Jarum Emas: Artis veteran ada ‘penjaga’
Oleh ADAM SALLEH
TIKA kolum ini dicatat, sudah tiga hari saya ada di Kota Kinabalu (KK), Sabah. Jika saya ke sini sejak Rabu, delegasi Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-22, khususnya petugas serta seniman dan seniwati veteran, pula berkampung di negeri bawah bayu ini sejak Isnin lalu.
Malam tadi, peminat sudah tahu siapa meraih anugerah di FFM Ke-22 yang disiarkan secara langsung oleh TV2 RTM.
Julung kali selaku tuan rumah, Sabah yang mulai melobi tiga tahun lalu jelas membawa kelainan pada FFM kali ini dengan menganjurkan satu majlis khas Malam Bintang Lagenda (MBL) dua hari menjelang malam kemuncak Anugerah FFM Ke-22.
Jika malam anugerah diadakan di Dewan Canselor, UMS (Universiti Malaysia Sabah), MBL pula yang diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah dan isteri serta Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman bersama isteri di Grand Ballroom, Magellan Hotel, Sutera Harbour Resort, KK.
Bukan mudah untuk menganjur dua majlis berprestij dalam satu masa. Menyorot sejarah FFM yang mulai dianjurkan Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA) pada 1980 dan 1981 sebelum diambil alih oleh Finas, penghargaan diberi pada artis veteran sekadar mengisi slot kemuncak FFM, bukan pada majlis tersendiri.
Selain menuntut perbelanjaan tinggi, tenaga kerja pula bukan ‘dua tiga orang’, namun Sabah membuktikan jika ada keikhlasan dalam menghargai keringat insan seni yang bertanggungjawab memartabatkan filem Melayu, segala urusan akan dipermudahkan.
Ketika sesi makan tengah hari bersama Datuk Bandar KK, Datuk Iliyas Ibrahim, pihaknya menyediakan lebih 1,000 kakitangan daripada pelbagai jabatan untuk memastikan FFM22 di Sabah berlangsung dengan harmoni tanpa mencetuskan kontroversi.
Rata-rata artis veteran yang ditemui rasa begitu dihargai. Enam kategori dipertaruhkan, di mana setiap kategori disediakan wang tunai RM5,000, sementara 30 seniman dan seniwati yang tersenarai sebagai calon turut menerima wang tunai RM2,000.
Istimewanya, setiap seniman dan seniwati veteran itu turut disediakan penjaga yang disebut LO (Liaison Officer) untuk mengiringi ke mana saja mereka pergi selama di KK.
Tertarik saya melihat sebaik berakhir MBL, seniwati Mariani Ismail dan Hashimah Yon sibuk memperkenalkan saya pada LO mereka yang menunggu di luar ballroom. Ia persis bagaimana VIP keluar dewan, ‘bodyguard’ mereka melilau cari majikan masing-masing.
Penyediaan LO boleh dipraktikkan untuk penganjur FFM selepas ini andai membabitkan artis veteran. Jika ada berkata tidak perlu, satu hal kita harus tahu, malang sentiasa tidak berbau.
Sejarah FFM pernah mencatatkan bagaimana seniman veteran Shariff Medan yang julung kali menghadiri FFM di mana Selangor selaku tuan rumah pada hujung 1990-an, menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat malam kemuncak.
FFM bagi saya boleh dijadikan medan kerajaan negeri, sama ada Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, bersaing sesama sendiri untuk menjadi yang terbaik.
Setakat ini pihak Finas mahupun Gafim dan PFM belum memaklumkan siapa bakal tuan rumah FFM Ke-23, namun mengikut telahan saya tidak mustahil Pahang akan dipilih.
Tidak kira siapa tuan rumahnya, FFM akan menjadi lebih terisi jika pelbagai program dapat disediakan selama ia berlangsung. Penganugerahan MBL tidak sewajarnya berhenti setakat di FFM22, sebaliknya perlu ada kesinambungan untuk artis generasi baru memahami betapa dunia perfileman tanah air terbina melalui keringat mereka ini.
ADAM: Al-Fatihah buat WS Rendra.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment