mayakarin@bharian.com.my
Yasmin disebalik tabir pembikinan iklan kempen Earth Hour. |
Pengalaman menjayakan iklan Earth Hour untuk Dana Hidupan Liar Sedunia buat saya kagum dengan kerja sentuhannya
ASSALAMUALAIKUM. Diharap semua pembaca B*Pop sihat dan bahagia bersama keluarga serta teman-teman. Semoga anda dapat berehat dan bersantai sepenuhnya pada pagi Ahad ini.
Takziah saya sampaikan kepada keluarga Allahyarhamah Yasmin Ahmad di atas pemergian beliau baru-baru ini. Saya tidak mahu bercerita banyak mengenai beliau kerana sudah banyak artikel yang menyentuh mengenai kehebatan dan sumbangan beliau dalam industri pengiklanan dan industri filem tempatan dalam tempoh dua minggu ini.
Banyak pihak mengkategorikan beliau sebagai salah seorang pengarah tersohor negara yang dalam masa yang singkat berjaya mencipta nama di persada seni antarabangsa. Saya tidak berkesempatan untuk beraksi di dalam filem beliau, namun saya pernah bekerjasama dengan beliau di dalam projek Kempen Earth
Hour untuk Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) beberapa bulan lepas. Saya hanya sempat bekerja dengan beliau dalam masa 45 minit saja. Kami buat penggambaran iklan dan seterusnya menjayakan fotografi.
Biarpun hanya 45 minit bekerja dengan Yasmin, saya berasa bertuah kerana beliau yang memberi arahan di dalam penggambaran iklan itu. Malah, saya juga berkesempatan untuk berlakon bersama beliau. Maklumlah beliau bertanggungjawab mengawasi projek itu di samping saya digandingkan dengannya untuk menyampaikan iklan komuniti bersama.
Jika ada yang ingat, dalam kempen Earth Hour itu, dialog yang saya ucapkan agak sinis menyindir Yasmin. Iklan itu bermula dengan shot Yasmin mengatakan ‘action!’ Saya memulakan dialog kempen Earth Hour saya. Selesaikan mengucapkan dialog, kamera fokus kepada Yasmin mengatakan ‘cut!’ Kamera kembali memfokus kepada saya sambil saya berbicara sendiri dengan mengatakan Shumi (Shuhaimi Baba) lagi bagus kot!
Seperti kebanyakan kerja yang dilakukan Yasmin, idea saya mengucapkan dialog jenaka itu datangnya daripada beliau. Beliau tidak kisah dan hirau jika jenaka yang dizahirkan di atas skrin akan memperkecil atau mempersendakan beliau, malah dia sendiri tergelak. Beliau pasti dapat melihat kelucuan dan jenaka yang cuba disampaikan berbanding perihal yang mengusik kebolehan beliau.
Saya mengagumi beliau dalam aspek itu. Saya amat kagum dengan beliau dalam pelbagai aspek. Seperti ramai kawan dan kenalan yang memuji serta mengagumi bakat beliau malah ramai juga yang senang dan hormat dengan personaliti beliau. Saya pasti ramai yang merinduinya. Semoga Allah menempatkan Yasmin di kalangan orang beriman yang balasannya hanya di syurga.
Oh ya! Hari ini adalah Ahad sehari selepas berlangsungnya Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22). Memandangkan saya menulis artikel beberapa hari sebelum berlangsungnya FFM22, pastinya saya tidak dapat komen banyak mengenai pemenang FFM22. Bagaimanapun, tahniah kepada semua pemenang!
Pagi Ahad ini, saya pasti trofi kemenangan anda masih berada dekat di sisi. Mestilah! Sebab tahun ini majlis penganugerahan FFM22 berlangsung di Sabah, negeri Di Bawah Bayu. Tentulah trofi kemenangan masih ada di sebelah katil di bilik hotel pemenang! Semoga anda bahagia merenung trofi kemenangan itu Namun bagi mereka yang tumpas pada tahun ini, jangan gundah dan gusar atau berhenti berusaha, sebaliknya teruskan usaha masing-masing.
Syukur alhamdulillah, saya berjaya merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik pada FFM tahun lepas walaupun saya tidak berkesempatan untuk menerimanya trofi itu di atas pentas seperti yang saya impikan bertahun-tahun lamanya. Yang lebih tragik lagi ialah saya hanya berpeluang memegang dan melihat trofi kemenangan saya hanya selepas 10 hari!
Maklumlah pada ketika itu saya masih berada di Itali untuk majlis perkahwinan saya. Apapun saya tetap sangat gembira dengan kemenangan itu dan hari ini kita sama sama dapat tahu siapakah Pelakon Wanita Terbaik yang baru dinobatkan.
Saya berharap segala perancangan dan urusan FFM22 berlangsung tanpa sebarang masalah. Saya pasti tahun ini cabarannya bertambah hebat dan besar memandangkan kali ini FFM22 berlangsung di Sabah, jauh dari Kuala Lumpur.
Saya tidak mahu komen saya ini akan mencacatkan suasana FFM22, namun satu saja saya nak tambah iaitu saya amat berharap agar pada tahun-tahun akan datang, iklan dan promosi mengenai penganjuran FFM akan bertambah baik.
Biarpun anugerah FFM membabitkan nama-nama besar dalam industri perfileman negara, malangnya pendedahan ini seolah-olah hanya diketahui oleh orang di dalam industri saja. Orang ramai hanya akan tahu dan sedar berlangsungnya FFM hanya selepas gambar pemenang disiarkan media massa keesokannya.
Pendedahan yang lebih meriah perlu dibuat untuk mempromosikan FFM bukan hanya di kalangan mereka yang terbabit di dalam industri malah kepada orang ramai secara am. Baiklah setakat ini saja untuk minggu ini, wassalam.
No comments:
Post a Comment