Sunday, August 9, 2009

Penangan GI Joe!

Penangan GI Joe!

Oleh Suzan Ahmad

Antara pelakon utama dalam GI Joe-The Rise of The Cobra.

Info

FILEM: G.I Joe - The Rise of The Cobra

PENGARAH: Stephen Sommers

PELAKON: Channing Tatum, Sienna Miller, Marlon Wayans, Dennis Quaid, Ray Park, Adewale Akinnuoye-Agbaje, Said Taghmoui dan Rachel Nichols.


GENRE: Aksi/ Sains fiksyen

MULA TAYANG: 7 Ogos 2009

GOVERNMENT Issue, itu rupanya maksud kependekan GI dalam filem aksi lasak GI Joe yang sudah pun mula menjengah panggung mulai Khamis lalu. Puas difikirkan selama ini dan rasanya ramai yang tidak tahu, apapun sekurang-kurangnya dapat juga berkongsi sedikit latar belakang mengenai asal usul koleksi permainan figura aksi terkenal keluaran Hasbro ini.

Bukan hendak memandai (maklum yang minat permainan begini majoriti budak lelaki) tapi melalui pembacaan, musuh ketat pasukan GI Joe ini dipanggil Cobra Command. Dan hakikat itu membawa penulis dan penonton kepada satu kesimpulan bahawa filem ini pasti ada kesinambungannya – The Rise of The Cobra.

Untuk menandingi kemampuan dan keupayaan filem musim panas berkelas mega, Transformers: Rise of The Fallen mungkin masih jauh terutama dari segi impak promosi serta penjenamaan, begitupun sekurang-kurangnya dari segi visual dan koreografi aksi lasaknya, kita masih boleh nampak dan faham apa yang menghentam apa dan siapa yang dihentam dan menghentam.

Hendak buat penonton ternganga dengan kesan khas janaan komputer grafik (CGI) yang maha canggih memang boleh, tapi kalau tidak diperincikan visualnya, tidak guna juga. Di situ letak kekuatan filem ini yang berlatar naratif cukup ringkas dan mudah difahami biarpun penulis akui penonton yang pernah membesar dengan karakter figura aksi begini selain khalayak yang dahagakan filem aksi mantap penuh teknologi dan visual definisi tinggi yang akan tenggelam dan terus layan dengannya.

Apa yang pasti, khalayak yang lapar dan dahagakan filem aksi fiksyen sains begini pasti akan kenyang kerana seawal babak pertama lagi letusan, dentuman dan adegan pertarungan cukup padat. Sesekali seperti nafas tersekat-sekat dek impak bunyi yang cemerlang. Cuma perlu diingatkan, kanak-kanak bawah 13 tahun perlukan pengawasan ibu bapa jika teringin untuk menontonnya, faham sajalah walaupun adaptasi daripada karakter permainan elemen komersil dan sensasi pasti tidak dilupakan.

Stephen Sommers nyata bijak menyuntik elemen kedewasaan dalam naratif dan plot GI Joe memberikannya satu keseimbangan. The Rise of The Cobra antara lain mengisahkan dua anggota tentera darat elit Amerika Syarikat, Duke (Channing Tatum) dan Ripcord (Marlon Wayan) yang diserang hendap sewaktu diberi tanggungjawab untuk mengiringi penghantaran senjata nuklear berteknologi tinggi mengandungi ‘nanomites’ – robot mikroskopik yang mampu memusnahkan apa saja di muka bumi. Bekas teman wanita Duke, Ana (Sienna Miller) mencuri senjata berkenaan sekali gus cuba menghapuskan Duke dan Ripcord. Namun cubaan itu gagal apabila mereka diselamatkan Alpha Team, GI Joe sebuah kumpulan askar yang sangat elit dan sulit, dianggotai pahlawan ala ninja Snakes-Eyes (Ray Park); pakar persenjataan Heavy Duty (Adewale Akinnuoye-Agbaje), pakar teknologi Breaker (Said Taghmaoui) dan pakar senjata panah Scarlett (Rachel Nichols). Melihatkan ketangkasan Duke dan Ripcord, Team Alpha terus menawarkan mereka untuk menyertai GI Joe dengan mengunjungi The Pit, pusat latihan GI Joe diketuai General Hawk (Dennis Quaid).

Selainnya, penulis rasa penonton sendiri boleh mengagak bagaimana penyatuan antara Duke, Ripcord dan Alpha Team dalam usaha mengembalikan nanomites bakal memberikan impak. Bak kata orang putih ‘action speaks louder than words’.

Apapun macam rugi pula rasanya apabila aktres berkelas A seperti Sienna Miller dan Channing Tatum diletakkan dalam filem aksi yang karakternya tidak banyak bermain dengan emosi.

No comments: