Tuesday, August 11, 2009

Komedi yang menyenangkan

Komedi yang menyenangkan


Antara adegan menarik dalam filem Setem arahan Kabir Bhatia.


DUA buah filemnya terdahulu bukan sahaja memberikan kelainan daripada aspek pendekatan naratifnya tetapi juga kelainan daripada stail persembahannya.

Filem Cinta dan Sepi bukan saja menggunakan tema yang sama, tetapi juga cerita-cerita individu yang seakan terpisah. Kemudiannya cerita-cerita dan individu tersebut diikat dalam satu hubungan cerita dan kaitan antara individu tersebut. Kepada yang sinikal, mereka menganggap konsep naratif dalam Cinta dan Sepi hanyalah paparan cerita-cerita pendek yang digabungkan.

Namun, apa yang menarik filem-filem ini berjaya menyulam emosi bukan sahaja dari sudut jalan cerita tetapi juga konsep visual yang dipaparkan.

Konsep dan pendekatan naratif yang berbeza dalam filem-filem ini tentu banyak disumbangkan oleh latar pengarahnya yang bukan orang Melayu malah didewasakan dalam persekitaran bukan budaya filem Melayu. Hal ini menjadikan Cinta dan Sepi sebagai dua filem Melayu yang berbeza dengan filem-filem Melayu sebelum ini dan sekali gus meletakkan pengarah filem, Kabir Bhatia dalam kedudukan tersendiri.

Kali ini Kabir tampil dengan sebuah lagi filem terbarunya, Setem. Sekali lagi secara konsisten Khabir muncul dengan filem yang menggunakan satu perkataan sebagai judulnya. Mudah dan tepat. Hal yang sama dilakukan oleh Allahyarham Yasmin Ahmad dalam memberikan judul filem-filemnya.

Setem yang lakon layarnya ditulis oleh Khabir merupakan kisah sekeping setem yang menjadi buruan beberapa kumpulan yang ingin memilikinya.

Ini kerana nilai setem tersebut begitu mahal di pasaran. Setem tersebut yang asalnya merupakan sekeping setem tahun 1847 yang tersilap cetak oleh Gabenor Melaka, Lord Arthur Barring.

Bagaimanapun, setem yang disangka tidak berharga itu muncul menjadi setem yang begitu mahal lebih daripada 160 tahun.

Kemudian, dalam satu pameran di Melaka, hal ini menjadi faktor yang menarik perhatian beberapa orang untuk mencurinya.

Antaranya ialah Kumpulan Anak Yatim yang dianggotai oleh Joe (Afdlin Shauki) dan Shid (Rashidi Ishak), kumpulan Ah Long yang diketuai oleh Piranha Lim dan Kumpulan Tosai Vellu (Sathiya) dan abangnya Mani (Indi Nadarajah).

Tetapi dalam proses untuk mencuri setem berkenaan sayangnya telah sampai ke tangan Marcello (Harun Salim Bachik) dan Aryanto (Isma Yusuf) iaitu dua orang pendatang Indonesia dan kemudian secara tidak sengaja sampai pula ke tangan Iskandar (Que Haidar) yang buta, tetapi secara tidak sengaja digunakan oleh kakaknya Alliya (Vanidah Imran) untuk menghantar surat.

Joe dan Shid merupakan dua budak nakal yang asalnya penghuni rumah anak-anak yatim dan mereka mahu mencuri setem tersebut dengan tujuan untuk mendapatkan wang bagi menyelamatkan rumah anak yatim tersebut daripada dijual oleh pemiliknya.

Manakala Vellu, pemandu van yang membawa setem tersebut ke pameran di Melaka mula menyedari nilai setem tersebut selepas dipaksa oleh abangnya.

Setem berbeza dengan dua filem arahan Kabir yang terdahulu. Jika Cinta dan Sepi menanggapi dunia yang terasing, hening dan dengan mood yang tertentu, tetapi Setem merupakan filem aksi cemas yang digarap dengan elemen komedi.

Ada elemen kejar mengejar, tembak menembak dan letupan untuk kesan yang dramatik, tetapi elemen komedi muncul daripada aksi dan situasi tersebut. Di sini kekuatan naskhah Setem yang menjadikan filem ini sebuah filem komedi bersih yang saya anggap dihasilkan untuk bertujuan menyenangkan. Malah watak antagonis dalam filem ini juga tidak ditampilkan begitu jahat dan ganas.

Timbul secara slapstik

Sungguhpun Setem digarap secara komedi tetapi elemen kelucuan tersebut timbul daripada aksi dan situasinya. Dan kelucuan itu juga bukanlah kelucuan yang timbul secara slapstik. Filem ini bertolak daripada satu plot utama dan semua adegan bergerak ke dalam fokus utama ini.

Sedangkan Cinta dan Sepi mempunyai beberapa subplot yang kemudian dirangkaikan ke dalam satu tema yang akhirnya menjadi satu plot utama.

Naratif dalam Setem cuba membawa persoalan antara matlamat moral yang baik dan kaedah yang salah. Apakah mungkin seorang pengetua rumah anak-anak yatim, Pak Ramli (Aziz Sattar) perlu meminta bekas anak didiknya yang diketahuinya nakal meneruskan kerja mencuri setem untuk menyelamatkan sebuah rumah anak-anak yatim? Apakah niat yang murni dapat menghalalkan cara? Apakah filem ini hanya mengangkat persoalan atau sekadar cuba menyenangkan penonton dengan elemen kelucuan dan aksi-cemasnya?

Dengan penghasilan Setem, kita dapat melihat sebuah lagi filem yang cuba memantapkan kelompok filem komedi situasi yang bergerak dalam naratif yang bersih seperti mana filem komedi Cuci arahan Hans Isaacs, Buli dan Cilok oleh Afdlin Shauki.

Plot Setem berjalan lancar, arahan pelakon dan kerja kamera filem ini dilakukan dengan baik. Filem-filem komedi ini digerakkan oleh kekuatan plot yang membezakannya dengan filem-filem komedi slapstik. Namun ini bukan bermakna slapstik juga satu komedi yang mudah. Ini kerana slapstik adalah satu jenis komedi yang menggunakan 'kelemahan dan kebodohan' wataknya untuk mengangkat persoalannya dan ia satu jenis seni komedi yang sebenarnya tidak mudah dikuasai dan ia sangat bersifat tradisi.

No comments: