Papita, Seniman bantu artis penagih dadah
Oleh Hardi Effendi Yaacob
BERITA mengenai masalah penyalahgunaan dadah di kalangan artis tempatan menjadi tajuk utama kebanyakan akhbar utama tempatan pada 4 Februari 1991 selepas ia didedahkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub ketika itu.
Beliau dipetik Berita Harian sebagai berkata, terdapat sekurang-kurang 17 artis, termasuk beberapa penyanyi terkenal terbabit dalam masalah penagihan itu selepas ujian air kencing yang dijalankan Cawangan Narkotik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati mereka positif dadah.
“Artis harus sedar mereka adalah golongan istimewa dalam masyarakat kerana mempunyai peminat dan perlu menjauhkan diri dari dadah. Mereka perlu sedar tanggungjawab terhadap diri sendiri dan masyarakat, terutama peminat masing-masing.
“Janganlah terlalu berkhayal dengan kegemilangan sehingga melakukan perkara yang salah, termasuk menagih dadah,” katanya ketika mengumumkan penubuhan badan sukarela, Persatuan Bekas Penagih Dadah (Pengasih) dalam usaha membantu kerajaan memerangi dadah.
Beliau turut memuji penyanyi terkenal, Jamal Abdillah di atas kesungguhannya memulihkan masalah penagihan dadahnya, malah pernah dipilih sebagai pelatih contoh ketika menjalani rawatan di Pusat Serenti Tampin sebelum iti.
“Alhamdulillah, beliau mendapat pengawasan yang baik daripada keluarganya untuk memastikan beliau terus dijauhi dengan dadah dan berjaya dalam kariernya sekarang. Saya berharap artis lain yang menghadapi masalah sama dapat mengikuti jejak langkahnya,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Pencipta Lagu Tanah Air (Papita), A Rahman Hassan (kini Datuk), berkata pihaknya bersedia merahsiakan nama artis yang secara sukarela menyerah diri untuk rawatan dan pemulihan daripada penagihan dadah.
“Nama mereka tidak akan didedahkan kepada umum, sekali gus memudahkan mereka menjalani rawatan pemulihan. Namun, tiada seorang pun artis yang terbabit dalam masalah penagihan itu menghubungi kami untuk mendapatkan bantuan berkenaan.
“Kami sedia membantu jika ada artis secara sukarela mahukan pertolongan kerana terbabit dengan dadah. Saya akan memberi pengakuan kepada artis terbabit bahawa nama mereka akan dirahsiakan jika datang untuk mendapatkan rawatan pemulihan,” katanya.
Katanya, ada pakar perubatan tradisional yang menghubungi Papita untuk menawarkan khidmat mereka kepada artis terbabit tetapi tidak mendapat sambutan.
Timbalan Presiden Seniman, Baharuddin Omar, pula berkata, pihaknya juga bersedia membantu artis yang terbabit dengan dadah untuk menjalani rawatan pemulihan.
“Nama mereka akan dirahsiakan jika datang secara sukarela untuk mendapatkan bantuan rawatan dan pemulihan. Janganlah sampai nama disiarkan oleh akhbar kerana terbabit dengan dadah.
“Kita mintalah artis terbabit tampil ke depan secara sukarela untuk dipulihkan dan pihak kerajaan bersedia melindungi identiti artis itu bagi kepentingan `periuk nasi' mereka,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment