Tuesday, August 11, 2009

Suara 'ajaib' seorang lelaki

Suara 'ajaib' seorang lelaki

Sebuah konsert dengan kesederhanaan membumbui segenap ruang pentas. Ia adalah sebuah konsert yang lengkap dengan perisa, ada manis, suka dan duka yang dilontarkan melalui lagu dan muzik




JIKALAU lahirnya sebagai bintang, dia adalah kejora yang memancar sinaran terang-benderang. Jikalau lahirnya sebagai intan, dia adalah emas suasa yang tidak bergalang.

Sepanjang hujung minggu lalu, Kuala Lumpur dibuai mimpi indah. Lima malam berturut-turut, Panggung Sari, Istana Budaya menghujan kemerduan, menghantar bahagia paling semarak buat peminat biduan pujaan ramai, Jamal Abdillah.

Lima malam di Istana Budaya, bermula 5 Ogos hingga 9 Ogos, Jamal hadir sebagai lelaki penakluk yang meragut hati dan perasaan insan-insan yang cukup menyayangi dirinya.

Ini termasuklah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais. Turut hadir dengan penampilan istimewa, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah. Kehadiran dua pemimpin ini pastinya memberikan semangat yang cukup luar biasa kepada Jamal selaku penghibur dan tidak hairanlah malam akhir konsert, Jamal memperlihatkan stamina yang cukup luar biasa.

Benarlah, di usia 50 tahun, Jamal kekal sebagai lelaki yang hebat dalam dunianya dan konsert ini menyerlahkan sisi maskulin lelaki itu.

Menawan hati yang rawan dengan bahasa vokal gemersik, keperibadian itu membuatkan banyak hati terus jatuh cinta dan kasih kepadanya.

Sebaik Jamal 'membuka' mulut, memulakan intro lagu-lagu pilihan, bulu roma meremang, hati dipagut bahagia yang sukar untuk diungkap. Gundah gulana menghilang, terbang melayang-layang. Demikian ajaibnya suara seorang lelaki.

Rasa ini hanya akan dipunyai oleh peminat Jamal yang setia menghafal dan mengingati setiap lirik bahasa seni yang dilantun.

Sekali lagi Perpisahan Tanpa Relamu, Suratan Nasib, Nasib diriku, Kembalilah dan Sepi Seorang Perindu mengambil ruang hati.

Tidak ketinggalan Senandung Semalam, Perjalananku, Kekasih Awal dan Akhir, Penghujung Rindu menghantar ambar kasturi ke saujana rasa.

Konsert Jamal...Kembara Seniman berlangsung lebih dua jam dengan dua segmen yang melengkapkan perjalanan karier dan kerjaya seorang Raja Pop di mata peminatnya.

Ia diterbitkan oleh syarikat milik Jamal sendiri, Bintang Channel, dengan kerjasama Istana Budaya, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Komposer handalan, S. Atan pula sebagai teraju muzik dan iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan .

Sebuah konsert dengan kesederhanaan membumbui segenap ruang pentas. Ia adalah sebuah konsert yang lengkap dengan perisa, ada manis, suka dan duka yang dilontarkan melalui lagu dan muzik.


JAMAL akhirnya berjaya membuktikan dia mampu untuk menerbitkan sendiri sebuah konsert berskala besar dengan bantuan karyawan seni lain.


Pun begitu, saya memilih untuk berlaku lebih jujur dalam penulisan ini yang pada saya konsert ini juga memaparkan sisi Jamal Abdillah sebagai manusia biasa yang tidak lari daripada kekurangan terutamanya apabila buat pertama kalinya dia bertindak sebagai penerbit.

Kekurangan utama pada saya dalam konsert ini ialah apabila memilih terlalu banyak unsur dramatik melalui muzikal yang cukup mengganggu tumpuan, terutamanya pada sisi intro pembukaan konsert ini.

Konsert Jamal...Kembara Seniman membuka pintu persembahan dengan lakonan tentang babak kelahiran, zaman remaja dan kisah di pasar minggu Teluk Anson dengan penggunaan masa yang cukup lumayan, sehingga penonton kebosanan menanti.

Lambakan penari-penari yang 'bersimpang-siur' di pentas kelihatan tidak ada relevan dengan roh dan jiwa sebuah konsert.

Beberapa segmen lakonan yang diadakan juga cukup mengganggu penumpuan dan menelaah benak fikir beberapa rakan, kami berkongsi rasa yang sama apabila emosi bagai disentap-sentap, disagat-sagat.

Barangkali mereka perlu berasa kecewa kerana tumpuan untuk lebih 'bermesra' dengan vokal Jamal bagaikan sengaja diganggu-gugat ekoran dicuri elemen lakonan yang kurang 'menyengat'.

Satu yang tidak harus dilupakan, lakonan adalah 'kelemahan' Jamal Abdillah meskipun dia pernah membintangi banyak filem box office pada tahun 80-an dan 90-an seperti Azura, Suratan Kasih dan Ghazal Untuk Rabiah dan lebih mengecewakan lagi apabila 'kelemahan' itu dibawa ke pentas ini.

Bagaimanapun, sedikit kelemahan ini tidaklah sampai mencacatkan keseluruhan persembahan. Jika skalanya ialah 100 peratus, saya memilih untuk memberikan 80 peratus kepada segala pengabdian yang dilakukan untuk konsert ini.

Pada akhirnya saya katakan kepada diri sendiri, inilah yang diinginkan Jamal. Pada akhirnya juga saya memaafkan segala kekurangan itu kerana inilah yang dimahukan oleh Jamal sendiri.

Barangkali sudah 30 tahun Malaysia dihiburkan oleh suara ajaibnya, tetapi masih banyak rahsia diri yang belum dirungkai sepenuhnya dan Jamal mahu lebih intim dengan penonton melalui cerita-cerita zaman kecil dan remajanya.

Sesuatu yang kata Jamal sendiri tidak pernah dia lahirkan dalam mana-mana konsert mahupun persembahannya sebelum ini.


MENERIMA ucapan tahniah daripada Siti Hasmah, Masnah Rais (tengah) dan Tun Dr. Mahathir.


Bagaimanapun suasana berubah apabila rakaman persembahan Bintang RTM yang membawa kepada kemenangan Jamal sebagai Juara di Bintang RTM 1979 ditayangkan dan kami dibawa kepada nostalgia paling istimewa seumur hidup Jamal, detik yang merubah keseluruhan kehidupannya.

Ia bermula dengan penampilan Taufik Latiff (ikon RTM) pada segmen ini yang memperkenalkan Jamal sebagai peserta dan Jamal kemudian mengalunkan Senandung Semalam. Rakaman ini sangat berharga untuk perjalanan sebuah cerita dalam konsert ini yang sepatutnya menjadi intro konsert.

Pada ketika rakaman sampai ke babak aksi Jamal sedang duduk mengalunkan lagu Senandung Semalam (yang sehingga hari ini masih menjadi percakapan apabila soal penguasaan seni pentas didebatkan), pentas Panggung Sari terbuka lebar dan Jamal muncul di pentas untuk menyambung bait-bait Senandung Semalam dengan lebih meyakinkan.

Aduhai, satu detik yang cukup rencah, cukup halwanya untuk menangkap rasa khalayak agar terus tersandar di kerusi menikmati lagi, lagi, dan lagi.

Meskipun dengan permulaan yang sedikit hambar, momentum selepas itu lancar deras dan melunaskan impian empunya diri untuk lebih menghargai peminat yang cinta dan kasih kepadanya. Dengan berkongsi semua perkara tentang dirinya yang selama ini masih disimpan rapi dalam lipatan sejarah, Jamal merasakan dia lebih telus dan menghargai manusia-manusia yang selama ini menjadi 'majikan' kepada dirinya. (Ya, Jamal pernah menggelarkan peminatnya sebagai majikan kerana merasa 'terhutang' dengan mereka).

Jamal mahu bercerita tentang dunianya, sebelum menjadi orang terkenal dan memilih pentas Konsert Jamal....Kembara Seniman ini.

Bukan hanya tribute istimewa kepada komposer Datuk Ahmad Nawab, Jamal juga mahu menjadikan konsert ini sebagai melampias segala rasa kasih sayang, cinta dan keabadian kepada mereka yang mewarnai zaman lampaunya.

Keluarga, sahabat handai dan teman-teman wanita menjadi sisi penting kepada pembangunan jiwa seni Jamal Abdillah meskipun tidak dinyatakan secara jelas nama-nama mereka. Babak-babak berkenaan sudah cukup untuk menyampaikan betapa Jamal terlalu menghargai persahabatan.

Jamal secara peribadi telah memberikan sepenuh-penuhnya usaha untuk mencantikkan lima malam berkenaan dengan segala imaginasi dan kreativitinya.


SETIAP kali melontarkan vokal, peminat akan teruja sehingga meremang bulu roma.


Saya percaya, Konsert Jamal....Kembara Seniman akan menjadi salah satu daripada 'karya ajaib' Jamal Abdillah apabila bercakap tentang sifat kesenimanannya dihari kemudian.

Saya berharap selepas ini akan ada lagi konsert Jamal Abdillah yang diusahakan sendiri oleh empunya diri yang kelihatan semakin yakin untuk berdiri sendiri di bawah payung Bintang Channel.

Cukuplah sekadar bersyukur dengan 80 peratus kejayaan, berbanding dengan 100 peratus kejayaan yang hasil idea dan pemikirannya milik orang lain.

Apa yang lebih penting lagi ialah konsert yang menjadikan Kumpulan Utusan sebagai media rasmi ini membuktikan Jamal boleh berdiri menerbit, mengurus dan menyelia sebuah konsert secara besar-besaran yang 30 tahun lalu tidak pernah dia fikir untuk melakukannya.

Percayalah, ia adalah satu permulaan yang cukup hebat untuk seorang lelaki bernama Jamal Abdillah meneroka ke dunia baru selepas ini, seterusnya menghadiahkan karya-karya besar untuk terus melestarikan kelangsungan dunia kesenimanannya. Jamal Abdillah- Seniman yang sentiasa dan akan selamanya menjadi belahan jiwa peminat-peminatnya.

No comments: