Tuesday, August 11, 2009

Juri terikat peraturan penganjur?

Juri terikat peraturan penganjur?

KRITERIA pencalonan dan penjurian merupakan aspek yang paling penting bagi mengangkat sesuatu calon itu memenangi sesebuah kategori yang dipertandingkan dalam Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22).

Daripada pihak panel juri kategori Filem Cereka, Ketua Jurinya, Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin tidak menafikan mereka sedikit sebanyak terikat dengan kriteria dalam penganjuran kali ini.

"Kami (juri) mengikut peraturan yang telah ditetapkan dalam menerima pencalonan pada setiap kategori yang dipertandingkan kali ini. Contohnya, dalam pertandingan kali ini, penerbit yang akan mencalonkan nama calon-calon mereka dalam kategori yang dipertandingkan.

"Sedangkan sebelum ini pihak penganjur atau juri yang mencalonkan nama-nama calon yang mereka fikirkan layak untuk bertanding dan sekali gus memenangi kategori yang mencalonkan mereka itu," katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, Sabah, sebelum malam anugerah FFM22 berlangsung.

Selain Kamarul Ariffin selaku Ketua Juri, FFM22 turut disertai oleh empat lagi juri iaitu Tan Sri Jins Shamsudin, Prof. Dr. Naim Ahmad, Datuk Paduka Shuhaimi Baba dan Zainuri Misfar.

Ketika ditanya tema FFM22, Filem Malaysia Ke Persada Dunia, Kamarul Ariffin juga tidak menafikan memang terdapat filem yang dipertandingkan kali ini yang mempunyai ciri-ciri tersebut.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, elemen-elemen yang ditampilkan itu haruslah diperkuatkan lagi supaya ia mampu diketengahkan serta dihayati oleh segenap lapisan penonton tanpa mengira batas bangsa dan budaya.

"Dalam banyak-banyak filem itu memang ada filem yang sedikit sebanyak memenuhi kriteria itu tetapi kebanyakannya ia lebih untuk tontonan masyarakat di negara ini sahaja.

"Misalnya kalau kita tampilkan elemen jenaka tempatan, maka orang kita sahajalah yang akan faham tetapi ia tidak bersifat universal (global). Perkara-perkara seperti inilah yang harus diambil perhatian," katanya.

Beliau berkata demikian sebelum menyerahkan Laporan Panel Juri dan keputusan penuh FFM22 kepada wakil penganjur festival itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) iaitu Mohd. Mahyidin Mustakim yang juga Ketua Pengarah Finas.

Turut serta ialah Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim dan wakil penganjur bersama FFM22, Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) yang diwakili oleh Presidennya, Ahmad Puad Onah.

Kerajaan Negeri Sabah yang juga selaku penganjur bersama FFM22 yang pertama kali diadakan di luar Semenanjung Malaysia mengalu-alukan para pembikin filem agar menjadikan Sabah sebagai lokasi penggambaran filem yang popular pada masa depan.

Iliyas Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri Sabah juga berhasrat mahu menjadikan Sabah sebagai pusat perfileman yang penting dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri tersebut.

"Cita-cita kami selepas ini ialah bagi menarik lebih ramai pembikin filem supaya datang membuat penggambaran di sini. Setakat ini saya sudah menerima permohonan daripada tiga penerbit filem yang berminat untuk tujuan itu.

"Pihak kami juga ada menyarankan agar UMS (Universiti Malaysia Sabah) supaya mewujudkan Fakulti Perfilemannya sendiri. Malah, semalam saya mengikut bengkel lakonan dan penulisan skrip di mana ada di antara mereka yang berbakat serta tampil dengan skrip yang bagus-bagus.

"Tidak mustahil kita akan memfilemkan skrip-skrip mereka itu kalau kita ada bajet yang sesuai serta mencukupi untuk merealisasikan lebih banyak filem bermutu terutamanya hasil cetusan idea anak-anak Sabah sendiri," katanya.

No comments: