Sunday, August 9, 2009

Inilah saya

Inilah saya

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN


DILAHIRKAN sebagai anak kepada rockers tersohor, Amy Search, sama sekali tidak membuatkan gadis ini megah atau bongkak.

Biarpun kini bergelar pelakon, pengacara dan penyanyi, Nabila Huda tidak tunduk dengan aura glamor. Dia tidak kisah menapak ke sana-sini, malah selamba menggunakan kenderaan awam seperti teksi dan bas.

Baginya, tiada apa perlu dimalukan kerana di luar lokasi penggambaran serta studio, dia wanita biasa. Bukan itu saja, dia tidak suka berpura-pura, termasuk dalam menonjolkan keperibadian sebenarnya.

Umum sedia maklum Nabila periang dan ‘gila-gila’ orangnya. Keletah dan aksinya yang lincah dapat disaksikan menerusi program game show 1..2.. Jus! yang bersiaran di saluran ntv7.

Bagi Nabila, 1..2.. Jus sangat menghiburkan, malah dia selesa mengendalikan program itu bersama Cat Farish kerana diberi kebebasan untuk menjadi diri sendiri.

“Apa yang penonton lihat adalah diri saya. Saya memang jenis gila-gila, periang dan mudah ketawa. Sebagai hos, saya mesti memastikan peserta dan penonton terhibur sepanjang rakaman berlangsung. Aura gila-gila itu juga mestilah dirasai penonton di rumah.

“Kalau penonton perasan, saya banyak ketawa dalam 1...2.. Jus!. Tiada sekatan kerana ini gameshow dan aksi peserta adalah spontan. Kalau saya tak ceria, nanti program nampak kaku dan tak menarik.

“Saya mewakili elemen protagonis, memberi dorongan dan sorakan kepada peserta, manakala Cat Farish pula antagonis, di mana dia menduga peserta di samping merangsang mereka meragui kebolehan diri masing-masing.

“Alhamdulillah 1...2.. Jus! masuk musim ketiga dan akan menemui penonton saluran Ceria Anda setiap Jumaat, jam 8.30 malam bermula 14 Ogos ini,” katanya.

Menurut Nabila, banyak perubahan dilakukan dalam musim ini bagi memastikan ia lebih menarik dan menghiburkan, termasuk corak permainan dan pembahagian peserta. Bagi menyuntik kelainan dan memeriahkan lagi suasana, peserta membabitkan artis berpasangan.

Antara selebriti yang terbabit kali ini adalah Nabil Mentor, Azhar Sulaiman, Rina Omar, Rebecca, Sazzy Falak, Raja Farah, Nubhan, Marsha, Awal Ashaari, Diddy, Kefli, Marion Counter, Jaclyn Victor, Faizal Tahir, Alif, Farhan, Juliana Evans dan Tomok.

Menyentuh lebih lanjut perihal sikap gila-gila, pelakon yang berjaya mencuri perhatian penonton menerusi lakonan berkesannya dalam Drama Air Mata Ain itu berkata, setakat ini masyarakat boleh menerima caranya.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada yang merungut. Mungkin orang tahu saya jujur dan bukan jenis suka berpura-pura baik. Lagipun saya bukan gedik, tapi gila-gila.

“Dari awal lagi saya jujur dengan diri sendiri. Saya ikut pesanan orang lama — dalam hidup kita kena jujur. Bila kita jujur dan ikhlas, semua akan berjalan lancar, malah kita tidak akan ada musuh.

“Saya terharu ramai peminat di kalangan warga emas suka dengan saya. Apabila terserempak, ramai mencium saya seperti anak sendiri.

“Saya percaya ini impak daripada drama yang pernah saya bintangi. Mereka sedih melihat watak yang saya bawa, lebih-lebih lagi Ain dalam drama Air Mata Ain,” katanya sambil tersenyum manis.

Beralih kepada kehidupan peribadi, akui aktres berkulit hitam manis ini, dia bahagia. Apa yang dikecapinya hari ini sangat indah, lebih-lebih lagi apabila dipertemukan dengan suami yang sangat memahami.

“Seperti saya, suami juga gila-gila. Kami berkahwin pada usia muda dan kami tidak boleh mengikis sikap itu kerana ia sebati dengan diri. Setakat ini tiada masalah kerana kami tidak pernah abaikan tanggungjawab masing-masing.

“Di luar, saya pelakon kerana itu kerjaya saya, tetapi di rumah, saya wanita biasa. Bila bersama suami, tiada lagi istilah selebriti, popular atau glamor.

“Saya tidak kisah melakukan aktiviti seperti orang lain, malah suami tidak pernah merungut soal kerjaya saya. Kalau penggambaran habis awal, saya masak di rumah, tetapi jika jadual ketat, kami makan di luar.

“Suami boleh menerima saya seadanya. Sebelum berkahwin, kami berjanji untuk menghormati pekerjaan masing-masing.

“Dia tidak pernah menemani saya di lokasi penggambaran sebelum atau selepas berkahwin. Dia sekadar menghantar saya dan terus bergegas ke tempat kerjanya.

“Bukan saya tidak izinkan, cuma saya tidak mahu dia rasa tidak selesa. Di lokasi, saya tidak boleh selalu di sisinya,” katanya yang tidak mahu merancang kehadiran zuriat.

No comments: