Sunday, August 9, 2009

Saiful Apek sekadar boleh menyanyi

Sekadar boleh menyanyi

Oleh Suzan Ahmad



TIDAK adil jika kita mengharapkan sesuatu yang terlalu sempurna dari seorang anak seni yang pada dasarnya bukan seorang penyanyi yang baik, biarpun Saiful Azam atau lebih kita kenali dengan panggilan Saiful Apek, 39, memang boleh menyanyi.

Berkat kesabaran, sokongan dan dorongan serta kerjasama rakan seperjuangan yang mengenali Saiful Apek secara peribadi, maka hasil yang dipersembahkan juga kedengaran cukup personal.

Tumpang seronok juga apabila dikhabarkan album sulung berjudul SaifulApek & Famili ini akhirnya berjaya disempurnakan selepas lapan tahun menanti. Peminat setia pelawak, pelakon, penyanyi dan pengarah ini semestinya boleh faham mengapa album istimewa perlu diperam begitu lama sebelum akhirnya berjaya dipasarkan.

Maklum lepas satu filem ke filem yang seterusnya sehinggalah mengarah telemovie dan video muzik, tidak hairanlah album yang mula dicetuskan sejak 2001 baru kini berjaya direalisasikan.

Memuatkan enam lagu pelbagai warna dan cita rasa, SaifulApek & Famili terbitan syarikat miliknya sendiri Gitu Gitu Production Sdn Bhd mendapat sentuhan komposer seperti AJ ‘Pop Shuvit’, Miss 3, Azmeer, CD Naz dan Ajin.

Menarik juga sebab hanya satu saja lagu yang ditampilkan menonjolkan Saiful secara solo iaitu menerusi Joget Ikutkan Hati. Kebanyakan lagu yang ditampilkan mengenengahkan rakan seperjuangan dalam industri.

Lagu Hua Hua Hua yang cukup menggelikan hati melodi serta liriknya menampilkan Saiful bersama Along (Raja Lawak), Angah (Raja Lawak) dan Mie.

Hati Batu di trek dua pula yang tidak kurang juga menariknya membawa kita melayan irama sederhana rancak nyanyian Saiful bersama Angah dan Along.

Untuk santapan bernada Pop Balada yang lebih mendayu pilu, apa kata anda layan penghayatan Saiful bersama gandingan bakat baru Diarra membawakan Kalakian.

Kembalilah di trek 5 pula nyanyian Saiful bersama empat penyanyi wanita yang menggelarkan kumpulan mereka D’Adza juga tidak kurang hebatnya. SaifulApek & Famili diakhiri dengan lagu Pantun Melayu nyanyian bersama Saiful Apek, Yassin, Bob Kuman dan CD-Naz.

Jadi, jika pendengar mahu mengetahui sendiri sejauh mana hasil album Saiful Apek yang terhasil dari sikap setia kawan selama 15 tahun bergelumang dalam dunia seni, tidak rugi untuk mendapatkan sendiri album ini yang sudah pun berada di pasaran ataupun layari www.saifulapek.com.my

No comments: