Thursday, August 13, 2009

Konsert khas kenang pahlawan

Konsert khas kenang pahlawan


PERSEMBAHAN yang penuh emosi daripada Ahmad Jais.


Aku bukanlah seorang perwira

Gagah menjunjung senjata

Namun hati rela berjuang

Walau dengan cara sendiri

Demi cinta ini...

ITU antara bait-bait lirik lagu Warisan nyanyian penyanyi popular, Azharina pada Konsert Patriotik Seri Pahlawan yang disiarkan di TV1 baru-baru ini.

Walaupun penyanyi seperti Azharina bukanlah seorang srikandi negara, tetapi dia juga ada semangat dan keinginan untuk menabur jasa pada negara dengan cara sendiri.

Semuanya semata-mata kerana ingin menghargai pejuang-pejuang negara.

Bagi penyanyi seperti Azharina dan lain-lain, penghargaan mereka diterjemahkan dalam bentuk persembahan nyanyian bagi memperingati jasa pahlawan-pahlawan mempertahankan tanah air bersempena dengan Hari Pahlawan baru-baru ini.

Justeru, penglibatan artis-artis popular dalam Konsert Patriotik Seri Pahlawan merupakan manifestasi mereka untuk menyatakan penghargaan buat para pahlawan yang berjuang mempertahankan negara.

Bahkan, pada persembahan yang diterbitkan secara kerjasama antara RTM dengan kerjasama Persatuan Penyanyi, Penulis Lagu dan Lirik Tanahair (Papita) itu juga turut memberi peluang untuk mengutip derma rayuan Hari Pahlawan.

Selain Azharina, artis-artis lain yang turut terlibat ialah Datuk Sheila Majid, Datuk Ahmad Jais, Roy, Azharina, R. Subra, Kenny Lee, Jay Jay, Roy dan Faizal Tahir.

Turut membuat persembahan ialah Anggota Tentera DiRaja Malaysia (ATM) bagi mempersembahkan nyanyian, puisi dan pantomin bertemakan patriotik.

Menurut Pengerusi Papita, Datuk M. Daud Wahid, beliau cukup bersyukur apabila konsert yang dikendalikan untuk kali pertama ini berjalan dengan baik.

"Team produksi berhadapan dengan pelbagau cabaran antaranya mempunyai masa yang sangat terhad untuk menjalani latihan namun saya bersyukur semuanya berjalan dengan lancar," katanya ketika ditemui selepas konsert berakhir.

Bagi M. Daud, beliau sangat beruntung kerana mendapat komitmen daripada barisan artis yang popular dan begitu komited ketika menjayakan persembahan itu.

"Saya akui terdapat beberapa kecacatan sepanjang siaran, namun saya akui berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan konsert ini memandangkan latihan yang amat singkat," ujarnya yang turut memuji kerjasama yang diberikan oleh Badan Kesenian Tentera Udara yang diketuai oleh koreografernya, Kapten Abdul Aziz Ismail.

Ketika acara tersebut, simbol bunga raya berwarna merah turut diedarkan kepada setiap orang yang ingin menderma ke dalam tabung derma Hari Pahlawan tersebut.

Persembahan Konsert Patriotik Seri Pahlawan dimulakan dengan persembahan koir Warisan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sambil diiringi oleh 12 orang pemuzik yang menyampaikan lagu Pahlawanku dan Sekapur Sirih.

Persembahan koir yang cukup indah itu disusuli dengan persembahan Kenny Lee menyampaikan lagu Bapa yang merupakan nyanyian asal Sudirman.

Pentas kemudiannya diambil oleh R. Subra yang menghiburkan penonton dengan lagu Bunga Negara disertai dengan pantomin Tugu Negara oleh Badan Kesenian Tentera Udara.

Sementara itu, Jay Jay pula penuh semangat menyampaikan lagu Baju Hijau dan kemudian disusuli oleh penyanyi veteran, Ahmad Jais yang mempersembahkan lagu Bahtera Merdeka dengan penuh emosi.

Pujian diberikan kepada Azharina dan Roy menerusi lagu duet Ilham Pujangga serta diiringi puisi patriotik yang penuh semangat dan Azharina kemudian menyampaikan lagu Warisan.

Kemunculan Sheila Majid mendapat reaksi positif dari penonton apabila dia mendendangkan lagu Legenda dan Di Mana Kan Ku Cari Ganti.

Persembahan diteruskan oleh Faizal Tahir yang mendendangkan lagu Mentera Semerah Padi sebelum pentas diambil alih semula oleh koir Warisan Tentera Laut Diraja Malaysia dengan lagu Perajurit Tanah Air.

Konsert Patriotik Seri Pahlawan diakhiri dengan lagu 1Malaysia seiring dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tambah M. Daud, Papita juga merancang untuk memuatkan konsert ini dalam bentuk video cakera padat dan akan dipasarkan dalam waktu terdekat bagi mengutip derma kepada insan-insan memerlukan yang terdiri daripada bekas perajurit dan balu-balu mereka.

"Saya merancang untuk turut menyelit elemen-elemen lain seperti perjuangan keenam-enam Perdana Menteri kita dan pembangunan negara untuk kesedaran umum," katanya lagi.

Konsert berkenaan turut dihadiri oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung Kempen Hari Pahlawan.

Pada hari yang sama, beliau turut melancarkan tabung derma rayuan Hari Pahlawan yang kemudian akan digerakkan ke seluruh negara.

No comments: