Friday, August 21, 2009

Taufik bengang dituduh kasanova

Taufik bengang dituduh kasanova

Oleh Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com.my


BERBEKALKAN wajah tampan, penampilan menarik serta bergaya sudah tentu menjadi igauan ramai wanita. Ditambah pula, kelunakan suaranya dalam melodikan lagu, menarik perhatian dunia muzik tempatan.

Biarpun disempadani dua negara, namun populariti penyanyi kelahiran Singapore Idol musim pertama, Taufik Batisah, 28, turut dirasai di sini.

Taufik yang juga seorang komposer, menganggap populariti adalah satu perkara penting dalam industri hiburan kerana tanpanya sukar bagi dia menembusi pasaran Malaysia dan dikenali ramai.

Tidak mahu dikenali berdasarkan rupa paras, Taufik yang sudah beberapa kali memenangi Artis Singapura Paling Popular di Anugerah Planet Muzik, menginginkan peminat menghargai muzik yang diperjuangkannya.

Justeru, kerana 'publisiti' akhirnya Taufik dikatakan pula seorang kasanova dan gemar bertukar pasangan berikutan dia selalu dilihat berdampingan dengan ramai wanita.

Runsing dengan kenyataan itu, namun Taufik yang ditemui selepas majlis pelancaran album terbarunya berjudul Suria Hatiku di Red Box Ria, baru-baru ini, menjawab segala pertanyaan berkisar kontroversi itu dengan tenang.

Jelas Taufik, dia tidak pernah mengamalkan sikap kasanova kerana cinta adalah satu perasaan simbolik yang sukar ditafsirkan menerusi kata-kata.

Apatah lagi, dia menghormati kehadiran wanita yang bakal bersamanya seumur hidup seperti kasih kepada ibunya sendiri.

"Kelakarlah bila dengar orang kata saya seorang 'player' memandangkan selalu keluar bersama wanita. Bagi saya, keluar dengan wanita adalah perkara biasa dan tidak semestinya kami bercinta. Kalau diikutkan, kawan baik saya sendiri seorang wanita.

"Ketika ini, saya berkawan dengan ramai wanita. Lagipun, kalau keluar dengan lelaki saja, nanti timbul pula gosip mengatakan saya ini gay. Sukar hendak menutup mulut orang. Tetapi, saya terima kerana ia menandakan pembabitan dalam dunia seni muzik disedari ramai.

"Ketika awal menerima gosip itu, sakit hati dan bengang pun ada. Tetapi, lama-kelamaan sudah biasa dan saya bukanlah seorang yang gemar mainkan perasaan wanita. Buat masa ini, saya masih belum ada teman istimewa selepas putus cinta semasa belajar di Politeknik, Singapura.

"Pedih rasanya bila kehilangan orang yang disayangi. Disebabkan itu, lagu Usah Lepaskan saya tujukan khas kepada dia. Berdasarkan pengalaman itu, banyak mengajar saya erti cinta dan berhati-hati memilih pasangan," katanya.

Suasana majlis pelancaran album keempat Taufik dilihat turut mengundang penyanyi dan pelakon, Ezlyn. Kehadiran Ezlyn di situ, menimbulkan persoalan apatah lagi apabila Taufik mendendangkan satu lagu istimewa buat gadis manis ini. Mungkinkah pasangan ini bercinta?

"Hubungan kami tidak lebih sekadar kawan baik saja. Saya kenal dia ketika membuat persembahan dua tahun lalu di Desaru, Johor Baharu. Bagi saya, dia seorang gadis baik dan mempunyai ciri-ciri wanita idaman lelaki. Senang cerita, saya senang berkawan dengannya.

"Kedatangan Ezlyn ke majlis ini sebagai tanda sokongan dan tidak lebih dari itu. Sebagai menghargai rakan artis yang sudi meluangkan masa menghadiri majlis ini, tidak salah rasanya sekiranya menyanyikan satu lagu khas buat mereka.

"Justeru, saya harap tidak timbul pelbagai spekulasi mengenai kehadiran Ezlyn. Tetapi, kalau ada jodoh antara kami, tidak mustahil saya akan melamar Ezlyn sebagai peneman hidup bersama," seloroh Taufik.

Buah tangan terbaru Taufik berjudul Suria Hatiku sudah berada di pasaran pada 4 Mei lalu dan pertama kali berkolaborasi dengan Suria Records (SRC) untuk pengedaran dan promosi album di negara ini. Memuatkan 10 lagu bahasa Melayu, lapan adalah hasil ciptaannya dan dua daripada komposer dan penyanyi terkenal, M Nasir, album kali ini menampilkan kelainan berbanding sebelum ini.

Beritahunya lagi, memandangkan album Teman Istimewa kurang mendapat sambutan di negara ini, album terbarunya dipadatkan dengan pelbagai elemen baru yang lebih menarik dan mempertaruhkan lagu seperti Gadis Itu dan Nafasku untuk menjadi lagu hit di sini. Dua lagu yang dicipta khas oleh M Nasir, Hey dan Citra Suria turut dijangka menjadi lagu hit untuk dimainkan di stesen radio tempatan.

No comments: