Kembara Jamal
Oleh MURSHID EUNOS
HAMPIR tiga jam, Jamal Abdillah membuai penonton dalam konsert solo eksklusifnya, Jamal... Kembara Seniman di Panggung Sari, Istana Budaya, malam Selasa lalu.
Konsert cetusan idea penyanyi berusia 50 tahun ini menggabungkan dua konsep dalam satu rasa bagi memberi kepuasan maksimum serta kelainan dalam siri persembahannya.
Segmen pertama yang mengangkat tema muzikal lebih menceritakan kronologi kehidupannya bermula pementasan zaman kecilnya sehingga usia remaja yang membawa Jamal ke gelanggang Bintang RTM tahun 1979. Gambaran jelas dapat dilihat menerusi bantuan props, tayangan video serta lakonan bersahaja Jamal yang diaplikasi bagi menghidupkan perjalanan cerita.
Manakala segmen kedua yang berkonsep konsert lebih memberi nafas melodi nyanyiannya secara menyeluruh. Jamal puas mengatur rangkaian lagu popularnya yang pernah menggamit perasaan peminatnya dengan diiringi pemuzik orkestra.
Bagaimanapun, Jamal yang masih tidak puas hati sepenuhnya dengan mutu persembahan secara keseluruhan masih berharap penjualan tiket konsertnya terus mendapat permintaan.
“Saya secara peribadi menganggap persembahan ini sebagai penghargaan kepada peminat dan ia sangat istimewa buat saya. Mungkin kerana kelainan yang cuba ditampilkan dengan elemen pementasan teater serta monolog pendek yang diselitkan dapat memberi seribu keunikan.
“Ini janji saya kepada peminat yang selama ini sentiasa memberi sokongan penuh walau ketika saya berdepan pelbagai masalah dan kontroversi,” katanya.
Sesuatu yang memberi kesan serta impak kepada penonton pastinya ketika Jamal mengalun kembali lagu yang pernah menjulang namanya ke puncak populariti seperti Kekasih Awal dan Akhir, Penghujung Rindu, Perjalananku, Ghazal Untuk Rabiah dan Sepi Seorang Perindu.
Satu sentuhan penuh sentimental apabila Jamal memilih koleksi lagu tradisional nyanyiannya dalam satu sesi persembahan yang penuh warna. Lagu Lancang Kuning, Berdendang Dalam Tangisan dan Samrah Mentari dapat menarik peminat untuk turut sama menyanyi dan menari.
Sebuah hadiah dan tanda penghargaan kepada dua tokoh hiburan, Datuk Ahmad Nawab dan Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang banyak memberi kesan serta pengaruh dalam hidup penyanyi berasal dari Teluk Intan, Perak, ini juga dapat meninggalkan kesan kepada penonton. Getaran Jiwa, Putus Sudah Kasih Sayang, Hujan Di Tengah Hari dan Tunggu Sekejap dengan suntikan susunan muzik yang baru berjaya menghiburkan.
Begitu juga persembahan medley rangkaian lagu ciptaan Ahmad Nawab seperti Nasib Diriku, Kembalilah dan Perpisahan Tanpa Relamu menggambarkan konflik yang pernah berlaku antara mereka.
“Suka atau tidak, Ahmad Nawab banyak berjasa pada saya dan segala permasalahan yang pernah wujud antara kami adalah perkara kecil dan biasa bagi seorang penerbit dan penyanyi dalam proses rakaman album.
“Namun adalah mustahil untuk saya menidakkan kewujudannya dalam perjalanan seni saya,” katanya.
Juara Bintang RTM 2009, Ernie yang juga diundang untuk menyanyi bersama Jamal menerusi lagu Kehebatan Cinta dan Seri Langkat juga menarik dan menghiburkan. Manakala naib juaranya, Fatin diundang untuk berduet menerusi lagu popularnya, Sandarkan Pada Kenangan.
Namun, dalam pada kehebatan Jamal melekakan penonton dengan vokalnya yang memukau, fokus dan tumpuannya terhadap sebuah lagu baru dendangannya, Apa Lagi, gagal disempurnakan apabila Jamal seakan-akan terlupa beberapa baris lirik.
“Segala persediaan dan mutu persembahan di tahap yang masih perlu diperbaiki. Malah pemuzik yang mengiringi nyanyian saya masih keliru dengan susunan lagu serta gaya nyanyian saya. Namun saya akan pastikan kesilapan kecil seperti itu tidak berulang,” katanya.
Jamal... Kembara Seniman diteruskan malam ini, malam terakhir.
Sunday, August 9, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment