Friday, August 21, 2009

Kerjasama tubuh sekolah filem

Kerjasama tubuh sekolah filem

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


AHMAD bertukar dokumen MoU dengan Pengarah Eksekutif Scientific Arts Capital, Alfred Sia sambil diperhatikan oleh Tan Sri Jins Shamsuddin dan Abdul Wahab (kanan).

Peluang lepasan diploma, ijazah lanjut pelajaran

DENGAN matlamat melahirkan lebih ramai penggiat filem profesional, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) mengadakan kerjasama bersama Orange International College (OIC) dan Scientific Arts Capital bagi merealisasikan penubuhan Sekolah Filem dan Teknologi di kolej itu.

Pewujudan sekolah itu atas kesedaran ramai graduan yang tercari-cari lokasi terbaik untuk mempraktikkan teori yang dipelajari ketika di kolej mahupun universiti. Begitu juga ramai lepasan institusi pengajian tinggi yang bekerja dalam bidang bukan dipelajari mereka, berikutan peluang agak terhad.

Lalu, dengan adanya sekolah filem ini, diharap lepasan diploma mahupun ijazah, serta mereka yang berminat dalam industri pembikinan filem tidak perlu risau mengenangkan masa depan mereka selepas tamat pengajian.

Ketua Pegawai Eksekutif OIC, Abdul Wahab Badaruzaman, berkata ramai bekas pelajar perfileman tidak mempunyai kepakaran atau kurang terlatih apabila tamat pengajian.

"Justeru, kami menyediakan tempat untuk golongan ini, serta mereka yang berminat dalam dunia perfileman, tidak kiralah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia ataupun universiti, untuk mempraktikkan teori yang dipelajari," katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman itu di Finas, Hulu Klang, baru-baru ini.

Menurutnya, tempoh kursus akan berlangsung tiga hingga enam bulan dengan tenaga pengajarnya disediakan FDAM, yang kini memiliki lebih 300 anggota dengan 16 orang daripadanya pemegang ijazah doktor falsafah.

Abdul Wahab memberitahu, kursus perfileman yang ditawarkan di kolej terbabit ialah suntingan, penulisan skrip, pengarahan, animasi, lakonan dan videografi.

"Seramai kira-kira 40 pelajar dijangka mendaftar untuk peringkat permulaan ini, pada November depan. Abdul Wahab berkata, sijil tamat kursus yang disediakan kolej itu diiktiraf kerajaan.

Bagi membantu FDAM menjayakan kursus berkenaan pula, persatuan terbabit turut mendapat sokongan Persatuan Penulis Skrin Malaysia (Swam) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima).

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim berkata, selepas Aidilfitri nanti, seramai 25 tenaga pengajar daripada ketiga-tiga persatuan terbabit akan diberikan latihan selama dua minggu sebelum mereka memulakan tugas pada Januari tahun depan.

Pengerusi Eksekutif OIC, Tan Sri Yahaya Ibrahim pula berkeyakinan kursus perfileman yang ditawarkan mereka muncul usaha yang bakal mencapai kejayaan berikutan wujudnya ramai pakar dalam bidang berkenaan dalam persatuan terbabit.

No comments: