Tuesday, September 1, 2009

Fenomena baru ciptaan Rashid

Fenomena baru ciptaan Rashid


RASHID Sibir (tiga dari kanan) bersama Nizam Sani (tiga dari kiri) dan barisan pelakon drama bersiri Kasih Tercipta di ibu negara, baru-baru ini.


TIDAK dinafikan, drama-drama arahan pengarah prolifik ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton.

Bukan itu sahaja, setiap karya yang dilahirkan sedikit sebanyak akan menjadi bualan dan perdebatan di kalangan masyarakat.

Sebetulnya, sentuhan sutradara bernama Rashid Sibir ini telah berjaya meninggalkan impak yang bukan sedikit di kalangan penonton.

Baik kritikan positif mahupun negatif, Rashid menerimanya dengan hati terbuka kerana hanya dengan kritikan, dia tahu kelemahan yang mampu diperbaiki.

Lihat sahaja kejayaan telemovie mahupun drama bersirinya seperti Pondok Buruk, Pondok Buruk 2, Dalam Hati Ada Cinta, Wali, Selimut Putih, Tanah Kubur, Nur Di Pintu Syurga, Rumah Di Tengah Sawah, Sekeras Kerikil dan Quran Buruk.

Malah, Rashid mendapat jolokan pengarah air mata berikutan kebanyakan dramanya mampu meruntun jiwa penonton dan sarat dengan mesej yang berguna kepada masyarakat.

Bukan sekadar intipati mesej di dalam dramanya, tetapi kelebihan drama-drama arahan Rashid juga terletak kepada kombinasi pelakon yang mewarnai karyanya itu.

Nama-nama seperti Rosyam Nor, Fauziah Nawi, Rusdi Ramli, Umie Aida, Nasha Aziz, Rita Rudaini, Ellie Suriaty dan Azean Irdawaty antara bintang handalan negara yang pernah berlakon di bawah arahannya.

Kini, Rashid sedia menggegarkan kaca televisyen menerusi karya terbarunya berjudul Kasih Tercipta yang ditayangkan bermula 1 September (hari ini) di Astro Prima (saluran 105, Astro).

Menariknya, drama sebanyak 26 episod itu buat julung kalinya menggandingkan dua aktres hebat tanah air, Nasha dan Erra Fazira yang sudah pasti merupakan umpan terbaik untuk menarik perhatian penonton.

Selain Nasha, aktor kacak yang semakin menempa nama, Aaron Aziz juga menerajui drama bersiri tersebut sebagai pelakon utamanya.

Sisi lain Erra

Saat bertemu dengan Rashid di majlis pelancaran drama berkenaan di Courtyard Garden, Damansara Heights, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia teruja dan gembira kerana dapat menggandingkan dua aktres ternama negara dalam satu drama.

Apatah lagi, Kasih Tercipta juga merupakan kolaborasi pertama Rashid bersama Erra dan semuanya direalisasikan setelah pihak Astro mencadangkan nama bekas ratu cantik itu kepadanya.

"Selepas Astro memberikan nama Erra, saya terus memikirkan satu watak yang berbeza untuknya. Apa yang penting, saya mahu peminat melihat sisi lain Erra yang sebelum ini cukup dikenali dengan watak-watak baik.

"Watak Lisa yang dipegang Erra dalam drama ini telah dijayakan dengan baik olehnya dan wataknya juga bukanlah terlalu hitam dan jahat.

"Sebaliknya, saya menyifatkannya sebagai watak kelabu di mana penonton dapat melihat perkembangan watak Lisa itu dari mula hingga akhir dan akan faham mengapa Lisa bertindak demikian," ujarnya yang turut memuji profesionalisme Erra dan Nasha sewaktu di lokasi.

Turut hadir pada majlis pelancaran drama Kasih Tercipta ialah Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani dan barisan pelakon utama drama tersebut.

Menyambung bicara, Rashid juga melahirkan kepuasan yang tidak terhingga apabila dapat menggandingkan Erra dan Nasha dalam satu drama.

Malah, Rashid juga menyatakan kolaborasi Erra, Nasha dan Aaron juga sebagai menuntut kehendak dan peredaran masa selain memberi satu santapan baru kepada penonton.

"Bukanlah saya mengatakan gandingan pelakon terdahulu tidak bagus, tetapi saya mahu mencipta satu fenomena baru seperti mana yang terjadi dulu menerusi gandingan pelakon-pelakon saya," katanya yang mula mencipta nama menerusi filem Sutera Putih (1995) itu.

Rashid juga ditebak dengan persoalan tentang kualiti karyanya yang dilihat begitu stereotaip.

Sehingga penonton sudah dapat menjangka apakah yang berlaku seterusnya tanpa perlu menunggu pengakhirannya.

Menjawab persoalan itu, dengan tenang Rashid menjelaskan, dia sememangnya sudah mengubah stail dan cara pengarahan seiring dengan zaman.

Tetapi, dalam masa yang sama kata Rashid, sentuhannya masih lagi kekal dan seboleh-bolehnya dia tidak mahu menghilangkan identitinya.

"Dalam Kasih Tercipta, penonton dapat lihat perubahan itu kerana saya aplikasikan segala teknik mengikut arus pemodenan. Watak-wataknya juga bergerak sekali dengan jalan cerita.

"Malah, jalan ceritanya juga berbeza dengan apa yang saya lakukan sebelum ini biarpun ia berkisar tentang cinta, persahabatan dan keluarga," katanya yang mengharapkan Kasih Tercipta turut mencatat kejayaan yang membanggakan.

Kasih Tercipta yang bersiaran selama satu jam bermula pukul 10 malam itu turut menampilkan pelakon-pelakon lain seperti Fouziah Gous, Syed Ali, Aleeza Kassim, Dee, Ahmad Tarmimi Siregar, Dee dan Aida Radzwill.

Sementara itu, selaku penyiar Nizam sememangnya mengharapkan kejayaan akan berpihak kepada Kasih Tercipta dengan mencatatkan rating yang tinggi.

Sebelum ini, drama bersiri Mertua vs Menantu yang disiarkan menerusi saluran yang sama telah berjaya mencatatkan rating sebanyak 1 juta penonton.

"Kami mahu mengotakan janji kami kepada pelanggan dan penonton yang mendambakan karya berkualiti.

"Kasih Tercipta adalah sebahagian daripada karya yang menjanjikan kepuasan kepada penonton selain daripada drama-drama lain yang sedang menunggu giliran untuk ditayangkan," ujarnya penuh optimis.

No comments: