Sunday, August 9, 2009

Gadis Melayu : Lebih cabaran

Lebih cabaran

LEBIH lasak dan agresif namun masih mengekalkan nilai-nilai tradisi! Itulah kriteria tambahan yang dipilih dalam mencari 12 peserta bagi musim kedua program realiti Gadis Melayu terbitan TV9 ini. Selain itu, mereka turut diuji dari segi aksi lasak, kebijaksanaan, kreativiti serta mempunyai pengetahuan am.

Menerusi episod pertama yang disiarkan setiap Khamis jam 9.30 malam bermula 6 Ogos lalu menyaksikan saingan Aina Suzaily Mohd Zalanny dari Kuala Lumpur, Norfarizan Mohamad (Selangor), Shazfinaz Hashim (Selangor) dan Hafiza Bustanul Ariffin (Kuala Lumpur).

Turut mencari tempat Hazlin Hussain (Selangor), Sharifah Jasmine Soraya Syed A.Jalil Jamalullail (Selangor). Nadiah Adrianna Mohd Akbal (Selangor), Putri Noor Nawal Haji Ramlan (Selangor), Rahimah Ibrohim (Kuala Lumpur), Robeaha Ramza (Kelantan), Siti Sharinnie Rizal (Selangor) dan Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin (Perak).

Menerusi 13 episod ini, peserta diberi pelbagai cabaran antaranya peluang tinggal di kampung dan menimba pengalaman serta melihat cara kehidupan seharian penduduk kampung. Mereka diberi tugasan membeli barangan dapur di pasar dan menyediakan masakan tradisional kampung terpilih.

Jika wang saku yang diberikan tidak mencukupi bagi membeli keperluan barangan dapur, mereka perlu mencari alternatif lain yang tidak perlu mengeluarkan belanja mengikut kreativiti peserta sama ada mencari sayuran kampung, ulam-ulaman atau apa saja yang ada di sekeliling mereka.

Gadis Melayu yang dihoskan oleh pengacara berpengalaman, Sharifah Shawati menjadi lebih mencabar dan menarik apabila peserta diberi tugasan menonjolkan kreativiti, personaliti, keyakinan diri dan skil yang ada di dalam diri mereka untuk meyakinkan pihak Safi untuk mengambil salah seorang daripada mereka sebagai duta produk.

Berikutan kejayaan rancangan Gadis Melayu musim pertama, Safi Balqis sekali lagi menjadi penaja utama program ini.

Bagi pihak Safi Balqis, melalui rancangan Gadis Melayu ini, mereka dapat mengenengahkan produk dari Safi Balqis di samping dapat berkongsi satu objektif dengan program Gadis Melayu iaitu melahirkan Gadis Melayu yang berkeyakinan tinggi di samping kaya dengan adat ketimuran.

Saksikan Gadis Melayu musim kedua yang dibawakan khas oleh Safi pada setiap Khamis, jam 9.30 malam bermula 6 Ogos ini.

No comments: