum filem itu ditayangkan, satu tindakan yang dianggap luar biasa.

This Is It bakal memaparkan 'aksi luar biasa di belakang tabir' mengenai Jackson sedang menjalani latihan antara April dan Jun lalu sebagai persiapan bagi mengadakan siri konsert jelajah yang dijadual bermula pada 13 Julai lalu di O2 Arena, London.

Sony dalam satu kenyataan akhbar berkata, tajuk filem itu diambil daripada salah sebuah lagu hit Jackson, yang juga menjadi tajuk bagi konsert jelajahnya itu.

Pengarah filem tersebut adalah Kenny Ortega yang terkenal menerusi filem arahan Disney, High School Musical 3: Senior Year.

"Filem ini merupakan hadiah Jackson untuk peminatnya.

"Ia bersifat peribadi dan eksklusif diterjemahkan ke dalam dunia kreatif," kata Ortega.

"Menerusi filem ini, kami dapat memaparkan sekeping gambar luar biasa Jackson ketika menyiapkan baju persembahannya dan apa yang saya percaya, ia adalah hasil kerjanya sendiri," tambahnya.

Menurut laporan media, Sony mungkin telah dibayar sehingga AS$60 juta (RM211.9 juta) untuk mendapat hak rakaman bagi latihan terakhir Jackson itu.

Jackson meninggal dunia di Los Angeles pada 25 Jun lalu ketika berusia 50 tahun akibat diserang sakit jantung. - AFP

No comments: