Nur Kasih Remy, Tizz
Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my
TERKENAL dengan karya berseni dan cantik menjadikan Kabir Bhatia antara pengarah yang dikagumi ramai bintang muda. Filem Cinta dan Sepi garapannya menjadi buat mulut dan laras penanda betapa kreatifnya insan seni yang terlebih dulu mencipta nama di Indonesia ini.
Tawarannya sentiasa dinanti ramai, termasuk dua anak muda berbakat besar, Remy Ishak dan Tizz Zaqyah. Mereka mengakui bertuah menjadi pilihan Kabir sebagai teraju utama siri popular Nur Kasih yang bersiaran di TV3 setiap Jumaat.
Menerusi drama yang menjalani penggambaran sekitar Tanjung Karang (Selangor), Jordan dan Australia itu menjadi medan dua pendatang baru ini untuk lebih mengenali Kabir.
Kata Remy, ramai kenalan berpesan, andai ada tawaran daripada pengarah filem Setem ini, jangan sesekali ditolak. Nasihat itu kukuh tersemat di hatinya, malah apabila dipanggil menghadiri uji bakat tertutup untuk watak Adam, dia terus bersetuju.
“Saya menonton semua karya Kabir dan sangat suka dengan filem Cinta, Sepi dan siri Kekasihku Seru. Bagi saya, dia insan yang sangat kreatif dan lain daripada lain. Di kalangan rakan seangkatan, Kabir antara pengarah idaman yang disebut-sebut, rugi kalau saya tolak tawaran ini.
“Untung bekerja dengan Kabir kerana dia sangat terbuka dan sentiasa memberi peluang kepada pelakon untuk mencorak watak yang dibawa mengikut keselesaan masing-masing.
“Awal penggambaran memang mencabar kerana saya tidak tahu apa akan jadi kepada watak Adam disebabkan skrip belum siap sepenuhnya.
“Watak Adam turut menuntut saya fasih berbahasa Inggeris. Sebelum ini saya pernah bekerja di hotel dan bila ada dalam bidang ini, bahasa Inggeris sangat penting tetapi tidaklah lancar sangat.
“Saya risau bila mendapat tahu penggambaran akan dilakukan di Australia. Bagaimanapun, masalah kurang yakin dapat diatasi berkat sokongan Kabir,” kata Remy yang menyifatkan Nur Kasih sangat istimewa di hatinya.
Jelas jejaka kelahiran Melaka ini, watak Adam dekat di hatinya kerana mereka banyak persamaan. Di sebalik wajahnya yang tenang, siapa sangka Remy kuat memberontak satu ketika dulu, malah dia pernah ada dalam persimpangan dilema seperti mana Adam.
“Serba sedikit kehidupan saya sama seperti Adam. Digambarkan Adam hilang jati diri dan kecewa apabila sering dibandingkan dengan abangnya, Aidil, yang jauh lebih baik dalam semua perkara.
“Adam terpaksa memenuhi permintaan orang tuanya biarpun dia sebenarnya tidak rela. Dalam kehidupan sebenar, saya tidak suka dipaksa. Kalau bukan pilihan sendiri, saya akan tolak, tetapi kalau itu permintaan terakhir ibu, saya akan buat. Ini berbalik kepada soal tanggungjawab dan ketaatan seorang anak terhadap ibu bapanya.
“Sama seperti Adam, saya suka memendam perasaan, bila tidak tertanggung, saya akan kusut dan memberontak,” katanya.
Adam turut meninggalkan impak besar kepada dirinya apabila menjadi sebutan peminat, malah rata-rata yang bersua muka dengannya akan meluahkan perasaan geram dan benci dengan sikap Adam yang degil. Baginya, apapun maklum balas yang diberi penonton, ia petanda baik.
“Bila orang benci dengan watak yang kita bawa, maknanya ia menjadi. Saya pernah bawa watak durhaka tapi kali ini berlainan, di mana Adam patuh dengan permintaan ibu bapanya.
“Ketika melakonkan watak ini, saya ikut saranan Kabir supaya tidak terlalu keras berusaha, biar penjiwaan itu datang dari hati, baru lakonan nampak lebih bersahaja,” katanya.
Mengulas pengalaman menjalani penggambaran di Australia dan Jordan, Remy berkata, banyak perkara baru dipelajarinya, lebih-lebih lagi hakikat betapa beruntungnya dilahirkan sebagai rakyat Malaysia.
“Saya berkampung di Jordan selama 10 hari manakala Australia pula enam hari. Saya kagum dengan keindahan kota Petra dan padang pasir yang saujana mata memandang di Wadi Ram dan berpeluang merasai sendiri mukjizat air telaga nabi Musa di Wadi Musa.
“Ketika penggambaran, saya mengalami alahan kulit tetapi bila basuh dengan air telaga itu, semua rasa gatal hilang.
“Saya dapat melihat kehidupan muda-mudi di Australia. Daripada situ timbul kesedaran betapa bertuahnya saya dilahirkan di Malaysia yang aman dan tidak mengalami keruntuhan sosial yang kronik. Tidak sabar-sabar mahu pulang ke Malaysia bila ada di sana,” katanya.
Sementara itu, Tizz Zaqyah atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak menganggap peluang diberi Kabir sebagai pembuka jalan kepadanya untuk terus memahat nama dalam industri. Menerusi Nur Kasih, dia lebih dikenali dan mula mendapat perhatian penggiat filem dan drama.
Bagi yang tidak mengikuti perkembangan gadis manis ini, Nur Kasih bukan drama pertamanya, sebaliknya karier sebagai pelakon bermula sejak lebih dua tahun lalu.
Awal pembabitan, remaja berusia 21 tahun ini pernah membintangi drama Gol & Gincu dan diikuti Impian Ilyana, selain menjayakan telefilem Bernafas Dalam Lumpur serta Puaka Topeng Putih.
“Alhamdulillah selepas muncul dalam Nur Kasih, rezeki saya semakin murah. Kalau dulu saya perlu menghadiri uji bakat, tetapi kini beberapa pengarah bertanya sama ada saya berminat berlakon di bawah arahan mereka.
“Sebagai pendatang baru, tentu saya gembira dengan perkembangan ini. Setakat ini saya menerima beberapa tawaran, tetapi saya mahu fokus dulu perhatian kepada pembikinan Nur Kasih yang berakhir minggu ini dan selepas ini baru boleh saya pertimbangkan tawaran itu,” katanya sopan.
Menurutnya, dia senang bekerja dengan Kabir dan Faizal Ishak yang banyak membantu menghidupkan watak Nur Amina. Ketenangan dan sikap terbuka Kabir membuatkannya lebih bersemangat, biarpun watak dibawa berat untuk dihayati.
“Saya menerima panggilan supaya menghadiri uji bakat drama ini ketika masih di lokasi penggambaran Impian Ilyana. Ketika itu saya sangat gembira, maklumlah siapa tidak mahu berlakon di bawah arahan Kabir.
“Pertama kali bertemunya, saya berdebar-debar. Macam tak percaya pula bila dia memaklumkan saya layak memegang watak Nur Amina. Ini kerana saya masih baru dalam industri dan diberi kepercayaan menggalas watak utama.
“Kabir baik orangnya. Di lokasi dia bukan saja pengarah, tetapi boleh jadi kawan dan ayah. Kerja dia sangat teliti dan syot pun cantik. Dia tahu syot apa yang dimahukan dan ia memudahkan pelakon memahaminya,” katanya yang mahu lari daripada imej bertudung dan berharap diberi peluang melakonkan watak seram atau gila.
Kali pertama membaca skrip Nur Kasih, Tizz dapat rasakan ia karya bagus dan mampu menarik perhatian ramai kerana sarat dengan suntikan kasih sayang yang digambarkan menerusi hubungan ibu bapa dan anak, suami dan isteri dan adik beradik.
“Nur Kasih bukan drama cinta semata-mata, tetapi diperindahkan dengan penerapan nilai Islam yang boleh dijadikan panduan ramai.
“Penceritaannya mampu buat penonton sama-sama tersenyum, ketawa dan menangis,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
huuhuh...
bez gler...
episod 18 n 19 de bes..kekekkeke
Post a Comment