Sofea Jane jadi artis rakaman
SELEPAS berjaya mencipta nama di pentas peragaan dan layar perak, tiba giliran Sofea Jane mempertaruhkan bakatnya sebagai penyanyi apabila dilamar syarikat rakaman, Dangaroos Sdn Bhd, milik Nasir Daud yang juga pemain gitar bass kumpulan rock terkenal tempatan, Search.
Harian Metro bertarikh 9 Februari 1995 melaporkan model dan pelakon jelita itu sudah pun mengikat kontrak rakaman dengan syarikat terbabit, namun dirahsiakan tempoh kontrak berkenaan atas sebab-sebab yang tidak dinyatakan.
Nasir dipetik sebagai berkata, rundingan mengenai kontrak rakaman itu sudah lama dibuat dengan Sofea, malah sebelum beliau membintangi Perempuan, Isteri Dan ...., filem kontroversi yang membantu melonjakkan namanya dalam industri perfileman tanah air.
"Disebabkan beliau sibuk berlakon, rundingan itu cuma on and off. Saya gembira kerana beliau masih setia bersama Dangooroos dan kami berhasrat mengeluarkan album pertamanya pertengahan tahun ini," katanya.
Katanya, Dangaroos sudah pun berbincang dan bersepakat untuk melantik M Nasir sebagai penerbit
album pertama Sofea.
Dalam pada itu, Nasir menyangkal pemilihan Sofea sebagai artis rakaman kerana populariti dan wajahnya yang jelita.
"Sebelum kami menerimanya, Sofea terpaksa menjalani uji bakat dua kali dan dia menyampaikan lagu The Greatest Love Of All dan Kekasih Awal Dan Akhir.
"Kali pertama mendengar suaranya, saya terus tertarik. Dalam muzik, saya menekankan falsafah semua orang boleh menyanyi asalkan tahu tekniknya. Ini saya tekankan kepadanya. Beliau pula seorang prihatin
kerana di waktu yang sama sanggup masuk kelas vokal untuk memperbaiki kelemahannya.
“Sesudah yakin hingga mengambil masa hampir dua tahun, baru Sofea bersetuju merakamkan suara. Sikap itu menampakkan beliau seorang artis bervisi dan berdisiplin," katanya.
Berdasarkan latar Sofea yang boleh bermain piano dan menari ballet, beliau percaya kehadirannya sebagai penyanyi akan menyemarakkan lagi arena hiburan tempatan.
“Tidak mudah bertemu artis yang lengkap begini, tetapi kami bersyukur kerana Sofea memilikinya," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment