Sunday, August 9, 2009

Isteri Radhi OAG : 'Saya tak buat hubungan sulit'

'Saya tak buat hubungan sulit'

Oleh Zubir Mohd Yunus
zubir@bharian.com.my

Shazlin Sharif

Shazlin akui pertengkaran dengan Radhi OAG di luar mahkamah mengaibkan

GARA-GARA kiriman SMS 'Baby, I miss you', berlakulah 'drama swasta' yang tercetus di luar Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, baru-baru ini membabitkan pelakon dan penyanyi kumpulan OAG, Radhi Razali, 32, dengan isterinya, Shazlin Sharif, 31, yang juga aktres dan bekas penyanyi kumpulan Girls In Music (GIM).

Radhi mendakwa isterinya menjalin hubungan sulit dengan bekas suami seorang aktres yang pernah berlakon dengannya dikenali sebagai Izat.

Perang mulut itu juga disaksikan wakil media massa yang memenuhi kawasan luar mahkamah apabila sebelum itu kedua-duanya akur dengan keputusan Hakim Syarie, Ghazali Ahmad yang menerima sumpah syarie yang dibuat Radhi bagi menafikan dakwaan dia menceraikan isterinya pada 15 September 2008, lalu mengesahkan Radhi dan Shazlin masih pasangan suami isteri yang sah.

Pun begitu, peguam Shazlin, Noorafizah Abdul Azis memaklumkan bahawa pihaknya akan memfailkan permohonan pengesahan perceraian kali kedua yang berlaku 25 Februari lalu menerusi telefon.

Shazlin ketika ditemui malam Jumaat lalu di Bangsar, Kuala Lumpur nekad menuntut perceraian daripada Radhi apabila mengakui hatinya ketika ini sudah tertutup rapat untuk suaminya itu, sekali gus tidak mampu meneruskan ikatan rumah tangga mereka. Namun, sepanjang perbualan itu, Shazlin selagi boleh mahu menutup pekung perkahwinan mereka dan memelihara aib suaminya itu. Tapi, Shazlin ada sesuatu untuk dikongsi bersama.

"Apabila mahkamah memutuskan kami masih suami isteri, jujurnya memang saya berat menerima keputusan itu, namun saya reda dan menghormati keputusan mahkamah. Tapi, saya akan tetap meneruskan permohonan pengesahan perceraian kali kedua yang berlaku 25 Februari lalu menerusi telefon apabila Radhi ada melafazkan kata-kata ‘aku ceraikan kau dengan talak tiga terus.’

Selepas mendengar keputusan mahkamah, berlaku sedikit kekecohan di perkarangan mahkamah apabila Radhi mendapat tahu, tak tahu siapa sumbernya, mendakwa saya ada hubungan sulit dengan bekas suami seorang aktres dikenali sebagai Izat. Aktres itu pernah berlakon dengan Radhi dalam filem Antoo Fighter, Amukan Drakulat.

Saya tak nafikan, memang saya mengenali Izat. Kami memang berkawan. Tapi, perhubungan kami tak lebih daripada seorang kawan, jauh sekali bercinta! Saya tak nafikan kami pernah keluar makan, tak kiralah beramai-ramai mahupun berdua. Tapi, kalau keluar berdua sekalipun, perhubungan kami tetap sebagai kawan, bukan pasangan kekasih.

Justeru, apabila Radhi mengetahui perhubungan kami, dia marah. Saya pula tak dapat menerima kemarahannya kerana saya tahu, perkara yang disangkanya itu tak benar. Tuduhan yang dilemparkan Radhi, tak pernah berlaku. Saya kecewa apabila Radhi menghebahkan perkara itu, tapi saya tak mampu berbuat apa-apa, kita tak boleh tutup mulut orang.

Mungkin tuduhan yang dilemparkan Radhi, faktanya sudah ditokok tambah, kita tak tahu, justeru ia pasti mendatangkan kemarahannya. Sekiranya ada pihak ketiga yang bercerita kepada Radhi, hubungan saya dan Izat mesra, itu adalah haknya, saya tak mampu tutup mulut orang. Kebenaran ceritanya bukan begitu. Justeru, itu adalah punca pertengkaran kami di luar mahkamah tempoh hari.

Radhi juga mendakwa dia ada bukti SMS ‘Baby, I miss you’. Menurutnya, dia pernah tengok SMS berkenaan. Nak kata I miss you kepada boy friend, saya tak ada boy friend. Seingat saya, memang saya pernah hantar SMS berkenaan kepada seorang kawan, tapi tak ada perkataan baby. Jarang kita panggil kawan lelaki baby (ketawa). Hanya I miss you kepada kawan, maksudnya rindu sebab lama tak jumpa, lama tak lepak sama.

Saya pun dah tak ingat SMS itu saya hantar kepada kawan yang mana satu, saya ada ramai kawan lelaki, kawan perempuan pun ramai. Kawan-kawan ambil berat pasal saya. Jadi, apabila dah lama tak bertemu mereka, saya hantarlah SMS macam tu, bukannya I miss you nak peluk cium! Justeru, apabila maksud I miss you itu disalahertikan, lagilah menambah kemarahan Radhi kepada saya.

Lagipun antara saya dan Radhi dah lama tak berjumpa, lama tak bermanja, jadi apabila mendapat tahu saya ada mengirimkan SMS berkenaan kepada orang lain dengan maksud berbeza, mungkin dia rasa tercabar. Bagi saya, memang tak ada hubungan istimewa dengan sesiapa termasuklah Izat sebab semuanya kawan semata-mata.

Tuduhan Radhi, saya menggunakan alasan hubungan sulit dan sudah ada pengganti, justeru ingin meminta cerai daripadanya, itu sama sekali tidak benar. Macam mana nak ada pengganti, saya memang tak ada teman lelaki istimewa. Lagipun saya tahu, status diri saya macam mana, jadi saya tak boleh menjalin hubungan serius dengan sesiapapun. Jadi, sesiapa yang nak berkawan dengan saya, apa salahnya kalau kawan semata-mata?”

'Saya tak mahu bersikap hipokrit'

"SEBENARNYA hati saya buat masa ini sudah tertutup rapat untuk Radhi. Terus-terang, saya dah tak boleh meneruskan kehidupan berumah tangga dengannya. Saya tahu, Radhi masih menyayangi saya, sebab itu dia keberatan nak melepaskan saya. Saya juga pernah menyintai dan menyayangi Radhi suatu ketika dulu, tapi sekarang ini saya tak mampu meneruskannya.

Selepas empat tahun saya memberinya peluang berkali-kali untuk menambah keharmonian rumah tangga kami, tapi akhirnya dia gagal berubah. Saya kecewa dengan situasi berkenaan. Jalan sebaiknya saya ambil keputusan untuk berpisah saja. Namun, sebab utama saya meminta cerai daripadanya, biarlah kami berdua saja yang tahu. Punca terperinci kenapa, saya tak boleh menghebahkannya. Ini rahsia rumah tangga kami.

Memang buat masa ini hati saya tertutup untuk Radhi, tapi untuk masa akan datang, saya tak mampu meramal, manalah tahu tiba-tiba hati saya berubah dan menerimanya kembali. Lagipun saya tak mahu bersikap hipokrit. sekiranya Radhi ingin meneruskan perkahwinan ini, apabila saya turuti kemahuannya, tapi sekadar lakonan dan menyayanginya secara berpura-pura, selain terus makan hati dengan sikapnya, nak buat apa?

Andai perasaan cinta dan sayang hanya di pihak Radhi, saya pula sebaliknya, lebih baik saya minta cerai daripada terus hidup dalam kepura-puraan. Bagi saya, jodoh kami sudah sampai ke hujung jalan. Justeru, permohonan pengesahan perceraian kali kedua ini, saya mengharapkan ia dapat dilaksanakan secara aman, tak perlulah lagi nak kecoh-kecoh dan bergaduh di depan orang ramai.

Saya malu apabila krisis rumah tangga kami menjadi tatapan di dada akhbar dan stesen TV. Saya ada keluarga, mana nak letak air muka mereka? Artis dan selebriti lain pun bercerai juga, tak kecoh pun. Sekadar mengambil contoh, Nora Danish dan Rizal misalnya, mereka berpisah secara aman, tak pernah menuding jari kepada mana-mana pihak dan antara mereka tak pernah memburuk-burukkan antara satu sama lain.

Jadi, permohonan pengesahan perceraian kali kedua ini, saya juga mengharapkan keadaannya jadi begitu. Harap-harap Radhi dapat menerima kenyataan, antara kita jodoh tak panjang, seterusnya dia dapat melepaskan saya dengan hati dan fikiran terbuka. Kita dah tak boleh jadi suami isteri, tapi saya tetap menerima kenyataan, Radhi adalah ayah Muhammad Rifdhi, hubungan itu tak akan putus sampai bila-bila.

Radhi akan tetap menjadi sebahagian daripada hidup saya sebagai ayah Rifdhi dan insya-Allah kami akan terus menjadi kawan yang boleh berkongsi masalah. Manalah tahu pada masa akan datang Radhi ada masalah, saya ada masalah, kita boleh bercerita. Saya tak mahu ada rasa sakit hati antara satu sama lain apabila sudah berpisah nanti. Biarlah kita membawa diri dengan haluan masing-masing. Apa yang berlaku semuanya dugaan Tuhan.

Saya rasa Radhi tahu tanggungjawabnya sebagai seorang ayah, tak perlulah saya mendedahkan di sini keburukan diri masing-masing. Harap-harap dia dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna. Saya yakin, Radhi memahami apa yang cuba saya sampaikan di sini. Tak perlulah saya membuka pekung rumah tangga kami, nanti yang malu bukan orang lain, kita juga.

Jujurnya saya lebih senang begini (hidup sendiri). Kehidupan saya lebih gembira. Sekalipun saya tak aktif lagi menyanyi dan berlakon, sekurang-kurangnya saya ada pekerjaan tetap. Sekiranya Radhi melepaskan saya, saya kembali kepada status solo, mungkin saya akan bertemu jodoh dengan orang lain, Alhamdulillah."

Info Shazlin

NAMA PENUH: Shazlin Sharif

TARIKH LAHIR: 18 Jun 1978

ASAL: Petaling Jaya, Selangor

KELUARGA: Anak sulung daripada empat beradik

KOMERSIAL: Nissan, Boh, Ginvera dan DiGi

ALBUM: GIM, sertai kumpulan Girls In Music (GIM) pada 1998

DRAMA: Kereta Baru dan Kisah Benar

FILEM: Cinta

TARIKH NIKAH: 1 Januari 2005

NAMA SUAMI & ANAK: Mohd Radhi Razali & Muhammad Rifdhi Muslim, 4 tahun

PROFESION KINI: Petugas firma guaman di Petaling Jaya, Selangor

No comments: