Sunday, August 9, 2009

Rob Thomas puas

Thomas puas

Oleh MURSHID EUNOS

BEKAS vokalis Matchbox 20, Rob Thomas (RT) berbicara mengenai album solo keduanya, Cradlesong yang merangkumi pelbagai aspek, termasuk idea, pembikinan dan kelainan yang cuba ditampilkan kali ini.

Selebriti (S) berpeluang mendengar pandangannya terhadap karya terbarunya.

S: Adakah anda melalu satu fasa yang rumit dan kompleks dalam pembikinan album Cradlesong ini?

RT: Tiada apa yang kompleks atau merumitkan kerana saya adalah pemuzik yang mendengar melodi dalam kepala sebelum menulisnya. Saya hanya perlu keluarkan segala ilham yang terlintas untuk dijadikan sebuah karya. Secara jujurnya, saya bertuah kerana dapat menghasilkan setiap melodi dengan hanya satu proses mudah.

S: Jadi, apakah inspirasi yang memacu anda sepanjang proses kreatif ini?

RT: Inspirasi menghasilkan sesebuah karya itu adalah satu aspek yang lain. Ini kerana menulis lagu satu-satunya perkara yang relevan dan logik buat saya. Menulis lagu adalah rutin hidup saya. Saya tidak tahu pasal kereta atau sukan, jadi saya tidak tulis mengenai bidang itu. Saya hanya fokus sesuatu yang logik dan relevan dengan kehidupan saya.

S: Bagaimana anda menggambarkan proses pembikinan Cradlesong ini?

RT: Prosesnya semudah yang saya gambarkan iaitu terdapat dua elemen yang mempengaruhi proses pembikinannya. Pertamanya inspirasi dan ilham yang datang daripada diri saya. Ilham itu datang serta-merta walaupun secara fizikalnya lagu itu belum wujud.

Bermula daripada ilham itu lahirlah sebuah melodi dan proses itu di luar jangkaan. Sukar untuk dijelaskan.

Keduanya, kemahiran yang mana membentuk segala ilham dan inspirasi tadi untuk menjadi sebuah karya yang dapat menarik ramai pendengar.

S: Anda hanya menggunakan kebolehan dan kemahiran diri dalam membentuk album ini?

RT: Saya tidak hanya bergantung kepada kebolehan sendiri atau mana-mana karya kerana untuk menghasilkan karya itu, sokongan daripada banyak pihak diperlukan, terutama penerbit bagi mengimbangi segala aspek.

Ini kerana apabila anda mengaku sesebuah karya itu adalah usaha anda secara individu tanpa sokongan luar, pasti anda akan kehilangan rasa prestij karya berkenaan.

S: Bila dan bagaimana proses penemuan baru untuk album solo kedua ini bermula?

RT: Saya bermula dengan membina sebuah studio kecil di tingkat bawah kediaman yang mana kebanyakan lagu bermula dari studio itu. Segala karya bermula dengan petikan gitar akustik saja.

S: Adakah perbezaan album ini berbanding yang terdahulu?

RT: Sudah tentu! Saya sukakan sesuatu perubahan dan kelainan. Setiap karya saya pasti disuntik dengan pelbagai kelainan untuk memberi lebih kepuasan kepada peminat.

Melodi atau muzik yang pernah saya siulkan pastinya berbeza mengikut peredaran masa dan umur dan itu yang menjadi keunikan pada setiap karya saya.

No comments: