Sunday, August 9, 2009

FILEM: GI Joe: Rise Of Cobra

FILEM: Kehebatan CGI

Oleh FIRDAUS SAHAT

MELIHAT babak demi babak promosi filem ini, penulis membayangkan karya sutradara Stephen Sommers menerusi GI Joe: Rise Of Cobra sesuatu yang bakal menarik perhatian peminat filem aksi.

Berkesempatan menontonnya ketika sesi tayangan yang diadakan baru-baru ini, penulis merumuskan ia tidak sebaik diharapkan.

Permulaan cerita, kisahnya menarik apabila mengisahkan sekumpulan tentera diamanahkan melindungi serta menghantar pakej kepada kerajaan dengan selamat.

Bagaimanapun, ketika di pertengahan ceritanya, realiti sekali lagi diketepikan apabila sebuah kapal terbang ‘pelik’ yang kalis terhadap segala peluru dan mempunyai senjata dahsyat cuba merampas dan mencuri pakej berkenaan.

Meskipun aksi imej janaan komputernya (CGI) hebat, namun bagi peminat siri animasi itu pastinya kecewa apabila jalan cerita diolah dengan begitu ‘melampau’.

Menerusi filem ini, anda akan dipaparkan menerusi babak di pusat kawalan dan organisasi GI Joe di bawah padang pasir dan digelar ‘The Pit’. Bagaimanapun, pusat organisasi itu masih boleh diterima akal kerana ia milik kerajaan yang ada banyak peruntukan untuk membina lokasi rahsia tentera ‘khas’.

Bagaimanapun, babak di mana pihak musuh yang mampu membina dunia tersendiri di bawah laut sebagai markas dan pusat kawalan bersama-sama pelbagai peralatan berteknologi tinggi agak mengarut.

Menyentuh soal lakonan pula, aksi ditampilkan pelakonnya kurang menonjol, terutama watak Ana yang dilakonkan Sienna Miller. Mungkin satu-satunya perkara yang menarik untuk ditonton daripada pelakon ini adalah rupa paras dan bentuk tubuhnya, tetapi bukan lakonan.

Channing Tatum juga kurang menyerlah. Lakonannya tidak bermaya, malah ekspresinya juga menghampakan. Lebih ketara, lakonan pelakon veteran Dennis Quaid sebagai Jeneral Hawk.

Namun, menariknya sesuatu cerita itu berdasarkan skrip yang ditulis. Dalam cerita ini, dialog yang digunakan kelihatan klise, kosong dan tidak mengujakan.

Begitupun, lakonan Marlon Wayans menjadi penyeri untuk filem ini. Komedinya yang bersahaja membuatkan penonton tersenyum biarpun karya Sommers ini mempunyai banyak kekurangannya.

Sejujurnya, filem ini masih boleh ditonton, lebih-lebih lagi ia mengetengahkan teknik CGI yang menarik. Bagi penggemar filem aksi, babak di dalam filem ini tetap mengujakan.

DATA
FILEM: GI Joe: Rise Of Cobra
PENGARAH: Stephen Sommers
PELAKON: Channing Tatum, Dennis Quaid, Joseph Gordon-Levitt, Marlon Wayans dan Rachel Nichols
GENRE: Aksi / Sains Fiksyen
TAYANGAN: 6 Ogos 2009

No comments: