Friday, August 21, 2009

Jejak Rasul kembali lagi dengan paparan Sirah Anbiya

Jejak Rasul kembali lagi dengan paparan Sirah Anbiya

SEBAGAIMANA kurma dan dan bazaar Ramadan menjadi penyeri sambutan bulan puasa, begitu juga dengan program di TV3, Jejak Rasul yang menjadi santapan rohani setiap kali menjelangnya bulan yang mulia ini.

Mula diperkenalkan pada tahun 1995 di TV3, Jejak Rasul adalah dokumentari ilmiah yang popular kerana memaparkan peninggalan para anbiya selain peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan 25 Rasul.

Kali ini, Jejak Rasul - Sirah Anbiya yang disiarkan sebanyak 29 episod ini menemui penonton TV3 sepanjang Ramadan setiap hari jam 6 petang mulai, esok.

Sirah Anbiya’, dokumentari sejarah berkonsep kembara jalanan atau travelogue ini adalah pembikinan semula siri Jejak Rasul musim pertama. Bagaimanapun, kali ini pengisiannya lebih segar dan bermaklumat.

Sejak diperkenalkan 14 tahun lalu, Jejak Rasul 1 memberi kesan amat berkesan kepada penonton dan industri dalam pembikinan dokumentari berbentuk ilmiah.

Siri pengenalan Jejak Rasul ini terus menjadi permintaan ramai dan selepas lebih sedekad menemani penonton, lokasi-lokasi Jejak Rasul yang masih menjadi sebutan penonton setia siri ini kembali dikunjungi oleh krew penerbitan Jejak Rasul.

Bersempena sambutan ulang tahun TV3 yang ke 25 ini, Jejak Rasul 15 kembali menerokai lokasi bersejarah yang pernah dilawati seperti Syria, Mesir, Jordan, Israel, Turki, Arab Saudi dan Yemen.

Jejak Rasul 15 akan mengupas sejarah Nabi dan Rasul juga kisah-kisah penuh pengajaran yang disebut dalam al-Quran dan Sunnah. Bersesuaian dengan lokasi penggambaran yang bersejarah, warna kehidupan masyarakat tempatan juga akan turut dipaparkan merangkumi latar belakang sejarahnya, budaya serta bahasa.

Siri 29 episod ini membawakan kisah bersumberkan al-Quran dan Sunnah disokong dengan fakta dan kajian ilmiah serta disampaikan oleh pengacara berwibawa, Ahmad Noor Sulaiman.

Penerbit Jejak Rasul Musim ke-15, Jasmi Shahir berkata, siri kali ini memberi tumpuan kepada semangat yang ditunjukkan oleh Rasul serta pengajaran yang boleh didapati daripada sejarah.

Kisah-kisah para Rasul ini dapat dilihat dengan jelas lagi melalui siri Jejak Rasul selain dari mengetahui peristiwa yang bersejarah melalui al-Quran dan Hadis. Ayat-ayat suci al-Quran dan Hadis menerangkan perjuangan para Rasul dan sahabat demi menegakkan syiar Islam seperti rintangan yang terpaksa dihadapi ketika berdakwah, kesusahan dan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh mereka serta pencapaian dalam menyebarkan agama Islam.

Penggambaran yang dijalankan selama 100 hari ini bukan saja menerokai peristiwa sejarah para Rasul seperti yang dinyatakan di dalam Quran dan Sunnah tapi turut memaparkan pemandangan, rakyat tempatan dan lokasi-lokasi yang dilawati sepanjang pengembaraan di serata pelusuk bumi Anbiya’.

Khusus buat penonton setia TV3, pastikan petang anda terisi sepanjang bulan Ramadan ini dengan menonton Jejak Rasul 15 -Sirah Anbiya.

No comments: