Sunday, August 9, 2009

Aliff Aziz, Alif Satar : Bimbang peminat fanatik

Bimbang peminat fanatik

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed



Aliff Aziz, Alif Satar hargai sokongan mereka tetapi mohon tidak terlalu bersikap berlebihan

MEREKA masih muda, perjalanan kerjaya masih hijau, namun kadang kala penyanyi remaja, Aliff Aziz, 18, dan Alif Satar, 19, kebingungan dengan gelagat peminat fanatik mereka. Dua remaja yang dilahirkan nama sama itu mempunyai pengalaman pahit, manis dengan peminat yang mengilai mereka.

Ada kala mereka panik dengan sikap peminat fanatik, ada yang sanggup bunuh diri apabila mengetahui mereka rapat dengan seseorang atau kerap bergambar dengan artis dan peminat perempuan. Ada ketika mereka diugut, ada masa mereka dikeji, dikecam dengan kata-kata yang melukakan hati.

Secara jujur, Aliff Aziz yang popular dengan lagu Sayang Sayang mengakui, “Kadang kala saya seram dengan sikap segelintir peminat fanatik, saya jadi takut dibuatnya. Saya menghargai peminat yang menyokong kerjaya nyanyian saya, tetapi ada sesetengahnya bersikap keterlaluan sehingga buat saya tersepit.

“Saya pernah membaca satu blog seorang peminat, dia memaparkan semua gambar saya yang dirakamkan dengan peminat perempuan. Saya pelik di mana peminat itu mendapat foto saya bersama peminat. Saya sendiri tidak memiliki koleksi gambar itu. Peminat fanatik itu begitu marah hingga dia mengugut, saya akan menyesal. Saya tak faham apa yang dimaksudkan, keesokannya saya tidak dapat membuka lagi blog berkenaan.

“Saya jadi risau, apa terjadi kepada peminat itu, adakah dia bunuh diri atau melakukan sesuatu yang di luar dugaan. Hingga hari ini, blog itu tidak dapat dibuka dan saya tidak tahu perkembangan peminat itu. Kadang kala sikap peminat membuat saya tidak tidur malam, saya tidak mahu hanya kerana diri saya, mereka melakukan sesuatu yang menyedihkan.

“Namun paling saya tidak dapat lupa apabila seorang peminat fanatik menyebarkan cerita dalam laman blog, saya adalah tunangannya. Cerita yang direka-reka buat saya tergelak kecil, saya anggap peminat ini suka berfantasi. Saya tidak mampu berbuat apa-apa, saya juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan.

“Mereka terlalu taksub dengan laman web yang saya sendiri tak tahu daripada sumber mana yang mereka ketahui. Saya masih remaja, baru berusia 18 tahun, saya bukannya kaki enjoy atau clubbing, tetapi ada cerita mengatakan saya kaki mabuk. Bagi yang mengenali saya, mereka tahu saya sering bersama ibu. Saya tidak boleh terlepas daripada ibu dan keluarga kerana saya masih bawah umur, jadi saya pelik bila cerita yang tak enak didengar boleh timbul.

“Saya kecewa apabila ada peminat mula membenci saya apabila mendengar fitnah yang dilemparkan hingga satu tahap mereka sanggup menghamburkan kata-kata yang melukakan hati saya,” katanya anak kelahiran Kota Singa itu.

Bagaimanapun, Aliff berkata, hidup perlu diteruskan. Jika terlalu banyak membaca cerita negatif yang dilemparkan terhadap dirinya pasti akan membuatkan emosinya terganggu dan dia berputus asa. Oleh itu, dia tidak lagi berminat membaca apa-apa cerita yang dipaparkan laman blog seperti dulu.

Dengan nada tersenyum, Aliff berkata, tumpuannya kini pada rakaman album keduanya. Dia gembira apabila dilamar bekerjasama dengan syarikat rakaman bertaraf antarabangsa, Sony BMG Music Entertainment Malaysia selepas kontraknya bersama MediaCorp Corporation tamat tidak lama dulu.

“Sudah tiba masanya saya bergerak sendiri menentukan hala tuju dalam bidang nyanyian. Dulu saya terikat dengan MediaCorp Corporation, jadi pergerakan saya sedikit terbatas. Selepas dua tahun, saya tidak menyambung kontrak dengan syarikat gergasi itu sebaliknya memilih untuk bernaung di Sony BMG Music Entertainment Malaysia.

“Saya bertuah mampu melebarkan sayap kerjaya saya ke Malaysia. Saya sedar bukan mudah menempa nama di sini, malah saya perlu berusaha menempatkan diri seperti M Nasir, Imran Ajmain, Aaron Aziz, Maizurah dan Ady Putra yang punya nama besar di Malaysia,” katanya.

Aliff Satar pula berkata dia serik mempunyai laman sembang dengan peminat berikutan satu peristiwa yang sehingga kini membuatkan tidak senang hati.

“Dulu saya rajin melayan peminat menerusi laman web komuniti, friendster, tetapi selepas berlaku kejadian salah seorang peminat fanatik saya yang didakwa membunuh diri, saya jadi takut. Sebelum kejadian, saya ada menerima panggilan telefon dan mendengar seorang gadis menangis. Saya tidak hiraukan, tetapi selepas seminggu saya mendapat pesanan seorang peminat di friendster, peminat itu membunuh diri selepas mengetahui saya rapat dengan seorang gadis.

“Saya terkejut dan masih ingat kata-kata si penghantar berita, ‘my friend just kill sebab dapat tahu u ada girlfriend, al-Fatihah’. Rasa mereka tak main-main, takkan perkara mati pun nak jadi gurauan. Sejak itu, saya tak pernah ada laman sembang dengan peminat, baik friendster atau facebook. Saya jadi takut,” katanya.

Alif berkata, baru kini dapat merasakan dirinya bergelar seorang artis rakaman selepas bernaung di bawah syarikat rakaman Sony BMG Music Entertainment Malaysia.

Sambil merenung jauh, Alif pula berkata, “Selepas keluar One In A Million, saya terkapai-kapai sendiri walaupun bernaung di sebuah syarikat rakaman. Kerjaya nyanyian saya seolah-olah ada dalam tiada sehinggalah syarikat rakaman berkenaan bungkus.

“Saya terpaksa mengalihkan tumpuan ke bidang pengacaraan. Mujurlah ramai penerbit yang mempercayai bakat saya hingga saya dipilih mengacarakan rancangan Remaja, Super Soccer Star Malaysia, Adik Nak Raya, Siapa Pintar dan Idola Kecil yang masuk musim kedua.

“Ada juga yang terlupa saya adalah seorang penyanyi, tetapi itulah cabaran yang perlu saya terima untuk menjadi anak seni. Saya gembira untuk projek pertama, saya akan berduet dengan Aliff Aziz menerusi lagu raya, Balik Kampung sebagai tribute kepada Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

“Jika diberi peluang, saya juga mahu berduet dengan Aliff untuk sebuah lagu yang akan dimuatkan dalam album pertama saya. Sehingga kini, saya sudah menyiapkan rakaman lima lagu ciptaan Audi Mok, Aidit Alfian, Zimi Sofaz dan Panji Sakti. Saya masih menunggu rakaman untuk dua lagu. Album bergenre pop ini akan memuatkan tujuh lagu dan dijangka berada di pasaran selepas Aidilfitri nanti,” katanya yang sebelum ini pernah muncul dengan single lagu Adikku Pandai Menari, Jangan Nakal dan Akan Tiba.

No comments: