Antara babak mengerikan dalam Tower 13. |
Slot Seram dapat sambutan menggalakkan, catat rating 2.8 juta penonton setiap minggu
TIDAK dinafikan, genre seram terus menjadi pilihan penonton tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Malah, setiap kali drama atau program seram disiarkan di saluran televisyen utama tempatan terutama TV3, ia sudah pasti mencatatkan rating penonton yang tinggi.
Justeru, tidak hairanlah mengapa slot Seram yang disiarkan setiap minggu mendapat sambutan luar biasa hingga muncul sebagai antara slot paling popular di TV3.
Bermula dengan Susuk, kemudian Puaka Niyang Rapik dan Keliwon, berlaku peningkatan ketara dari segi jumlah penonton yang menyaksikan slot ini yang disiarkan setiap Khamis, jam 9.30 malam ini. Secara purata, ia menerima rating 2.8 juta penonton setiap minggu.
Babak-babak cemas dalam Tower 13. |
Meneruskan `misteri’ slot kegemaran ramai ini ialah Tower 13 yang mula disiarkan 6 Ogos lalu. Diterbitkan Filmscape Production sebanyak 13 episod, ia mendapat sentuhan pengarah cukup berpengalaman, Kabir Bhatia yang cukup terkenal dengan pelbagai kerja seninya yang bermutu sama ada filem, drama mahupun telefilem.
Tower 13 adalah `buah tangan’ kedua beliau dalam penerbitan drama seram di TV3. Beliau sebelum ini pernah menghasilkan KekasihKu Seru, juga untuk slot yang sama. Kali ini, Tower 13 mengetengahkan pelakon handalan tanah air termasuk Bront Palare, Azhan Rami, Dira Abu Zahar, Fara Aliya dan Rahim Omar.
Ia mengisahkan Adam Bakhtiar yang disoal siasat polis selepas berlaku pembunuhan di Menara Emerald. Dia bertugas sebagai pengurus bangunan itu dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan diketuai Detektif Malik Ridhuwan.
Adam memulakan cerita bahawa pembunuhan yang berlaku disebabkan oleh entiti misteri seperti roh atau makhluk halus. Detektif Malik tidak percaya sama sekali pada cerita Adam, namun untuk meyakinkan beliau, Adam mula membuka cerita kematian misteri kemalangan yang berlaku di sekitar bangunan itu.
Ia bermula dengan kisah pasangan muda, isteri yang didera suaminya, Natalya dan Imri. Sejak berpindah, Natalya menjadi fokus utama dalam kejadian berhantu, bermula dari bilik air terutama di tab mandi.
Pada masa yang sama, Adam didatangi Ustaz Khalil yang sedang mengumpul dana surau dari penghuni Menara Emerald. Adam mengusir ustaz terbabit dari kawasan kondominium itu kerana ia kawasan persendirian.
Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar, berkata pihaknya sentiasa mencari kelainan dalam setiap penerbitan sesebuah drama, terutama yang bergenre seram bagi menarik perhatian penonton.
“Justeru, kami tidak ragu-ragu untuk bekerjasama lagi dengan Kabir. Kelainan kali ini apabila beliau menggabungkan unsur seram dan mistik dengan penyiasatan.
“Melalui Adam, watak utama dalam siri ini, penonton akan dibawa mengembara ke pelbagai kejadian misteri dan mistik berlaku di bangunan itu yang akhirnya membawakan kepada kematian. Setiap minggu kisah yang dipaparkan berbeza melalui penceritaan Adam,” katanya.
Beliau berkata, penerbitan dan penyiaran drama sebegini bukannya berniat untuk menakut-nakutkan penonton, sebaliknya ia lebih bertujuan memperingatkan orang ramai dari tertipu atau diperdaya oleh amalan tahyul.
Kepada peminat siri seram, jangan ketinggalan untuk menonton drama terbaru ini dan alami sendiri misteri alam mistik pada setiap Khamis, jam 9.30 malam hanya di TV3.
No comments:
Post a Comment