Sunday, August 9, 2009

NSR dakwa Ilyka kurang cerdik

NSR dakwa Ilyka kurang cerdik

KONTROVERSI berterusan yang ditimbulkan oleh penyanyi terkenal, Ilyka atau nama sebenarnya, Zuraila Mohd Yassin, dianggap syarikat rakamannya, New Southern Records (NSR) sebagai tindakan kurang cerdik, malah lebih dilihat sebagai usaha mencari publisiti murahan.

Eksekutif Promosi NSR, Kamarulzaman Zakaria, dalam kenyataannya kepada Berita Harian pada 28 Disember 1994, berkata pihaknya tidak pernah atau belum terlintas untuk menjatuhkan, apa lagi menceritakan perangai buruk artis mereka kepada media massa.

“Apa yang saya katakan bukan untuk menjatuhkannya tetapi apa yang perlu dilakukan beliau ialah berubah sikap. Peminat akan lebih mengenalinya kalau beliau mengubah cara ketika membuat sesuatu persembahan seperti memperbanyakkan hubungan atau berkomunikasi dengan peminat,” katanya.

Ia sebagai mengulas dakwaan penyanyi itu yang menyatakan rasa tidak puas hati dengan cara NSR menjalankan promosi album pertamanya dan mendakwa terpaksa membeli sendiri cakera padat untuk

diedarkan kepada juruhebah Time Highway Radio (THR).

Penyanyi itu juga mendakwa beliau terpaksa menjadi pemandu kepada pegawai perhubungan awam (PRO) untuk pergi ke sesuatu tempat bagi tujuan promosi atau sesi fotografi bersama media.

Kamarulzaman berkata, dakwaan kononnya penyanyi terbabit terpaksa menjadi pemandu kepada PRO adalah tidak tepat dan menjelaskan mengikut jadual yang ditetapkan, NSR menyediakan sudah sebuah van untuk kegunaan promosi.

Katanya, NSR sering menyarankan Ilyka pergi ke sesuatu lokasi menggunakan kenderaan syarikat tetapi ditolak atas alasan beliau lebih senang memandu sendiri.

“Ilyka satu-satunya artis yang diberi kelebihan dari segi kewangan. Walaupun beliau menggunakan kenderaan sendiri, pihak kami akan membayar semula perbelanjaan petrol dan tol," katanya lagi.

Malah, beliau juga kesal apabila Ilyka membabitkan kontroversi ini dengan Azian Mazwan Safuan, dengan mendakwa NSR terlalu menjaganya.

“Tambang perjalanan setiap kali Azian ke Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu dibayar sendiri oleh penyanyi itu. Azian hanya meminta syarikat ini mendapat tiket penerbangan dengan menggunakan sebuah agensi pelancongan yang sering menguruskan penerbangan untuk kakitangan NSR.

“Bagaimanapun, ada pihak tertentu memperuntukkan satu tiket penerbangan tetapi penyanyi ini meminta dua tiket pula menyebabkan tawaran itu ditarik balik,” katanya.

Namun, beliau mengakui ada waktu tertentu PRO tidak dapat menemaninya ke sesuatu persembahan, rakaman program televisyen atau jadual promosi.

“Tapi dalam hal ini Ilyka juga harus bersikap profesional kerana untuk ke sesuatu lokasi, seseorang artis tidak semestinya perlu ditemani oleh PRO," katanya.

No comments: