Liku Wana
Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my
LEGASI seninya masih jauh. Malah kehadirannya masih belum dirasai. Landasan gelaran juara program realiti My Star LG musim kedua belum cukup kuat baginya bergelar penyanyi. Begitupun, pemilik nama Noriezuana Syed Shafudin ini sedar dugaan yang perlu ditempuhinya. Sebagai orang baru, jalan yang perlu dilaluinya bukan mudah. Malah, untuk mendaki puncak populariti sebagai penyanyi pastinya menjanjikan pelbagai liku cabaran.
Akuinya yang selesa disapa Wana, demi masa depannya dan keluarga, dia bertekad mencuba peluang yang tersedia di depan mata. Katanya, bukan mudah untuk memiliki peluang ada dalam industri ini dan sebab itu Wana tidak mahu mensia-siakannya.
“Sejak kecil Wana minat menyanyi. Keluarga, terutama Mama, banyak memberi sokongan kepada Wana. Melihat Wana suka menyanyi, Mama sentiasa mendorong Wana mencuba peluang yang ada.
“Alhamdulillah, berkat doa Mama, akhirnya Wana berjaya menempatkan diri dalam bidang ini. Memang sukar, namun peluang yang hadir ini bagaikan rezeki yang tidak pernah Wana jangka.
“Bagaimanapun selepas bergelar artis, Wana perlu berusaha lebih keras supaya kerjaya yang baru dimulakan ini berterusan dan berkembang,” katanya.
Melihat bekas peserta My Star LG musim lalu, kebanyakan daripada mereka bagaikan sepi di persada seni. Malah, membandingkan program ini dengan program realiti lain, My Star LG bagai kurang publisiti.
Menyentuh soal itu, Wana menyerahkannya kepada soal rezeki. Katanya, rezeki itu pemberian Tuhan. Malah jika dilapik dengan usaha dan sentiasa tabah, pasti ada ruang untuknya meneruskan bidang ini.
“Bagi Wana, mereka punya tanggungjawab dan komitmen lain dan tidak tertumpu kepada bidang nyanyian. Mungkin sebab itu kerjaya mereka dalam bidang seni tidak berapa menjadi.
“Lagipun, itu semua soal rezeki. Siapa Wana untuk berkata mengenainya? Yang penting, Wana ceburi bidang ini dengan komitmen 100 peratus. Insya-Allah, Wana akan cuba sedaya upaya untuk meningkatkan mutu nyanyian dan kekal lama dalam bidang ini.
“Memandangkan kehidupan Wana dan keluarga sebelum ini sederhana saja, ini menjadi peluang Wana untuk memperbaiki kehidupan kami. Selepas ini Wana tidak mahu menoleh ke belakang dan apa jua rintangan akan Wana hadapi dengan tabah.
“Namun alhamdulillah, perjalanan seni Wana lebih terjamin, lebih-lebih lagi juara My Star LG musim kedua ditawarkan kontrak bersama Warner Music. Sedikit sebanyak, Wana punya tapak untuk bergerak,” kata gadis berusia 23 tahun ini.
Sekali imbas, Wana persis Juara Akademi Fantasia 5 (AF5), Mila dan ada pula yang melihatnya iras Ziana Zain. Bagi gadis berdarah kacukan India di sebelah bapa dan Bugis (ibu) ini, dia tidak kisah dengan tanggapan itu.
“Dalam dunia ini, ramai manusia yang seiras. Malah, jika ada peminat menyamakan Wana dengan mana-mana artis lain, Wana tidak kisah kerana itu pandangan mereka. Bagaimanapun, Wana tidak mahu dikatakan menumpang populariti artis berkenaan yang nyata lebih popular.
“Kehadiran Wana dalam bidang seni ini untuk memeriahkannya dan bukan untuk meniru sesiapa. Insya-Allah, bagi yang tidak mengenali Wana, ia akan ditonjolkan dalam album sulung berjudul Siapa..? yang akan dipasarkan minggu depan,” katanya.
Menyentuh soal albumnya itu, Wana diberi peluang bekerja dengan komposer ternama seperti Audi Mok, Ashraf Pretty Ugly, Lah dan Zaf VE serta ramai lagi.
“Dalam album ini Wana menampilkan lima lagu baru, termasuk single pertama ciptaan Lah dan Zaf VE iaitu Orang Biasa.
“Ia turut memuatkan single kedua berjudul Siapa Orangnya ciptaan Audi Mok, Kerana Dilema, Gerhana Sebuah Percintaan dan lagu duet bersama naib juara My Star LG musim kedua, Ashrin berjudul Ingin Bersama Kembali.
“Sebagai penyanyi, Wana sedar Wana perlu ada konsep tersendiri. Sebab itu Wana memilih genre pop dan ia turut dipersetujui syarikat rakaman. Lagipun, Wana masih muda dan konsep rancak begini sesuai dengan Wana.
“Soal imej pula, Wana suka kelihatan ranggi dan tidak terlalu ‘kewanitaan’. Jadi penampilan, lagu dan diri Wana sentiasa berkait rapat,” katanya.
Sunday, August 9, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment