Friday, August 21, 2009

Kejutan romantik buat Siti

Kejutan romantik buat Siti


wajah-wajah ceria Siti Nurhaliza sebaik mendengar suara suaminya yang menghubungi konti Suria FM pada Rabu lalu.


TIGA tahun lepas, pada tarikh hari ini, penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza Taruddin menamatkan spekulasi ramai apabila beliau memilih menamatkan zaman bujangnya.

Di Masjid Wilayah Persekutuan, artis masyhur negara bersatu dengan usahawan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K dalam acara pernikahan gemilang.

Selang masa berlalu, hidup sebagai seorang isteri benar-benar membahagiakan penyanyi lagu popular Cindai dan Biarlah Rahsia itu.

Dan bersempena dengan ulang tahun yang penuh kemanisan itu, Siti dikejutkan oleh suaminya dengan panggilan telefon yang sarat dengan ucapan penuh romantik.

Kemanisan itu tambah berganda apabila ungkapan kasih dan cinta itu dilafaz dan disiarkan secara langsung ke seluruh negara menerusi siaran radio Suria FM awal pagi kelmarin.

Kebetulan ketika itu, Siti memenuhi undangan stesen radio berkenaan sebagai tetamu undangan krew Breakfast@Suria bersama juruhebah Tuah dan Zizi.

"Selamat ulang tahun perkahwinan yang ketiga, semoga ikatan perkahwinan kita kekal hingga ke syurga," itulah luahan Khalid kepada Siti ketika membuat panggilan kejutan.

Siti yang pada awalnya tergamam tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut sebaik mendengar suara suami.

Selain pendengar radio, reaksi Siti juga ketika itu juga dapat disaksikan secara langsung menerusi laman sesawang rasmi Suria FM, www.suriafm.com.my.

Ditemui sebaik tamat siaran kata Siti, itu merupakan ucapan ulang tahun perkahwinan terawal yang diterimanya sepanjang hampir tiga tahun bergelar isteri.

"Mula-mula dengar suara saya seperti dapat meneka sebab saya kenal benar suara yang membuat panggilan itu.

"Ini merupakan ucapan yang terawal sebab sebelum ini dia (suami) ucap pada hari ulang tahun," katanya sambil ketawa kecil.

Biarpun sebelum ini, kehidupan Siti dilingkari pelbagai cabaran dan kata nista yang cuba leonggarkan ikatan perkahwinan mereka, namun semua itu diterimanya dengan penuh tabah dan sabar.

"Apa yang boleh saya dan suami buat ialah sentiasa sabar dan jangan cepat melatah.

"Apa pun yang berlaku selagi boleh kami berfikir secara matang. Insya-Allah dengan kesabaran tiada apa perkara yang tidak elok berlaku," ujar Siti sambil tersenyum manis.

Bertambahnya usia perkahwinan beliau dan suami membuatkan Siti bersyukur kerana berpeluang mengenali serta melayari kehidupan bersama Khalid.

Malah, menurut penyanyi berusia 30 tahun itu lagi, pelbagai perkara yang dilaluinya kini seakan semakin menstabilkan kehidupannya.

"Jika dahulu kehidupan saya dilingkari urusan kerja dan muzik tetapi apabila sudah berkahwin saya sudah ada masa untuk diri sendiri dan juga suami.

"Saya sudah ada masa untuk keluar bersama suami menonton wayang, pergi bercuti. Semua ini membuatkan kehidupan saya lebih seimbang.

"Saya rasa sudah dapat apa yang saya impikan selama ini. Dia (suami) sentiasa menyokong apa yang saya lakukan dan ini membuatkan saya seronok sebab kami masing-masing menerima seadanya," Siti menyuarakan rasa gembira.

Menyingkap perkembangan terkini penyanyi itu, menurut Siti, dia bakal mengeluarkan produk kecantikannya tidak lama lagi.

Sehingga kini, kata Siti, ia baru sahaja dirancang dan kemungkinan besar bakal direalisasikan hujung tahun ini," kata Siti lagi.

Sebetulnya, kehadiran Siti ke konti Suria FM ialah untuk memilih pemenang hadiah wang tunai RM10,000 bagi kempen Lagu Berduit Suria FM tajaan One Drop Perfumes sementelah lagu nyanyiannya, Biarlah Rahsia menjadi lagu pilihan untuk ganjaran tersebut.

Pertandingan yang menerima jumlah undian lebih 30,000 penyertaan itu di menangi oleh Nor Shahida Nasir, 20 dari Kota Emerald, Senawang, Selangor.

Sementara itu, Suria FM juga bakal membuka gerai Ramadan di Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur dengan menjual pelbagai jus minuman mulai esok (22 Ogos).

Sambil membeli, pelanggan gerai yang dikenali sebagai Jus Jumbo itu berpeluang menerima barangan khas Suria FM.

No comments: