Thursday, August 13, 2009

Filem Kita Ke Mata Dunia

Kenapa hasilnya belum kelihatan?




FESTIVAL Filem Malaysia ke-22 (FFM 22) baru sahaja melabuhkan tirainya hujung minggu lalu. Nampaknya filem Papadom arahan pengarah dan pelakon terkenal, Afdlin Shauki membuat kejutan dengan mengungguli kebanyakan kategori utama sehingga dinobatkan sebagai filem terbaik dalam FFM22.

FFM22 menyaksikan penyatuan orang baru dan lama dalam memartabatkan filem Melayu.

Namun, di sebalik kemenangan Papadom dan kemunculan banyak nama baru, tema FFM22 - Filem Malaysia Ke Persada Dunia sedikit sebanyak menimbulkan persoalan di kalangan tetamu di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Meletakkan tema memang mudah tetapi merealisasikannya bukanlah mudah. Ramai yang beranggapan tema tersebut kedengaran terlalu besar untuk industri perfileman tempatan yang dilihat terpaksa bersaing dan acapkali kalah dengan filem Hollywood.

Itu belum dibandingkan dengan filem-filem air tangan karyawan Hong Kong, Indonesia atau pun Bollywood.

Kerana itu, sempena FFM22 satu simposium perfileman dianjurkan di Universiti Malaysia Sabah dengan tujuan mengesan kelemahan dan cara yang berkesan membawa filem tempatan ke luar negara.


ADAKAH mereka yang menggenggam trofi ini mampu melonjakkan nama negara di mata dunia?


Malah, tidak kurang pentingnya membawa pulangan yang setimpal seperti industri yang lain seperti pelancongan dan perindustrian.

Persoalannya di sini, mampukah filem Malaysia menandingi filem luar? Adakah cukup formula yang digunakan untuk menambat hati penonton di luar sana?

Menurut Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd. Mahyidin Mustakim yang merupakan salah seorang panel pada simposium itu, pelbagai cara telah dilakukan kerajaan untuk membantu industri perfileman negara ke pentas dunia antaranya meluluskan Dasar Perfileman Negara (DFN) pada tahun 2005.

Objektif DFN adalah untuk membantu membangunkan industri perfileman negara supaya lebih berdaya maju dan dapat bersaing sehingga ke peringkat antarabangsa.

Selain itu, ia juga ditubuhkan untuk menjadi pemangkin pertumbuhan industri perfileman tempatan ke arah menjadikan Malaysia sebagai pusat destinasi filem serantau.

"DFN akan memberi fokus kepada pembangunan tenaga kerja, permodalan dan insentif, pembangunan teknologi dan infrastruktur, pembangunan filem dokumentari dan animasi, promosi dan pemasaran serta pengurusan pentadbiran dan perundangan.

"Sebenarnya banyak filem kita mampu dibawa ke luar negara, cuma harus melalui saluran yang betul. Sebab itu, Finas lebih fokus kepada pembikinan filem dokumentari kerana ia bersifat universal.

"Bukan itu sahaja, selain melabur untuk menghasilkan filem dokumentari sendiri yang diperuntukkan dana sebanyak RM6.5 juta setahun, kami juga bekerjasama dengan beberapa saluran antarabangsa seperti National Geographic Channel, Discovery Network Asia dan History Channel," kata Mohd. Mahyidin.

Tambah beliau lagi, pihaknya turut merangka pelan tindakan jangka pendek di antara tahun 2005 hingga 2009 untuk menghantar penyertaan di festival filem antarabangsa.

"Kami sasarkan sekurang-kurangnya negara akan menghasilkan 12 filem bermutu dalam setahun dan kami boleh menghantar filem tersebut ke festival filem luar.

"Ia tidak secara langsung akan promosikan negara dan juga industri filem Malaysia. Saya akui kita masih lagi bertatih dalam bidang ini jika hendak dibandingkan dengan Hollywood tetapi setidak-tidaknya kita mencuba," ujarnya.


DARI ATAS IKUT ARAH JAM: TALENTIME banyak meraih anugerah di luar negara.
ANTOO FIGHTER
FILEM Puteri Gunung Ledang antara yang pernah diletakkan harapan dicalonkan ke Anugerah Oscar.


Walaupun hasil yang diharap masih belum kelihatan, menurut rekod Finas, 16 buah filem dihantar menyertai festival filem antarabangsa pada tahun 2005 disusuli 14 filem (2006), 20 filem (2007), 12 filem (2008) dan sehingga Julai tahun ini sebanyak empat buah filem telah dihantar ke festival filem.

Usaha itu diteruskan juga dengan penayangan filem tempatan di luar negara seperti Cinta Kolestrol (Jakarta), Puteri Gunung Ledang (stesen televisyen Eropah), Pontianak Harum Sundal Malam (stesen televisyen Jakarta) dan Jangan Pandang Belakang dan Cicakman 2 di Filipina serta Singapura.

Bagaimanapun, sebelum menambat hati penonton luar, pembikin filem tempatan harus menambat hati dan menarik penonton tempatan terlebih dahulu jika mahu berjaya di luar negara.

Meskipun masih banyak pihak pembikin filem mengeluh tentang kutipan tiket yang kurang memberangsangkan tetapi sebenarnya penonton tempatan semakin memberi perhatian kepada produk tempatan.

Ia dapat dilihat daripada hasil kutipan kasar filem tempatan yang meningkat secara mendadak dari tahun 2002 hingga 2009.

Jika pada tahun 2002 perolehan keseluruhan kutipan tiket filem hanya berjumlah RM18.6 juta dengan jumlah penonton sebanyak 2.68 juta tetapi pada tahun 2009, filem tempatan berjaya meraih kutipan tiket sebanyak RM50 juta dengan jumlah penonton seramai 6 juta.

Pandangan berbeza pula diterima daripada panel kedua iaitu Pengurus Besar Irresistible Films, Lorna Tee dan juga penerbit kepada beberapa filem pendek yang pernah memenangi beberapa anugerah di luar negara seperti filem The Beautiful Washing Machine, The Shoe Fairy, I'll Call You, Love Story, Before We Fall In Love Again dan My Mother is a Bellydancer.


PAPADOM yang digarap daripada kisah benar hidup Afdlin berjaya memikat hati juri FFM22. Adakah ia mampu melakukan perkara yang sama di luar negara?


Lorna menjelaskan bukan semua filem tempatan yang dihasilkan mampu bersaing dan dibawa ke peringkat antarabangsa.

Begitu juga dengan formula meletakkan beberapa pelakon terkenal dari negara luar di dalam sebuah filem yang ingin dipasarkan ke beberapa negara lain.


MAYA pernah memenangi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia dan Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Seram dan Fantasi Antarabangsa Estepona, Sepanyol.


"Formula seperti itu tidak akan berjaya jika jalan cerita dan skrip tidak menarik. Saya melihat ada beberapa filem menggunakan formula tersebut tetapi tidak berjaya.

"Sebenarnya banyak cara yang murah dan mudah boleh digunakan untuk mempromosikan filem tempatan ke luar negara.


LORNA TEE


"Antaranya menggunakan sepenuhnya festival filem yang berlangsung di luar negara terutama festival besar yang menjadi tumpuan ramai," ujarnya.

Bicaranya lagi yang berpengalaman menjadi penasihat di beberapa buah festival filem antarabangsa, sekurang-kurangnya 2,000 hingga ke 3,000 pihak media dari seluruh dunia akan hadir di sesebuah festival yang besar dan kesempatan itu harus digunakan untuk mempromosikan filem.


MOHD. MAHYIDIN


"Itu cara yang saya gunakan untuk beberapa filem yang saya terbitkan kerana saya akan membeli iklan atau menempah papan iklan gergasi di sesebuah festival filem. Inilah cara yang terbaik.

"Sekurang-kurang akan keluar ulasan tentang filem saya di beberapa buah akhbar, televisyen atau pun radio. Kalau filem saya menang dalam festival filem ia tidak secara langsung akan meningkatkan daya promosinya sendiri," katanya.

Selain itu, wanita yang pernah bekerja di Hong Kong bersama Focus Film ini menjelaskan setiap pembikin filem harus mengkaji sasaran penonton mereka terlebih dahulu sebelum membuat filem.

"Bukan semua filem boleh dipasarkan di luar negara dan ada filem yang berjaya di luar negara tetapi tidak di Malaysia. Sebabnya adalah sasaran penonton.

"Jika filem itu menekankan lebih banyak lawak atau aspek yang hanya difahami oleh penonton Malaysia, sudah tentulah filem tersebut akan gagal di luar kerana orang luar tidak akan faham.

"Lainlah kalau pembikin filem berfikir secara universal dan memilih subjek yang lebih mudah diterima semua orang berkemungkinan besar filem itu akan berjaya," ulasnya.

Lorna juga memberi contoh bagaimana filem serta drama dari Korea mampu bersaing dan diminati meskipun penonton tidak memahami bahasa yang dituturkan oleh mereka.

Formula yang digunakan pembikin filem dan drama Korea sudah pasti jalan cerita, skrip serta barisan pelakon yang menarik. Ini kerana Korea mempunyai barisan aktor dan aktres yang bertaraf superstar dan dikenali di seluruh dunia seperti Rain.

"Saya percaya Malaysia mempunyai ramai pelakon berbakat, kacak dan cantik. Jadi kita harus membina jenama dengan melahir seorang aktor atau aktres yang mampu menarik minat orang luar.

"Saya percaya kita mampu lakukannya jika semua pihak bersatu hati dan tidak terlalu mengharap pada bantuan sebaliknya berusaha dengan sendiri," katanya.

No comments: