Sunday, August 9, 2009

Sari Yanti & Memey : Serik diasak kontroversi

Serik diasak kontroversi

Oleh Zubir Mohd Yunus
zubir@bharian.com.my



Sari Yanti dituduh hipokrit apabila tidak bertudung, Memey pula digelar perigi mencari timba gara-gara mengaku sedia bergelar isteri kepada Norman Hakim

GANDINGAN Memey, 21, dan Sari Yanti, 25, boleh disaksikan menerusi drama online, Mingguan Lelaki di www.gua.com.my, namun kedua-dua artis cantik ini mempunyai cerita sensasi berbeza yang pastinya ingin diketahui umum.

Memey dilabel perigi mencari timba gara-gara kenyataannya bersedia mengahwini Norman Hakim, manakala Sari artis hipokrit apabila bertudung dalam drama, tapi penampilannya di luar dikatakan agak seksi!

Nama Memey meledak panas selepas dicekup kerana disyaki berkhalwat pada awal pagi 30 Oktober lalu bersama aktor popular, Norman Hakim atau Mohamed Nurhakim Zaidon, 33, oleh sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di pejabat pelakon lelaki itu di Ukay Perdana, Selangor.



Justeru, industri hiburan terus bergegar gara-gara kontroversi panas itu sehinggalah membawa kepada perceraian Norman dengan isterinya, Abby Abadi, 32, pada 18 Disember lalu apabila pasangan pelakon Gerak Khas itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.

Kini, selepas 10 bulan peristiwa hitam itu berlalu, akhirnya Memey membuat pengakuan kepada beberapa media massa, dia bersedia mengahwini Norman Hakim, sekalipun belum pernah serius merancang ke arah itu.

"Tapi, buat masa ini, kami belum berbincang soal kahwin lagi. Namun, sebagai wanita bujang, sudah pasti saya mengharapkan hubungan saya dan Norman berakhir dengan perkahwinan suatu hari nanti," kata Memey sebelum ini.

Ekoran kenyataan itu, Memey terus dilabel umpama perigi mencari timba apabila Norman menganggap apa yang dikatakan Memey adalah berkaitan harapan menamatkan hubungan mereka di gerbang perkahwinan sebagai luahan hati dan naluri seorang wanita, sebaliknya buat masa terdekat, dia memang belum ada perancangan untuk menamatkan zaman duda, tetapi tidak menafikan hubungan dengan Memey adalah intim.

“Memang tidak dinafikan, hubungan saya dan Norman ketika ini intim. Saya seperti pasangan lain, pastinya mengharapkan perhubungan ini berakhir dengan perkahwinan. Secara umum maksud saya begitu, tapi dalam masa terdekat, saya belum bersedia bergelar isteri memandangkan faktor usia yang terlalu muda, selain perjalanan seni yang masih jauh dan berliku.

“Akhirnya saya diberitahu, orang melabel saya perigi mencari timba. Itulah sebabnya saya tak gemar buat kenyataan yang lain sikit, pasti ada pihak yang buat spekulasi dan saya dihentam bertubi-tubi! Namun, saya pernah berdepan isu yang lebih dahsyat, tuduhan berkhalwat apabila semua pihak menghentam saya dari setiap ruang. Tapi, hentaman itulah yang menjadikan saya kuat dan berfikiran lebih matang,” kata Memey tanpa berselindung.

Entah apa malangnya nasib Memey dirinya terus dibenci, tahap menyampah masyarakat terhadapnya ditunjukkan secara terang-terangan menerusi sebuah laman web hiburan yang menyediakan carta bar menampilkan tahap kebencian orang ramai terhadap golongan artis atau selebriti apabila Memey menduduki tangga kedua dengan peratusan undian sebanyak 22 peratus!

“Saya sedar, apabila berlakunya insiden tuduhan berkhalwat, saya dicaci, dihina dan dilabel perosak rumah tangga orang! Sebenarnya saya sudah serik dengan apa yang pernah berlaku. Sudah banyak air mata yang mengalir dan berpuluh kali saya memohon kemaafan. Namun, jika masih ada yang membenci, saya reda. Pun begitu, saya tidak pernah jemu memohon kemaafan daripada masyarakat,” katanya jujur.

Tak layak jadi Puteri Aurora?

TERBARU, Memey menjayakan drama bersiri 20 episod untuk slot Lagenda TV3, Puteri Aurora Beradu. Drama terbitan Primeworks Studios Sdn Bhd ini mendapat sentuhan Fairuz Loy sebagai pengarah dan mula disiarkan sejak 21 Julai lalu. Memey memegang watak utama sebagai Puteri Aurora bergandingan dengan Iqram Dinzly, Rozita Che Wan, Eizlan Yusof dan Norish Karman.

Ada cakap-cakap yang mempertikaikan Memey tidak layak membawakan watak Puteri Aurora yang dipotretkan sebagai seorang yang berpekerti mulia.

“Itu pandangan segelintir pihak yang masih membenci saya, tapi saya tetap berasa bangga kerana maklum balas yang saya terima, drama berkenaan mendapat sambutan membanggakan,” katanya lagi.

Diterjah dengan soalan sensitif, khabarnya bekas isteri Norman, Abby Abadi masih mengganggu kehidupan Memey. Ketika ditanya, Memey berkata, “Ia sekadar desas-desus, saya harap janganlah ada lagi pihak yang cuba menyimbah minyak ke dalam api. Biarlah saya berpeluang meneruskan kehidupan dengan aman.”

Ketika diusik bahawa ada yang mendakwa screen saver pada permukaan telefon bimbitnya memaparkan gambar dia bersama Norman, Memey yang berturut berlakon dalam Khatan dan Cinta Balkish untuk slot Akasia TV3 itu berkata, “Dah namanya pun kami menjalin hubungan intim, justeru apabila ada gambar kami di permukaan telefon bimbit saya, ia bukan sesuatu yang luar biasa. Cukup-cukuplah dengan spekulasi yang sedia ada, janganlah ditambah bara di dalam dada.

Norman dan Memey tidak mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat apabila perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Salehudin Yatim bersambung pada 28 Ogos ini.

Tegur tanda sayang

SEMENTARA itu, Sari Yanti menempa populariti selepas drama bersiri Kisah Kaisara musim pertama dan kedua meledak di TV3. Kini, musim ketiganya terus bersiaran tetapi kali ini menerusi TV9 setiap Rabu jam 9.30 malam.

Baki penggambaran Kisah Kaisara musim ketiga dijadualkan bermula sekitar Oktober, namun kali ini bukan untuk siaran TV, sebaliknya boleh diikuti menerusi laman web Kotex iaitu www.kotex.com.my

Sari melakonkan watak budak sekolah berusia 16 tahun bernama Kaisara, seorang yang bertudung dan berpakaian sopan. Kini, selepas berumah tangga, Sari masih memegang watak yang sama. Justeru, nama Sari dan Kaisara begitu sinonim di kalangan remaja dan kanak-kanak, sekali gus dia boleh dianggap role model.

Pun begitu, penampilan Sari menerusi drama berkenaan dengan kehidupannya di luar set penggambaran, jauh berbeza. Daripada seorang yang bertudung dan berbaju kurung dalam Kisah Kaisara, Sari menjalani kehidupan sebenarnya tanpa tudung dan pakaiannya boleh dikategorikan agak seksi. Justeru, tak semena-mena Sari dilabel hipokrit atau cakap tak serupa bikin!

“Watak Kaisara di dalam drama berkenaan hanya ciptaan semata-mata. Apabila orang terpegun, percaya dengan Kaisara, alhamdulillah, watak yang saya bawakan itu menjadi. Apabila saya ditawarkan sebagai Kaisara yang perlu memakai tudung, saya terima kerana wataknya ringan, lagipun budak-budak pun suka. “Apabila saya menyertai road tour Kisah Kaisara, budak-budak tak pernah bertanya apabila melihat saya tanpa tudung, sebaliknya orang dewasa yang bertanya kenapa saya tak pakai tudung? Bagi saya, baguslah orang beri nasihat. Saya memang ada terfikir nak pakai tudung, tapi buat masa ini, saya belum bersedia. Apabila orang tegur, itu menandakan mereka sayang pada kita, supaya kita berubah kepada kehidupan yang lebih positif.

“Justeru, jangan samakan watak saya di dalam drama dengan kehidupan seharian. Saya memang tak pakai tudung. Lagipun Kaisara bukan Sari dan Sari bukan Kaisara. Mungkin dari segi pakaian dan penampilan, saya bukan contoh terbaik, namun apa yang saya tutur dan budi bahasa, sekurang-kurangnya boleh dijadikan contoh oleh kanak-kanak.

“Namun, dalam berpakaian, saya sering mengawal keadaan supaya tidak keterlaluan. Saya akan memastikan pakaian yang disediakan tidak terlalu seksi, orang kata berpada-pada. Saya memulakan kerjaya sebagai model iklan, kemudian diminta jadi budak sekolah. Lagipun bukan setiap hari saya berpakaian begitu, saya seorang yang simple dan sedar status sebagai isteri, saya perlu menjaga nama baik suami,” jelasnya panjang lebar.

Info Memey

NAMA SEBENAR: Suhaiza Suhaimi

TARIKH LAHIR: 25 Mac 1988

ASAL: Kota Tinggi, Johor

KELUARGA: Anak ketiga daripada enam beradik

PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Tenggaroh A, Kota Tinggi

DRAMA: Elit, Pasrah, Dunia Baru 3, Roda-Roda Kuala Lumpur, Mabuk Estrogen, Tragedi Oktober, Lara Rindu Mahsuri dan Farah Syakirah

FILEM: Dimensi Cinta

PENGACARAAN: Diari Anak Seni



Info Sari Yanti

NAMA PENUH: Sari Yanti Mohamad Nazari

TARIKH LAHIR: 9 November 1984

ASAL: Kuala Pilah, Negeri Sembilan

KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik

PENDIDIKAN: Diploma Perniagaan dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten)

KOMERSIAL: Hotlink, Kentucky Fried Chicken (KFC), Kotex, Parmolive dan Sunsilk

DRAMA: Kisah Kaisara 1, 2 & 3, Sofea Zahra, Lima, Gadis Merah Jambu, Secebis Doa, Cempaka Aleesya dan 3 Dara Latah

FILEM: Impak Maksima dan Hooperz

No comments: