Saat bahagia Erema bersama Seri Bayu. |
Berhenti menyanyi di kelab malam kerana tak tahan dengan pandangan serong, cemuhan masyarakat
HIDUP tak selalunya indah, ada ketika diuji dengan dugaan yang memilukan. Begitulah berlaku kepada penyanyi Erema. Raja terkedu mendengar Erema menangis teresak-esak di talian ketika menghubunginya lewat petang Rabu lalu. Sekadar ingin bertanya khabar, cerita lain pula yang Raja dengar.
Raja fikir selepas memfailkan perceraian dengan suaminya yang juga komposer terkenal, Seri Bayu, kehidupan Erema berubah, sebaliknya lain yang difikir, lain pula yang berlaku. Memang sedih mendengar keluhan Erema, ramai yang menganggapnya isteri tidak berguna, suka mendera suami dan lebih perit, apabila dilemparkan tuduhan sebagai perempuan sun... ops, sensitif jika disebut.
Erema beritahu Raja, dia cukup terkilan dengan pandangan serong masyarakat sekeliling sehingga dirinya tidak mampu bekerja dan terus menyanyi di kelab malam lagi.
"Saya mendengar sendiri mereka (pelanggan) mencemuh saya perempuan jal..., sun..., isteri tak berguna, suka mendera suami dan macam-macam lagi apabila mereka membaca luahan Seri Bayu, melihatnya secara live di kaca TV tidak lama dulu, sedangkan mereka tak tahu keadaan saya. Akibat tertekan dengan cakap-cakap yang melukakan hati dan memalukan diri, saya berhenti bekerja di kelab malam.
"Sudah empat bulan saya tidak bekerja, saya mahu berehat seketika. Saya memang tertekan, saya teramat malu dengan pandangan orang terhadap diri saya, mereka tidak tahu apa yang berlaku pada rumah tangga saya dan Seri Bayu. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Mereka tak tahu betapa besarnya pengorbanan saya pada Seri Bayu selama ini. Mungkin mereka fikir saya isteri kejam, sanggup meninggalkan suami yang sedang sakit dan menderita, tetapi mereka tak tahu kesusahan saya selama ini atas perbuatan silam Seri Bayu.
"Saya sudah tidak sanggup lagi. Dulu kenapa saya sanggup menghabiskan usia remaja saya untuk bersama lelaki bernama Seri Bayu, saya tatang dia bagai minyak yang penuh ketika dia sakit. Saya sanggup mengetepikan keluarga dan kerjaya demi menjaga suami yang sakit. Saya juga terpaksa mengetepikan rasa sakit selepas keguguran dulu, saya sanggup mengangkat Seri Bayu setiap hari, sampai saya jatuh sakit, tetapi adakah mereka di luar sana tahu? Jika tiada perkara yang memberi masalah besar, saya takkan sanggup meninggalkan suami yang berkeadaan begitu," katanya.
Erema berkata, dia tidak pernah menyimpan dendam dengan segala tuduhan dan kata-kata kesat yang dilemparkan oleh Seri Bayu padanya selama ini, malah dia masih menjenguk suaminya itu jika ada masa terluang.
"Kali terakhir saya bertemu Seri Bayu bulan lalu. Secara kebetulan, ibu dan adik saya datang dari Kuching, Sarawak dan saya membawa mereka bertemu Seri Bayu di rumah keluarga angkatnya di Taman Seri Muda, Shah Alam, Selangor. Kalau ikutkan apa yang dilakukan pada saya, dengan segala tuduhan dan fitnah dilemparkan, saya tidak mampu memandang wajahnya lagi tetapi atas dasar kasihan dan belas, saya jenguk dia dan sering bertanya khabar. Biarpun kata-kata cemuhan yang diterima, saya buang jauh-jauh perasaan marah kerana saya fikirkan Seri Bayu sakit.
"Saya lihat keadaan Seri Bayu semakin teruk, dulu saya masih faham pertuturannya, kini saya perlu mendengar dua, tiga kali barulah saya faham. Mungkin bagi mereka yang tidak biasa, mereka tidak akan faham langsung. Seri Bayu juga semakin kurus dan saya dengar dia sudah berpindah daripada rumah keluarga angkatnya itu, bagaimanapun saya tak tahu di mana dia tinggal sekarang," katanya.
Erema akui dia tidak mampu berdepan dengan dugaan itu sendirian, malah kini dia begitu sedih dan tertekan. Dulu susah senangnya bersama Seri Bayu, tetapi kini dia tiada lagi dahan tempat bergantung.
"Saya terima ini sebagai takdir saya, biarpun pahit dan perit untuk ditelan, saya terpaksa reda. Saya ingat selepas mengambil keputusan berpisah dengan Seri Bayu, hidup saya tenang sebaliknya saya terpaksa menahan cemuhan dan kutukan mereka yang tidak mengerti kesusahan yang dilalui.
"Saya akui sejak sebulan dua ini saya sering menangis, malah saya belum cukup kuat berdepan dengan khalayak ramai. Bukan saya tidak mahu menerima pelawaan rakan wartawan untuk sesi fotografi tetapi saya belum cukup kuat bersemuka dengan mereka. Berilah saya masa, biar saya kumpul kekuatan dulu sebelum muncul di depan mereka," kata Erema dengan tangis sendu di hujung talian.
Sabarlah Erema, mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Raja cuma berharap masyarakat memberi ruang untuk Erema meneruskan kehidupan. Janganlah melemparkan kata-kata yang boleh mematahkan semangatnya, cuba fahami diri Erema yang tersepit dengan keadaan.
RAJA: Misha Omar khabarnya bercinta dengan seorang pilot, betul ke?
No comments:
Post a Comment