Friday, August 21, 2009

Dengarnya...: Filem lakonan Fazura ditayangkan 5 November

Dengarnya...: Filem lakonan Fazura ditayangkan 5 November


Fazura berlakon dalam filem Pisau Cukur.

BEBERAPA hari lalu, rakan Cik Normah ada berborak dengan orang kuat Primeworks Studios, yang sebelum ini bertanggungjawab menghasilkan filem Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad. Khabarnya, banyak lagi projek menarik bakal diusahakan syarikat penerbitan dan pengedaran filem ini untuk tahun depan.

Primeworks juga nampaknya selesa dengan projek usaha sama beberapa syarikat lain dalam penghasilan filem. Dengan cara itu, katanya, penjimatan kos boleh dilakukan. Dalam keadaan pasaran filem Malaysia yang belum begitu besar ini, tindakan itu tentulah antara cara terbaik untuk meneruskan pembangunan industri filem tempatan.

Khabarnya, projek seterusnya membabitkan usaha sama antara Primeworks dengan Red Films yang sebelum ini turut bekerjasama dengan mereka menghasilkan Pisau Cukur. Dua lagi syarikat yang akan sekali lagi bekerjasama dengan Primeworks ialah Skop Productions dan Lineclear Motion Pictures.

Ketiga-tiga syarikat terbabit memang sudah sering bekerjasama dengan Primeworks. Jadi, mereka memang saling memahami antara satu sama lain. Sebuah lagi syarikat yang menjalinkan kerjasama dengan mereka ialah KRU Studios.

Selain Pisau Cukur lakonan Maya Karin, Fazura dan Aaron Aziz yang akan ditayangkan 5 November ini, dua lagi filem yang sudah pun disiapkan bersama Lineclear, Dua Hati Satu Jiwa dan Empat Madu bakal menemui peminat pada tahun depan.

Disember ini pula, Primeworks dikatakan bakal menyaksikan filem usaha samanya bersama syarikat penerbitan dari Thailand, Sanctuary, ditayangkan di negara ini. Filem yang dibintangi pelakon Thai dan Hollywood itu menjenguk pawagam di negara Gajah Putih terbabit pada Oktober depan.

Primeworks juga khabarnya kini dalam proses terakhir menghasilkan filem I Not Stupid dalam versi Melayu. Filem yang dibuat berdasarkan komedi popular dari Singapura terbitan 2002 itu bakal diarahkan sekali lagi oleh sutradara asalnya, Jack Neo. Sebuah lagi filem komedi berjudul Where Got Ghost? juga bakal diterbitkan oleh Primeworks tahun depan.

No comments: